Blog Abgreds

Archive for Julai 2010

Tengok gambar di bawah, apa interpretasi korang?

Apa intepretasi dia orang ?

illusi

Ajam : gambar kartun.

Man : macam gambo muka.

Emy : muka hensem, boleh buat boipren!

Alang : wei, gelapnya kulit…

Tok Mat : aaa…? Gambar ke tu…?

Jijah : tok mat ni nak kena pakai spek macam gambar tu…

* ooi Jijah, orang tanya pasal gambar la. Bukan pasal tok mat!

David kopepil  : tulisan la tu.

David knigh rider : buat stiker keta, baru rock.

Tukang lukis : tu warna hitam dengan putih…

Tukang cerita : tu warna-warna kehidupan.

Tukang cap : tambah bunga boleh buat design batik ni…

Tukang sibuk : ah, pegi main jauh-jauh. Tak da masa ni!

Aku : eh, aku tukang tanyalah, mana boleh jawap!

Kau : …..(tak jawap pun – tah apa yang tengah dipikir, masalah negara kot!)

——-       ————      ———–        ————-     ———

Sekarang aku nak tanya ;

Apa itu  i.n.t.e.r.p.r.e.t.a.s.i…? Kenapa kita kena belajar pasal interpretasi?

Kenapa interpretasi mereka semacam itu? Kenapa interpretasi korang semacam ini? Kenapa ada interpretasi yang pelbagai?

Kenapa tak nak belajar intepretasi?

………………. Tak nak fikir? Malas nak fikir? Tak dapat cari jawapan?………..

Kenapa tak nak fikir? Eh, kat luar tu orang tengah interpretasi kau, tau tak?

Cuba le fikir sikit? Nak pandai ke tak nak?

………………..

Hem…ambik ko…aku buat entri pertanyaan hari ni, amacam?

Nak komen? Kena ada interpretasi. Tak dak interpretasi? Aku no komen , ngeh ngeh… 🙂 🙂 …

Advertisements

Suatu ketika di suatu bicara… musafir ilmu si anak muda. Pemuda belajar ertinya haji. Bekal kiranya diseru nanti.

“Boleh saya tanya sesuatu?”, tanya pemuda itu. “Boleh saja, silakan”, balas Pak Khir.

“Kenapa pak cik tak mahu dipanggil tuan haji?”, tanya pemuda itu.  “Oh, itu. Kenapa pula pak cik mahu orang panggil pak cik tuan haji?”, Pak Khir menjawap dengan persoalan.

“Kan orang yang dah pergi haji kena panggil tuan haji atau hajjah, pak cik?”, tanya pemuda itu. “Dekat tempat saya macam itu…”, sambung pemuda itu.

Pak Khir tersenyum. “Dekat sini pun sama, pak cik saja yang tak mahu”.

Pemuda senyum kelat. Dahinya sedikit berkerut. “ Kenapa pak cik tak mahu ?”, tanyanya semula sambil merenung wajah Pak Khir.

“Apa perlunya gelaran haji tu. Haji itukan ibadah. Sama seperti sembahyang, puasa, zakat…”, terang Pak Khir.

“Kalau nak juga gelarkan haji, maka orang yang sembahyang boleh digelar Tuan Sembahyang Ajis misalnya. Tak pun Tuan Zakat Pi’ee kalau si Pi’e bayar zakat.. Yang puasa pula, Tuan Puasa Ali…begitu ke?”, tanya Pak Khir.

“Tidak pula pak cik”, jawap pemuda.

“Kalau nak gelar juga, maka gelarlah juga orang-orang terdahulu yang lebih awal pergi haji. Ada kita gelar nabi kita haji?”, soal Pak Khir.

 “Tidak ada pak cik”, jawap pemuda.

“Ada kita gelar para sahabat nabi haji?”, tanya Pak Khir.

“Tidak ada pak cik”, jawap pemuda.

“Ada kita gelar ulama’-ulama’ dahulu haji?”, tanya Pak Khir.

