Blog Abgreds

Archive for Januari 2011

Saya menerima satu pertanyaan daripada saudari Erysa :

“Assalamualaikum wbt.. sy nk tanye n nak mintak pendapat.. sy nie dr keluarga kalangan korporat.. khidupan sy mewah dan sempurne.. sy ade seorang kekasih tetapi hanya mempunyai SPM saja.. sedangkan sy ade DIPLOMA.. sy serius dlm hubgn sy dn si sia. hubungan sy dan si dia sudah di ketahui oleh ibu saya.. ibu sy x mrh sy bercinte dgn si dia.. tapi dlm masa yg sama.. ibu sy seakan tidak mahu saya berkahwin dgn si dia.. ibu sy sering kata kepada sy ” carik la orang yg kaya.. yang boleh menjamin masa depan ko.. carik yg berpelajarn “.. kata-kata tu terbawak2 di fikiran saya.. saya rasa serba salah sangat.. saya sygkan ibu dan sy sygkan dia sgt2.. salah ke sy mencintai seseorg yg hanya pelajaran nya tahap spm..? sy xnk kecewakan ibu dan sy xnak kecewakan si dia.. sy xtahu ape saya perlu buat.. sy buntu.. tlg la bantu sy..”

Pertamanya, saya mohon izin Erysa untuk menerbitkan persoalan ini kepada khalayak pembaca blog ini.

Saya fikir ramai juga mereka yang menghadapi situasi yang sama. Dan saya juga berhasrat meminta pandangan dari para pembaca yang lebih arif daripada saya. Kita sama-samalah bantu membantu.

Ulasan saya :

Saya kira persoalan pokok di sini adalah takrifan sekufu atau kebersamaan. Sekufu antara perkara yang menjadi aras tanda dalam sesebuah perhubungan.

Logiknya, lebih persamaan akan lebih memudahkan. Sebaliknya, lebih banyak perbezaan memungkinkan lebih banyak pertentangan.

Manusia fitrahnya memang berbeza-beza. Justeru, untuk mencari kesempurnaan sekufu tentulah sukar sekali. Dan kalau bertemu pun, ia bukanlah jaminan hubungan tersebut akan berjalan dengan baik.

Jadi, kita digalakkan mencari jalan tengah sebaik yang mungkin. Perkara yang utama saya kira adalah komunikasi dengan Allah swt. Buatlah apa jua saranan mengikut agama untuk membina sesebuah perhubungan itu seperti solat istiharah dan lain-lain.

Kedua, masih lagi tentang hubungan kita dengan Allah. Iaitu tentang sejauh mana hubungan kita sesama manusia (kekasih saudari dalam konteks ini) menepati garis panduan agama. Jangan sampai melakukan perkara terlarang. Kesusahan itu barangkali kafarah atas silap dan dosa kita.

Ketiga, jika yakin dengan petunjuk dari istiharah saudari itu, seterusnya adalah komunikasi saudari dengan ibu saudari. Berdoalah agar hati ibu saudari lembut. Terangkan juga yang saudari yakin dengan pilihan saudari itu.

Keempat, cuba dapatkan contoh setara yang berlaku di keliling kita, yang mana walaupun perkahwinan itu ketaranya seperti tidak sekufu, namun rumahtangga itu bahagia juga.

Kelima, di pihak kekasih saudari, selain berbuat perkara sama (istiharah dan lain-lain), perlu juga membantu saudari meyakinkan ibu saudari. Dapatkan kerja tetap pendapatan. Beli sedikit aset atau apa jua yang meyakinkan bahawa dia mampu menanggung hidup saudari kelak.

Keenam, saranan untuk semua, kembalilah kepada asal usul kita. Kita cuma makhluk Allah yang tidak layak menghina atau bersombong diri sesama kita. Kekayaan, harta, darjat dan pangkat, semua itu hanyalah hiasan duniawi. Jika kita tertipu dengan itu semua, nescaya kita akan rugi.

