Blog Abgreds

Archive for Februari 2011

Maha suci Allah yang menjadikan makhluk bernama besar dan kecil. Sungguh banyak iktibar dan pelajaran untuk renungan kita bersama.

Penulis teringat bagaimana cikgu penulis memberi contoh bandingan besar dan kecil. Matlamatnya untuk menjelaskan ‘yang besar itu bukan besar, yang kecil itu bukan kecil’.

Contoh mudah katanya, lihat bagaimana semut menghurung cicak mati. Bangkai haiwan sebesar berkali-kali ganda itu boleh diangkat dibawa pergi.

Contoh lain yang klasik tetapi sentiasa relevan, iaitu otak manusia itu sendiri. Otak yang kecil itu boleh memberikan fikiran yang besar hingga merealisasikan perkara yang sungguh menakjubkan.

Jangan lupa satu lagi benda kecil yang kita selalu bawa ke mana-mana – perut. Kecil tapi sentiasa diingat kerana sifatnya yang tidak boleh dikosongkan.

Bertitik tolak dari perut yang kecil itulah, maka sekarang ini berlaku drama dalam skala yang sungguh besar, iaitu kebangkitan rakyat timur tengah dalam melawan orang besar masing-masing.

Orang besar atau pemerintah yang diktator ini sering terpedaya dengan kebesaran mereka. Sampai suatu ketika, mereka lupa bahawa mereka itu kecil saja dan mudah sebenarnya untuk di sepak diterajang oleh orang kecil atau rakyat sekaliannya.

Orang-orang kecil tadi sudah kehabisan sabar, kehabisan ikhtiar. Hidup susah angkara pembahagian kemakmuran negara yang tidak adil oleh orang besar.

Perut mereka semakin pedih kelaparan. Jika satu negara orang-orang kecil ini diperlakukan sedemikian, maka sudah pasti akan membentuk gelombang ketidak puasan hati yang sangat besar.

Seterusnya, terbentuklah satu siri kebangkitan yang tidak dapat sama sekali dipatahkan oleh orang-orang besar tersebut. Mereka tumbang satu persatu.

Sungguh menyedihkan untuk menerima hakikat bahawa mereka itu saudara seagama dengan kita. Sungguh merugikan ummah seantero dunia.

Begitulah balasan Yang Maha Besar Allah Azzawajalla. Sungguh Dia-lah yang Maha Besar dari setiap satu yang besar.

Kembali kepada diri kita sendiri. Kita adalah orang besar dalan kerajaan tubuh badan kita. Kita rajanya. Kita pemerintahnya.

Namun di atas kita ada Allah Taala, Raja segala raja. Maka janganlah kita lupa diri seperti orang besar para diktator itu.

Ingat akan segala hak-hak rakyat kita. Hak mata, hak telinga, tangan, kaki dan ‘rakyat-rakyat kecil’ kita yang lain itu.

Kesemua ‘mereka’ ada hak untuk ‘hidup’ dalam kebaikan dan beroleh pahala, serta dipelihara dari keburukan atau memperoleh dosa.

Ingatlah, kesemua ‘mereka’ akan menjadi saksi bagi setiap perkataan dan perbuatan kita. Mereka akan menjadi samada pembela atau pendakwa kepada kita. Sudahkah kita bersedia?   

Berjuanglah kita semua ini. Kita ada seteru besar bernama syaitan yang sentiasa cuba memesongkan kita. Lawanlah dengan iman dan taqwa.

Dalam diri kita ada kebesaran makhluk. Cubalah agar dapat kita keluarkan kebesaran makhluk itu, gantikan dengan kebesaran Allah…

Advertisements

“Hari ini Jumaat ya ibu-ibu, adik-adik. Nanti sudah habis sembahyang Jumaat, kamu semua siap sedia ya…”

“Sampai-sampai saja orang laki-laki depan pintu, kamu sergah dia – bang, hari ini khutbahnya cerita apa ya?

“Tanya dia sungguh-sungguh. Jangan bagi dia masuk sebelum dia jawab. Haha...tapi kalau anginnya jadi ribut, kamu cabut lah…”

“Itukan rumah dia, masakan kamu tidak benarkan dia masuk…”

“Ertinya ibu-ibu dan adik-adik…kita orang perempuan juga kena rebut kelebihan hari Jumaat ini”

“Laki-laki memang udah sepatutnya mendapat lebih kerana ada sembahyang Jumaat, ada jemaah, ada khutbah, dan macem-macem...”

“Tapinya kalo ibu-ibu tidak check dengan bertanya seperti itu, maka kita tidak tahu sama ada suami atau anak-anak kita itu bener-bener mendengar khutbah”

“Malahan kata suami saya, yang bener-bener tidur itu lagi ramai dari yang mendengar…waduhh..gimana ya….?”

