Posted by: abgreds on: 21 Julai 2010
Kehidupan bermula tanpa alternatif. Mandatori. Bukan suatu pilihan. Semua urusan Allah Taala.
Kalau sudah takdir, kita tetap lahir. Menjadi orang baru. Menjadi anak kecil. Cuma ada urutan waktu. Bila dan ketikanya. Generasi demi generasi.
Sayidina Umar r.a pernah berkata, “kalau diberi pilihan, biarlah aku menjadi lalang yang ditiup angin…”, demi mengenangkan beban tugas yang digalas sebagai khalifah bagi seorang manusia.
Kelahiran dan memulakan hidup bukan hak kita. Mahu tidak mahu, suka tidak suka, kita perlu meneruskannya. Bagaimana pun Allah taala maha adil. Dia menurunkan manual kehidupan secara beragama.
Dengan al-quran, kita dibimbing bagaimana mengurus kehidupan lebih bermakna. Maka tiada sebab kita hendak marah atau membantah kehadiran kita, dan orang lain di muka bumi ini.
Sesudah suatu waktu, otak dan fikir mulai bekerja. Bermulalah perjuangan manusia mencari dirinya. Mencari arah tuju. Mengenalpasti matlamat dan tujuan. Nah, kini kita diberi alternatif : objektif atau subjektif.
Ini suatu persoalan yang subjektif. Manusia diberi ragam yang cukup banyak. Hatta cap jarinya saja tidak ada satu pun yang serupa. Namun begitu, terdapat juga elemen keseragaman di sana-sini. Ini yang penting.
Tugas kita sekarang ialah meletakkan diri kita di tempat yang betul. Belajar adil kepada diri sendiri. Jika berjaya, mudahlah urusan hidup kita. Jika gagal, susahlah segala urusannya.
Dalam elemen keseragaman tadi, kita kena buat alternatif atau pilihan, berdasarkan sifat tabiat kita sendiri. Kita hendaklah objektif. Iaitu dengan pasti dan yakin, kita bersikap objektif atau subjektif terhadap sesuatu perkara.
Kelahiran suatu yang objektif…………
Kehidupan suatu yang subjektif………
Kematian suatu yang alternatif……… (bukan pilihan tidak mahu mati, sebaliknya, pilihan mati dalam reda/baik atau sebaliknya. Tanpa mengetepikan qada’ dan qadar Allah swt.)….
Komen Terbaru