Sekadar itu ulasan saya. Diharap dapat membantu sedikit sebanyak. Saya buka kepada sesiapa untuk menambah atau memberi buah fikiran yang lain.

Mungkin pendapat anda lebih benar dan lebih serasi dengan dilema yang dihadapi saudari Erysa. Terima kasih untuk Erysa dan anda juga.

Wallahu’alam…

Minggu depan kawan-kawan tionghua kita akan menyambut Tahun Baru Cina. Kong hee fat choi! Raikanlah kepelbagaian di negara Malaysia tercinta ini.

Aku ada kisah sendiri yang teramat-amat menyentap jantung aku tentang ‘ang pow’ ni. Kisah ini dah berlalu kurang lebih 8 tahun.

Masa tu aku baru bergelar pekerja. Gaji pun ciput. Tengah bulan dah ikat perut. Kerja opis boy naik honda kapcai 70 cc yang lama tu.

Satu hari, boss mintak aku jumpa sorang customer, ambik barang bawak balik opis. Senang je kerja tu. Tempatnya pun tak jauh.

Aku pun pergi buat tugasan tu. Dah jumpa customer, ambik barang yang dimaksudkan, lepas tu terus cabut balik.

Motor kapcai tu aku pecut sampai dapat potong mercedes yang bawak macam siput hehehe…Tiba-tiba motor aku berenjut! Ha, apsal?

Lor...tak perasan aku langgar lubang daa..haha..tapi tak jatuh..tak jatuh beb… Terrer aku masa tu hikhik… perasan akulah…

Sampai opis jer aku dengan konpidennya nak bagi barang tu dekat boss. Sekali aku baru perasan, barang tu tak ada! Dah jatuh la nih!…

Serta merta aku naik kecut. Teringat aku langgar lubang tadi. Berderau darah aku. Waa…kalau tak jumpa matilah aku!

Sebenarnya barang tu ialah duit payment customer tadi tu. Banyak…RM 1000 lebih. Dia masukkan dalam sampul ‘ang pow’ merah.

Aku apa lagi, start motor dan terus jalan ikut jalan balik tadi. Sepanjang jalan aku takbir ‘Allahu Akhbar!’, ‘Allahu Akhbar’!…kuat-kuat.

Panik siot..buatnya hilang terus, macam mana? Aku dah la tengah sengkek masa tu. Setahun gaji aku nak bayar balik. Gila ke…nak makan apa nanti…

Sampai je kat tempat lubang tadi aku terus parking. Lubang tu sebenarnya kat tengah jalan. Ah, aku tak kira…aku taruk juga motor aku tu.

Al-hamdulillah…syukur pada Allah, nampak tercongok tersenyum simpul 🙂  sampul merah tu kat lubang jalan...huhu…nak nangis aku beb. Nasib baik ko jatuh kat tempat istimewa ni. Nasib baik ko tak melayang tempat lain!!

Aku pun ambik sampul yang dah ada cop tayar lori ke apa tu…aku cium sampul tu puas-puas haha…dah macam orang gila aku dah…

Aku tak peduli. Yang penting semuanya SELAMAT….aduh…lega betul aku. Bila ada bunyi hon, baru aku tersedar yang aku masih kat tengah jalan haha..

Itulah peristiwa yang sampai bila-bila pun akan tersemat dalam kepala otak aku ni. Korang ni terutama yang muda-muda tu ambiklah teladan okey.

Inilah dia sampul merah tu. Aku akan simpan ia sampai akhir hayat insya Allah. Banyak sungguh moral of story yang dia bagi untuk aku...huhu...   

Kepada customer berkenaan (orang melayu), ingat lagi sampul ‘ang pow’ ni? Ha, inilah kisah disebaliknya kalau nak tau… 🙂

sumber : googlePerkahwinan mengandungi hikmah dan rahsia yang cukup banyak. Antaranya mengangkat darjat, mengelak maksiat, melahirkan zuriat, dan lain-lain.

Islam sangat menggalakkan perkahwinan sebagaimana yang diajar dalam Kitabullah dan Sunnah Rasul-Nya.