“Khutbah Jumaat itu adalah pengganti dua rakaat zuhur. Justeru ia sebahagian dari sembahyang Jumaat juga. Kena dilakasana seumpama sembahyang. Kena dengar dengan to’at, kena khusyuk…”

“Kalau sampai ketiduran…apa ertinya sembahyang Jumat itu?”

“Begitulah ibu-ibu, kakak-kakak dan adik-adik ya…kita sekeluarga harus saling membantu. Begitu juga hal khutbah ini….”

“Tanyakan apa khutbahnya. Jadi semua dapat merasa kelebihan hari Jumaat – penghulu segala hari. Yang laki-lakinya, bila ketahuan akan ditanya oleh isterinya, atau kawannya akan ‘apakah khutbah hari ini?’, tentu akan bertambah pengertiannya memahami perkara itu”

“Seterusnya, tentulah si suami berazam untuk mengukuhkan ingatannya agar dapat mengingat isi khutbah itu, kerana akan dicheck oleh isterinya…”

“Yang kakak-kakak atau di Indonesia dipanggil cewek, kalau punya pacar, nah tanyakan cowok kamu itu udah sembahyang Jumaatkah?”

“Apa khutbahnya? Apa suri teladannya? Nah, gitu dong jadi cewek yang solehah dan bakal isteri muslimah…ya…”

“Ingat juga ya, betulkan niat kita semasa mahu bertanyakan itu. Jangan mempersenda atau memperkecil suami atau anak atau pacar kamu”

Niat kita kerana Allah untuk mendapat bagiannya kebaikkan hari Jumaat. Disamping itu, kita mahu para laki-laki ini bener-bener juga…”

Bener solat Jumaatnya. Bener dengarin khutbahnya. Bukan tidur pula…”

“Awas ya laki-laki sang suami. Isteri, atau anak perempuan, atau rakan wanita kamu sudah dengarin di sini…nanti kalo di pintu ada ‘jaga’, atau tukang tanya khutbah, jangan marah ya….” 🙂 🙂 ….

Saya mengambil kesempatan kali ini untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada sahabat blogger Puan Siti Fatimah Ahmad.

Beliau antara sahabat blogger yang saya hormati dan kagumi. Beliau merupakan seorang pendidik dan juga seorang Munsyi Dewan di Dewan Bahasa dan Pustaka (bahagian jawi).

Menelusuri blog beliau, saya rasa diketemukan dengan sebuah taman ilmu yang indah lagi mengasyikkan. Beliau sememangnya mahir dalam pengayaan bahasa.

Baru-baru ini, sahabat beliau menghadiahkan award sebagai aktiviti penghargaan sesama blogger.

Lantas dipanjangkan pula kepada saya sebagai salah satu penerima yang seterusnya. Terima kasih untuk award comel itu ya bunda.

Oh ya, sekali imbas, kelihatan blog bunda Siti ini seperti blog dari negara tetangga Indonesia kerana rata-rata komentatornya dari sana.

Namun hakikatnya bunda Siti adalah blogger Malaysia iaitu di Sarikei, Sarawak, Bumi Kenyalang. Tapi bunda Siti memang punya ramai peminat dari negara tetangga itu. Salah satunya disebabkan sikap bunda Siti sendiri yang cukup mesra dengan khalayak pembaca negara jiran itu.

Blog bunda Siti merakamkan perkongsian ilmu dan pengalaman beliau tentang kehidupan ini, khususnya yang beliau lalui.

Dipersembahkan dengan gaya penuh keilmuan, kematangan, dan keibuan. Langsung bagi saya ia merupakan satu blog yang amat dekat di hati dan minda saya.

Lagi satu, bunda Siti juga seorang yang berbakat menghasilkan imej suntingan. Boleh dikatakan hampir dalam setiap entri, bunda Siti akan menyisipkan gambar-gambar yang berkaitan hasil gubahan sendiri.  

Saya menyambut baik usaha beliau bersusah payah menyunting award tersebut dan menghadiahkan pula kepada kawan yang lain seperti saya.

Akan tetapi bunda dan para pembaca blog ini, saya tidak pula berniat berbuat perkara yang serupa. Saya tidak fikir adanya kesempatan untuk saya meneliti lalu meng’tag’ siapa-siapa lagi.

Saya fikir penghargaan boleh dibuat dalam pelbagai bentuk yang lain, tanpa menolak usaha bunda Siti ini pun amat baik sekali.

Kepada anda semua, mari kita singgah ke laman bunda Siti di sini – http://webctfatimah.wordpress.com/ . Mudah- mudahan ada diantara buah fikiran dalam entri beliau dapat memberikan anda sesuatu ilmu yang baru.

Kepada bunda Siti Fatimah, saya ucapkan selamat maju jaya. Semoga Allah memberkati dan merahmati puan dan famili di sana. Maaf ya bunda jika preview ini tidak secantik award bunda… 🙂

Pulau Pandan jauh ke tengah, Gunung Daik bercabang tiga; Hancur badan dikandung tanah, Budi yang baik dikenang juga…         

Rezeki bagi seorang penulis datang dalam berbagai bentuk bergantung kepada niat, matlamat, dan hasil tulisan tersebut.