“Tidak ada pak cik”, jawap pemuda.

Pak Khir tersenyum lagi. Pemuda mulai faham.

“Tapi kenapa orang sekarang yang balik mengerjakan haji nak kita panggil mereka Haji atau Hajjah, pak cik?”, soal pemuda lagi.

“Tak tahulah anak muda. Cuma mereka dan keluarga mereka yang tahu….”, Pak Khir tenang bertutur.

Pemuda menganggukkan kepala. Lalu berjabat tangan tanda perpisahan.

Pak Khir mengeleng-gelengkan kepala. Lalu berlalu dengan kesal yang bersisa.

Di benaknya tertanya, kenapa soal semacam ini boleh timbul? Kenapa?…

p/s : entri ini bukan mempersoal atau menyinggung sesiapa, terutama mereka yang bergelar haji dan hajjah. Tetapi tidak salah untuk kita sama-sama merenung dan berfikir sejenak…

Waktu malam.

Anda sekeluarga sedang asyik menonton tv. Atau ada yang sedang mengadap laptop. Ada yang ulangkaji pelajaran. Macam-macam aktiviti. Tiba-tiba, pup! Elektrik terputus.

Sejurus, ruang yang sepi sebentar akibat terkejut tadi, riuh dangan suara. Yang kecil menangis takut. Yang besar terpaku kaku. Siibu cepat-cepat mencari anak yang kecil. Si ayah, terkucil sebab tadi nak buang air kecil!

Mana lampu suluh? Mana lilin? Mana lighter abah? Semuanya teraba-raba. Anak mata membesar sebesar yang boleh. Pun masih gelap masih kelabu.

Kenapa kita alah pada gelap? Kenapa takut akan gelap? Kenapa benci pada gelap?

Jawapannya, kerana kita sudah lupa dengan gelap. Kita jarang bergelap. Jarang mesra dan suka gelap. Dan sentimen ini adalah hasil tebaran cahaya kalimantang dan neon dalam hidup moden ini.

Bukan menafikan jasa pencahaya ini. Ia memang suatu keperluan. Namun, kos melepas yang dikorbankan juga agak mahal. Iaitu kemerosotan nilai dan falsafah gelap di mata manusia sejagat, termasuk kita.

Gelap sudah begitu asing. Siang malam dunia sudah terang benderang. 24 jam. Sementelahan, punca rezeki juga jadi 24 jam. Eloklah itu. Sentiasa terang, sentiasa kerja-cari wang.

Waktu tidur dan waktu senggang menjadi sedikit. Mata bekerja sehingga pedih dan perit.

Marilah kita nilai semula persepsi kita. Terjadinya gelap ada seribu satu nikmat dan hikmah. Bukan gelap yang kosong semata. Ada kemilau ilmu di situ. Ilmu yang banyak dan berwarna-warni!

Sesekali, cubalah. Bersendiri dulu. Tanpa tunggu ada blackout, anda petik suis. Gelapkan bilik anda. Tutup rapat tirai tingkap. Kalau boleh tanpa ada cahaya pun. Berjalanlah dalam gelap itu…

Jangan pejamkan mata. Lihatlah dunia gelap di depan mata anda sendiri. Seketika, dekatkan diri anda dengan gelap. Sunyikan diri hingga dengar degupan jantung sendiri. Apa yang anda rasa? Apa yang anda fikir?…

PALING kurang…., anda akan mengerti erti nampak dan tidak nampak. Anda sedar anda celik dan tidak buta. Anda tahu tingginya nilai celik. Dan amat berharap agar tidak menjadi buta. Anda wajar rasa terharu dan bersyukur. Amat bersyukur…

Dan banyak lagi rahsia yang boleh terungkai.

Justeru, jangan gelap hati, nanti gelap mata. Cubalah belajar dalam gelap. Anda akan dapati ada terang di dalam gelap. Anda akan tahu erti terang itu. Terang di hati. Terang di mata…

Red               :      Assalamualaikum, tokeh.

Bang amid     :      Wa’alaikum salam. Ha, red. Lama tak nampak muka.