Islam juga menyuruh suatu perkahwinan itu hendaklah diuar-uarkan secara sederhana dengan mengadakan suatu majlis keraian.

Yang disuruh ialah kahwin dan dapatkan rahsia-rahsianya. Tapi sesetengahnya menterbalikkan pula. Kahwin dan rahsia-rahsiakannya! 

Waduh...belajar dari mana ini? Rahsia kahwin itu bagus dan dituntut untuk belajar dan mempelajarinya. Kahwin rahsia itu tak bagus dan dituntut untuk tidak melakukannya…tentu ada hikmahnya pula!

Adik lelaki seorang kenalan saya berjaya menyembunyikan perkahwinannya sehingga mendapat tiga orang cahaya mata! Hebatkan? Hebatkah?

Lebih hebat lagi, dia berperwatakan seorang yang berilmu, khususnya dalam hal ehwal agama. Gaya dan tuturnya lembut dan menarik.

Yang lagi hebat, isterinya juga dikhabarkan seorang ustazah. Maka kedua- duanya diandaikan sudah ada bekal ilmu agama di dada. Tapi begitulah…. Kenapa mereka boleh sampai berbuat demikian?

Saya tak punya jawapan. Cumanya saya tertanya apa rahsia lelaki itu hingga boleh berahsia paling kurang pun empat tahun perkahwinannya itu! Kena belajo nih... 🙂 ...ops..

Agaknya dia lupa rahsia Allah lebih hebat dan mengatasi segala rahsia manusia. Akhirnya, suatu masa terbongkar jua status dirinya sebagai suami dan bapa.

Seluruh keluarganya terkejut. Lelaki itu bernikah di utara semasa dia berada di sana atas suatu urusan. Kemudian kembali ke selatan (tempat saya inilah) tanpa sebarang pengumuman.

Sesungguhnya berat dosa yang terpikul di bahu dia. Dia meletakkan dirinya seumpama seorang teruna, sedangkan dia telah berkahwin. Walhal keluarganya tiada masalah apa pun jua dengan dia.

Pendek kata dia telah menipu ahli keluarga, anggota masyarakat, keluarga mertuanya, malah dirinya sendiri.

Walau apa pun alasannya, seharusnya dia tidak bertindak sejauh itu. Apatah lagi dengan pendidikan yang telah keluarga beri.

Meletakkan diri kita ke dalam fitnah juga sangat dilarang. Lelaki itu tidak boleh menyalahkan orang di sekelilingnya akibat silapnya sendiri.

Kisah ini menjadi teladan bagi kita. Cubalah agar kita tidak berbuat perkara yang tidak elok.  Perkara yang tidak elok tandanya ialah kita tidak mahu ia diketahui orang.

Mungkin lelaki itu ada sebabnya tersendiri untuk merahsiakan perkahwinannya. Namun natijahnya, dia menanggung beban dosa jika tidak bertaubat dan kembali ke pangkal jalan.

Alhamdulillah, khabar terbaru yang saya diberitahu, lelaki itu sudah bermaafan dengan keluarganya. Dia juga sudah membawa isteri dan anak-anaknya bertemu keluarganya.

Saya juga sudah bertemu dengan dia. Tapi saya tidak tertanya pula apa kaedah dia berahsia selama bertahun itu! Hehe…

Ini ada satu kerja untuk anda. Kerja anda ialah memahami satu kertas kerja. Kertas kerja itu adalah tentang ‘kertas kerja’. Harap anda sudah bersedia.

Ini suatu kertas kerja. Kertas kerja ini adalah tentang ‘kertas kerja’. Apakah itu kertas kerja? Kertas kerja bererti kerja yang dilaksanakan di atas kertas.

Ia satu perancangan. Satu rangka kerja. Satu kerja permulaan untuk satu kerja sebenar yang akan dimulakan serta dihabiskan satu masa kelak.

Katakan ada kerja sebenar yang mencapai 100 tingkat bangunan. Atau 100 hektar keluasan. Atau 100 orang tenaga pekerja. Atau 100 minggu pembuatan.

sumber : google

Maka semuanya itu diringkaskan dalam satu kertas kerja seringkas yang mungkin. Setebal 10 mukasurat. Atau 10 keping slide. Atau 10 kali mesyuarat. Dan sebagainya.

Siapakah pekerja yang kerjanya membuat kertas kerja? Apakah dia juga memerlukan satu ‘kertas kerja’ untuk membuat satu kertas kerja?

Sudah tentu dia ada kertas kerjanya sendiri sebelum membuat sesuatu kertas kerja yang lain. Kertas kerja tersebut ada di dalam kotak fikirannya.

Dengan kata lain, sudah tentu dia ada ilmu dan pengetahuan membuat kertas kerja sebelum bekerja sebagai penulis kertas kerja.

Kertas kerja asalnya bukan dari kertas, tapi dari minda pekerja tersebut. Dinamakan kertas kerja bila kerja itu dipindahkan dari otak ke kertas.

Anda lihatlah, pekerja itu telah mengerjakan suatu kerja yang begitu besar, begitu gah, dan hebat hanya dalam satu kertas kerja.

Sebenarnya, setiap satu kerja mesti ada kertas kerja. Kalau kerjanya senang, senanglah kertas kerjanya. Kalau kerjanya susah, kertas kerjanya pun ikut susah.

Perlu diingat, kertas kerja yang baik belum tentu menghasilkan kerja yang baik. Ini kerana kerja yang baik dihasilkan oleh pekerja yang baik, bukan oleh kertas kerja yang baik semata-mata.

Oleh kerana kertas kerja ini penting kepada pekerja, ia mestilah dikerjakan dengan berhati-hati. Kertas kerja yang baik seharusnya membuatkan kerja tersebut berjalan dengan lancar dan menyenangkan.

Kertas kerja juga menjadi panduan agar pekerja yang melaksanakan kerja itu dapat bekerja secara cekap dan optimum. Dan kuranglah sibuknya.

“Orang yang sibuk sebenarnya tidak cekap. Orang yang cekap sebenarnya tidak sibuk…”

Itulah peranan penting kertas kerja. Kalau anda dapat memahami kertas kerja ini, anda bolehlah bekerja sebagai penulis kertas kerja!

Siapa akan jadi pelanggan anda? Oh, tidak perlu khuatir. Ramai bakal pelanggan pinjaman institusi kewangan sedang menanti anda. Cubalah! 🙂

Nota : teringat dulu buat kertas kerja nak buat pinjaman asyik kena tolak saja. Rupanya duit nak bagi kat peminjam tak dak!  Huhu…

 

Intuisi seratus entri

 

Ini masa menghela nafas

Istirehat jiwa tenangkan minda

Ambil semangat barang seberkas

Jangan keburu nafsu dan ghairah

 

Menulis itu perlukan tertib

Berkongsi ilmu sekadarnya waktu

Selesaikan dulu mana yang wajib

Utamakan dulu yang mana perlu

 

Ini masa merenung diri

Masa mendasar ke sanubari 

Melangkau mimpi dan realiti

Masa mengenal siapakah aku ini?

 

Kembali menyusur entri dahulu

Artikel satu hinggalah kini 

Apakah aku menulis melulu?

Ataukah cuma memuaskan hati?

 

Tentu tertanya bermacam perkara

Sampaikah isi sampaikah mesejnya?

Apakah manfaatnya untuk aku?

Apa pula baiknya kepada kamu?