Red               :      Ha’a. Bang. Lama tak lalu sini, nak singgah camane?

Bang amid     :      Ai sibuk nampak. Banyak projek nih. Mana sempat jeling       warung aku ni..

Red               :      Tak ada la bang. Red tengah pening ni. Projek kurang! Tu yang menjajau sana sini.

Bang amid     :      Janganla pening-pening. Ada la tu. Engko yang tak nampak.

Red               :      Tak de, bang.

Bng amid       :      Alah, mai sini. Engko nak makan apa?

Red               :      Tak makan, bang. Nak bungkus aje.

Bang amid     :      Ha, macam tu la. Jangan pening-pening. Tak ke mana red. Esok lusa adalah tu…

Red               :      Konfiden jer abang nih…

Bang amid     :      Bukan engko tak tau, duit tu pusing-pusing. Tokey kau tu nak makan jugak. Dia tengah

perambat projek tuh! Esok lusa adalah projek untuk engkau.

Red               :      Ialah bang. Aku ni kadang blur sampai tak boleh pikir..

Bang amid     :      Memang macam tu. Pusing-pusing. Nanti tokey kasi kau    projek, adalah duit masuk.

Lepas engkau ada duit, engkau beli lauk kat warung abang ni, duit abang pun masuk.

Lepas tu, abang beli sayur ikan kat pasar, orang pasar pulak dapat duit.

Red               :      Karang orang pasar nak makan, pegi warung bang amid.

Bang amid     :      Ha, kalau orang pasar tu nak buat rumah, aku suruh cari engko.

Red               :      Karang perut lapar masa buat rumah, datang kat warung abang lagi…

Bang amid     :      Ha, macam tu la. Jangan pening-pening. Duit tu pusing-pusing…

Red               :      Huh, terrer jugak abang amid ni. Dulu belajo sampai mana bang?

Bang amid     :      Sekolah hape? Belum SRP dah tercongok kat warung nih..hehehe…

Red               :      Ngeh ngeh….tu yang jadi tokey sekarang nih bang amid!

Bang amid     :      Ye la tu, tokey alias kuli !

Red               :      Standard tuh ! Okey, bang, red balik dulu.

Bang amid     :      Dah okey dah pening kau ?

Red               :      Dah………..!

*     *     *     *     *     *     *     *     *     *     *

Bang amid     :      (belajar bisnes dan maintain bisnes)

Red               :      (belajar tak pening dan maintain jangan pening…) boleh ke?

p/s   :      kalau pening, jangan belajar. Kalau belajar, jangan pening !

p/s   :      kalau mengajar perihal pening, cikgu jangan pening-pening, nanti anak murid yang pening ! 🙂 :)…..

Entri ini ada kaitannya dengan pengisian dari entri yang lepas- alternatif : objektif @ subjektif.

Kehidupan suatu yang subjektif. Sangat subjektif. Elemen alternatif atau pilihan terdapat di mana-mana saja.

Hampir kesemua perkara, dengan pengecualian tertentu, ada persaingan dan pertembungan. Kita tidak dapat melakukan semuanya. Kita kena memilih di antara salah satunya.

Membuat pilihan sememangnya proses yang rumit. Hadirnya bersama sejumlah risiko yang tidak terduga. Setiap hari pula kita didatangi berbagai isu dan permasalahan. Tidak setara dengan paras kesediaan dan kecerdikkan kita yang sediada.

Kerumitan memilih semakin bertambah jika kita masih belum menemui jati diri. Belum ada keterampilan peribadi. Masih mencari erti hidup. Masih kabur erti mati. Masih mencari berbagai rasionalisasi itu dan ini…

Jika hingga sekarang ini, kita tidak ada suatu pendirian, maka bersedialah untuk suatu kecelaruan, yang amat merugikan !

Sebenarnya, pada suatu ketika, kita akan ketemui diri kita sendiri. Kita kenal siapa kita. Kita faham lingkungan persekitaran kita. Ini saat penting yang seharusnya menjadi titik tolak pembentukan peribadi. Barulah kita faham “ aku adalah siapa diri aku”. Inilah aku!