 

Untuk kalian kusampaikan pesan

Tulisanku ini seadanya insan

Catatan diri bukanlah berlian

Cuma kerikil di denai di jalan

 

Blog ini alat komunikasi

Tulisan entri bicara sendiri

Mana bisa terjemah segala

Cacat kurangnya tentulah ada

 

Siang malam menebus kabus

Agar sampai ke destinasi

Entri ini yang ke seratus

Menjadi teman perjalanan diri

 

Separuh abad mengharung hidup

Pedih getir membadai cukup

Dunia kecilku seizin-Nya Tuhan

Kukongsi bersama untuk tatapan

 

Dipersilakanlah kalian semua

Bicaralah barang sepatah dua

Berilah input, idea apa saja

Untukku perkemas mana yang bisa

 

Budimu teman tiada kulupa

Kubawa hingga ke akhir hayat

Moga semua memperoleh pahala

Kelak di sanalah ditimbang disukat…

 

Terima kasih kalian semua…

Pada suatu petang, semasa Jepun masih jauh dari mewah, seorang pengemis memasuki sebuah kedai kuih yang mahsyur untuk membeli sebiji manju (sejenis pau Jepun berinti kacang).

Pembantu kedai yang terkejut melihat seorang pelanggan yang begitu hina dalam kedai kelas pertamanya, lekas-lekas membungkus manju itu.

Tetapi sebelum dia sempat menyerahkan kepada pengemis itu, pemilik kedai tiba dan berkata “tunggu sebentar, biar saya melayannya”.

Pemilik kedai mengambil manju itu lalu diserahkan kepada pengemis. Sebaik pengemis itu membayarnya, pemilik kedai itu tunduk dan dengan sopan berkata “terima kasih banyak kerana sokongan awak”.

Pembantu kedai berasa hairan lalu bertanya “kenapa tuan melayannya sendiri? Sedangkan dengan pelanggan yang lain tidak berbuat demikian?”

Jawab pemilik kedai, “kita patut gembira dan berterima kasih kepada semua pelanggan yang datang ke kedai ini. Tapi dalam kes pelanggan tadi, ia suatu yang istimewa”.

“Hampir semua pelanggan kita berkemampuan, dan bagi mereka tidak ada masalah untuk membeli kuih manju di sini”.

“Tetapi bagi pelanggan tadi, dia berkehendak sangat untuk merasa sebiji manju kita. Dia mungkin telah membelanjakan segala wang yang ada padanya untuk membeli”.

“Jadi saya tahu ini amat penting kepadanya. Justeru, saya fikir dia patut dilayan oleh pemilik kedai ini sendiri. Itulah maksud perniagaan”   

*   *   *

Kisah ini saya petik dari buku Bukan Kerana Periuk Nasi Sahaja. Ia sebuah buku tulisan pengasas Syarikat Industri Elektrik Matsushita Berhad.

Pengasas tersebut, Konosuke Matsushita, merakamkan kisah tersebut dalam satu segmen di dalam bukunya itu.

Beliau menyatakan sangat tertarik dengan kisah tersebut yang memberikannya inspirasi dalam perniagaan iaitu :

“Setiap pelanggan berhak mendapat penghormatan yang sama. Bukan berdasarkan saiz pembelian atau prestij peribadi” 

Beliau juga menyatakan itulah kegembiraan seorang peniaga yang sebenar, iaitu mencari dan meletakkan hak sama taraf bagi setiap pelanggan.

Kisah ini memang menarik. Persoalannya, masih relevankah ia dengan senario perniagaan kontemporari?

Bolehkah dinilai akan status jujur pemilik kedai serta pengemis tersebut dengan keadaan semasa yang semakin penuh kecurigaan?

Itulah secebis putaran kisah dalam dunia perniagaan dan keusahawanan. Anda mungkin ada persepsi yang lain?

Dalam kisah sufi, ada kisah seorang wali Allah – Abu Yazid Al-Bustami – yang mendapat seruan Allah agar pergi ke sebuah gereja untuk satu tugasan khas.

Sebuah kisah kesufian yang cukup ilmiah dalam bentuk pertanyaan dan jawaban tentang Islam. Aku fikir kita semua tahu cerita tersebut.

Kisah ini hampir serupa tapi tidak lah sama dengan kisah Abu Yazid. Ini coretan pengalaman seorang kawan anggota risikan khas keselamatan negara.

Sebagai seorang perisik, tugas kawan aku ni penuh dengan muslihat, penyamaran, dan tentu sekali perlu keberanian menghadapi risiko yang tinggi.