Tatkala ini, kita adalah individu berpersonaliti. Seharusnya kita sudah menentukan objektif atau subjektif terhadap seluruh perkara dalam penghidupan. Walaupun untuk memilih itu sukar dan kadangkala cukup subjektif, namun kita dapat mengatasinya, kerana kita sudah cukup objektif dengan hidup kita.

Namun, ada juga di kalangan kita yang masih berada dalam fasa kecelaruan sosiologi dan psikologi. Mereka ini personifikasi yang hidup (personifikasi – sifat manusia dikiaskan kepada benda mati/ abstrak. Contoh : mentari tersenyum).

Personifikasi hidup ini adalah orang yang belum menemui dirinya yang sebenar. Cuba menjadi seperti orang itu, atau orang ini. Sebentar jadi orang lain, sebentar jadi diri sendiri. Mereka masih dalam dilema dan mencari identiti sendiri.

Setiap orang ada didikan, ilmu dan pengetahuan masing-masing. Sebab itu terjadinya tingkat fahaman yang berbeza-beza. Selagi masih menurut kesepakatan umum, perbezaan itu masih lagi suatu hikmah yang perlu dihormati.

Membentuk sahsiah satu proses pembelajaran yang panjang. Jangan ditinggalkan teman kita yang sedemikian. Bantulah mereka.

Kepada mereka, katakanlah bahawa kamu mesti jadi diri sendiri. Belajarlah berprinsip. Disiplinkan diri menurut keselesaan minda dan hati. Tekadkan bahawa kamu mesti ada pendirian yang teguh. Mesti yakin berhujah dan berdebat. Mesti mahir mengupas dan mengilas…

Pelajarilah dari mentor yang berjaya. Insya Allah, kamu akan menemui diri kamu yang tersembunyi itu.personifikasi

one life

Kehidupan bermula tanpa alternatif. Mandatori. Bukan suatu pilihan. Semua urusan Allah Taala.

Kalau sudah takdir, kita tetap lahir. Menjadi orang baru. Menjadi anak kecil. Cuma ada urutan waktu. Bila dan ketikanya. Generasi demi generasi.

Sayidina Umar r.a pernah berkata, “kalau diberi pilihan, biarlah aku menjadi lalang yang ditiup angin…”, demi mengenangkan beban tugas yang digalas sebagai khalifah bagi seorang manusia.

Kelahiran dan memulakan hidup bukan hak kita. Mahu tidak mahu, suka tidak suka, kita perlu meneruskannya. Bagaimana pun Allah taala maha adil. Dia menurunkan manual kehidupan secara beragama.

Dengan al-quran, kita dibimbing bagaimana mengurus kehidupan lebih bermakna. Maka tiada sebab kita hendak marah atau membantah kehadiran kita, dan orang lain di muka bumi ini.

Sesudah suatu waktu, otak dan fikir mulai bekerja. Bermulalah perjuangan manusia mencari dirinya. Mencari arah tuju. Mengenalpasti matlamat dan tujuan. Nah, kini kita diberi alternatif : objektif atau subjektif.

Ini suatu persoalan yang subjektif. Manusia diberi ragam yang cukup banyak. Hatta cap jarinya saja tidak ada satu pun yang serupa. Namun begitu, terdapat juga elemen keseragaman di sana-sini. Ini yang penting.

Tugas kita sekarang ialah meletakkan diri kita di tempat yang betul. Belajar adil kepada diri sendiri. Jika berjaya, mudahlah urusan hidup kita. Jika gagal, susahlah segala urusannya.

Dalam elemen keseragaman tadi, kita kena buat alternatif atau pilihan, berdasarkan sifat tabiat kita sendiri. Kita hendaklah objektif. Iaitu dengan pasti dan yakin, kita bersikap objektif atau subjektif terhadap sesuatu perkara.

Kelahiran suatu yang objektif…………

Kehidupan suatu yang subjektif………

Kematian suatu yang alternatif……… (bukan pilihan tidak mahu mati, sebaliknya, pilihan mati dalam reda/baik atau sebaliknya. Tanpa mengetepikan qada’ dan qadar Allah swt.)….

Hari ini 19 Julai 2010, blog abgreds genap sebulan. Segerak merangkak, dua gerak bertatih, inilah rupanya wajah blog abgreds. Tentu masih banyak lagi yang perlu abgreds pelajari. 

Tiadalah se-gah mana, namun kelahiran blog abgreds ini tetap menjadi suatu memori peribadi. Sebagaimana kalian dulu, satu dua bulan dulu. Atau satu dua tahun lalu. Atau bagi blogger otai, sejak internet ini mula berkembang di negara kita ini.

Manusia perlu berubah. Manusia terlalu kerdil untuk mengasimilasikan dunia untuk dirinya. Sebaliknya, dialah yang perlu mengasimilasikan dirinya menurut perjalanan dunia. Tentunya dengan asimilasi yang sesuai bagi dirinya.

Kewujudan era IT mengecilkan dunia secara relatif. Batas sempadan dan masa menjadi kurang relevan. Semua masa menjadi serba pantas. Semua dataran menjadi sebuah pentas. Tiada lagi keterasingan. Tiada lagi kebersendirian.

Sebelum bulan yang lalu, abgreds hanya mengikuti dan memerhati. Belum terdetik untuk menyertai. Abgreds lebih senang kelana sendiri. Mengheret secarik usaha dan tawakkal, mengharung hidup sebelumnya ajal.

Sesudah sepurnama ini, dunia kecil abgreds sedikit berbeda. Diizinkan Allah, blog abgreds membuka jendela. Turut serta mencorak dan mewarna, menambah rencam dunia maya. Menjejak tapak kalian semua. 

Melewati sepurnama ini, seperti kalian juga, seterusnya abgreds berharap dapat mengaplikasikan medium internet ini sebaik yang mampu. Abgreds berharap boleh memperoleh pengetahuan, dan pada masa sama, cuba memanfaati pembaca sekalian.

Internet penuh dengan keterbukaan dan kerahsiaan. Cukup mengujakan. Banyak yang abgreds belajar. Misalnya belajar bahasa internet. Belajar berkomuniti dan berkomunikasi – berkata dan berdiskusi tanpa suara tanpa rupa. Cuma taip dan klik sahaja…

Sekali lagi, terima kasih atas sokongan dan bimbingan anda semua!

Salam dari Abgreds,

abgreds


Sinopsis blog abgreds

Blog abgreds ingin melihat makna
pada aksara dan kosa kata dari sudut sedikit berbeda, buat menambah variasi
pemahaman semua.
Selamat membaca!

K O T A K — S H O U T M I X

Statistik blog

  • 56,935 - sejak 19 Jun 2010

Salam sejahtera

Blog ini adalah blog peribadi abgreds. Semua artikel adalah nukilan abgreds untuk tatapan bersama.

Artikel abgreds merupakan rangkuman pengalaman dan kisah perjalanan hidup abgreds.

Abgreds harap artikel-artikel di sini dapat sedikit sebanyak memberi manfaat buat anda.

Anda dialu-alukan untuk memberikan idea, pandangan, nasihat, kritikan, dan sebagainya.

Sila tinggalkan jejak anda di ruang komentar atau shoutbox.

Terima kasih atas ziarah anda!

Salinan semula

Abgreds membenarkan kandungan artikel di blog ini diterbitkan semula dengan syarat disertakan kredit / pautan ke blog ini.

Sebarang pertanyaan boleh di e-mailkan ke abgreds melalui alamat : takterra@gmail.com

Sila ambil perhatian, kandungan blog ini adalah diawasi.....

...

Protected by Copyscape Duplicate Content Checker

Negara pengunjung

free counters
Online Users
bighandesign
My Ping in TotalPing.com

BlogMalaysia.com

Blogged.my