Aku berjumpa dengannya tahun lepas sewaktu dia ditugaskan di bandar Muar ini. Mulanya sukar juga nak mengorek rahsia kerjayanya.

Namun agaknya sudah rezeki aku, dia tergerak hati untuk bercerita. Dia dalam misi khas. Tugasannya kali ini adalah untuk menyiasat seseorang yang hidupnya rapat dengan gereja.

Bererti dia perlu masuk ke dalam gereja! Berdebar hatinya pertama kali menerima arahan tersebut.

Walaupun tidak berkaitan dengan aktiviti gereja, kawan aku ni kena juga masuk untuk menjalankan tugasnya.

Sebagai persediaan, dia dikehendaki ke JAKIM untuk taklimat khas berkaitan akidah. Semua perkara berkaitan iman, islam, dan ihsan disentuh secukupnya.

Dia juga perlu berkursus untuk membina ketahanan jiwa, fizikal dan mental. Dan yang cukup mengejutkan, dia kena mempelajari tentang agama kristian, tentang protokol gereja dan sebagainya.

“Kalau engkau macamana Red?” tanyanya yang terus membuatkan aku terkedu. Tak sangka pula kerjaya dia begitu mencabar.

Dia tidak boleh cerita tentang pengalamannya secara terperinci semasa melakukan tugasannya. Itu sudah termasuk rahsia yang diamanahkan kepadanya.

Sesudah melakukan tugasannya itu, sekali lagi dia diarahkan ke JAKIM. Kali ini untuk mempastikan imannya tidak tergelincir. Soalsiasat perihal akidahnya cukup meletihkan.

Selepas JAKIM berpuashati dengan keadaan iman dan akidah dia, barulah dia dibenarkan berehat sebelum tugasan seterusnya.

“Kau tau Red, JAKIM cakap dengan aku tak payah kerja ni, aku dah layak jadi imam dah. Dia orang boleh tolong rekmenkan haha…”

Tapi aku tak mahu, katanya. Dia dah anggap kerja dia sebahagian dari fardhu kifayah. Soal cabaran dan dugaan tu dah biasa dan dia redha.

Aku tabik engkaulah, kawan. Syabas. Mudah-mudahan Allah membantu engkau dalam tugasan yang seterusnya…amin…

Kadang-kadang kita terlupa kepada mereka yang bertungkus lumus siang dan malam bertugas menjaga keselamatan kita semua.

Sejenak, kenanglah akan mereka ini dan berikan hadiah barang sepotong doa untuk keselamatan mereka pula…

Nota : dengar khabar ada aktivis gereja di Muar ni ialah orang Melayu ... alamak, macamana tu?  😦


Sinopsis blog abgreds

Blog abgreds ingin melihat makna
pada aksara dan kosa kata dari sudut sedikit berbeda, buat menambah variasi
pemahaman semua.
Selamat membaca!

K O T A K — S H O U T M I X

Statistik blog

  • 55,016 - sejak 19 Jun 2010

Salam sejahtera

Blog ini adalah blog peribadi abgreds. Semua artikel adalah nukilan abgreds untuk tatapan bersama.

Artikel abgreds merupakan rangkuman pengalaman dan kisah perjalanan hidup abgreds.

Abgreds harap artikel-artikel di sini dapat sedikit sebanyak memberi manfaat buat anda.

Anda dialu-alukan untuk memberikan idea, pandangan, nasihat, kritikan, dan sebagainya.

Sila tinggalkan jejak anda di ruang komentar atau shoutbox.

Terima kasih atas ziarah anda!

Salinan semula

Abgreds membenarkan kandungan artikel di blog ini diterbitkan semula dengan syarat disertakan kredit / pautan ke blog ini.

Sebarang pertanyaan boleh di e-mailkan ke abgreds melalui alamat : takterra@gmail.com

Sila ambil perhatian, kandungan blog ini adalah diawasi.....

...

Protected by Copyscape Duplicate Content Checker

Negara pengunjung

free counters
Online Users
bighandesign
My Ping in TotalPing.com

BlogMalaysia.com

Blogged.my