Ada yang berbentuk material seperti honorarium atau royalti wang ringgit. Ada yang datang secara penghargaan dan kekaguman para pembaca.

Yang pasti, sejauh mana hasil tulisan anda mempengaruhi minda pembaca, sejauh itulah jarak pencapaian tulisan anda.

Semuanya memerlukan elemen kreativiti. Dan pastinya juga memerlukan ilmu berbahasa yang tidak kurang pentingnya.

Seorang pengemis buta duduk menanti rezeki tuhan dari simpati orang ramai. Di hadapannya ada bekas mangkuk menindih sekeping kadbod.

Di kadbod itu tertulis “BANTULAH SAYA. SAYA BUTA”. Seharian menunggu, namun rezeki tiada berkunjung datang.

Lalu datang seorang pemuda. Dia menghulur sedekahnya sambil mengambil kadbod itu, diterbalikkan lalu menulis sesuatu. Seterusnya diletakkan semula ditempat asalnya.

Beberapa waktu kemudian, pemuda itu kembali dan ditegur oleh si pengemis buta. Mungkin deria telinganya dapat mengecam rentak langkah pemuda itu.

“Apa yang anda lakukan tadi? Selepas pemergianmu, orang-orang jadi bermurah hati memberikan sedekahannya…”

Benarlah kata pengemis tadi. Mangkuk dihadapannya dipenuhi wang sedekahan orang ramai, sedang biasanya tidak begitu banyaknya.

“Syukurlah…aku menuliskan di kadbodmu… SUNGGUH INDAH HARI INI, MALANG, SAYA TIDAK DAPAT MELIHATNYA….”jelas pemuda itu.

Kisah dipetik dan disesuaikan dari Mastika Januari 2008.

Dengan izin tuhan, bait-bait ayat tersebut berjaya meruntun hati para khalayak hingga mendorong mereka menghulur sumbangan dan sedekahan.

Ayat asal hanya memberitahu bahawa pengemis itu buta. Namun ayat kedua lebih merujuk agar mereka yang dapat melihat itu supaya bersyukur tidak menjadi buta seperti dirinya…indah bukan?

Dalam konteks dunia blog, anda para penulis juga saban kali berusaha mengatur aksara dan bicara, agar lunak di mata dan jiwa pembaca.

Dengan itu, para pembaca akan dapat merasa dekat dengan anda. Mereka dapat menghayati dan merasa denyut nadi artikel anda.

Seterusnya menghirup enak segala ilmu bicara hingga habis tidak bersisa. Dek kerana keenakan itu, maka puaslah jiwa raganya dengan bicara tersebut.

Lalu ternantilah dia akan artikel seterusnya, dan seterusnya…Itulah rezeki dari bahasa yang indah murni.

Hendak cari rezeki, kena pandai berbasa-basi; hendak rezekinya bertambah, kena pandai berbahasa indah!

Tanyalah kepada para peniaga tu… tak gitu bang? 🙂

Maaf la kawan-kawan, aku masih nak cerita pasal banjir lagi ni. Maklumlah, ramai suku sakat orang kampung aku jadi mangsa, terasalah juga.

Hari ini banjir dah makin pulih. Ramai mangsa dah balik rumah masing- masing termasuk abang aku yang menumpang tempohari.

Pun begitu, tentu sekali mereka berhadapan pula dengan kehampaan dan kesedihan melihat kemusnahan dan kerosakan harta benda mereka.

Apa yang aku nak berkongsi adalah fenomena cuaca ekstrim yang akhir- akhir ini menjadi biasa, selepas dulunya dianggap luar biasa.

Di seluruh dunia, pola perubahan cuaca semakin tidak menentu dan semakin sukar diterka. Perubahan suhu, arah angin, laluan awan melangkau tahap normal hingga menghasilkan bencana yang tidak keruan.

Penduduk di pekan Panchor umumnya telah biasa dengan istilah ‘banjir Segamat’. Ertinya, mereka sudah menjangka bila tiba musim hujan dan daerah Segamat mengalami banjir, kelak mereka juga akan kena.

Ini disebabkan Segamat adalah kawasan hulu bagi sungai Muar. Apabila banjir, maka air itu akan turun ke muara melalui pekan Panchor.

Namun berbeza sewaktu banjir tahun 2006, banjir kali ini sedikit tidak dijangka kerana cuaca adalah cerah. Tiada hujan di Panchor. Air banjir naik dalam cuaca terik matahari!

Luar biasa? Tentulah tidak lagi. Kusangka panas sampai ke petang, rupanya banjir di tengahari...hahaha…ini bual bicara orang kampung …

Dalam dunia global, fenomena ini tidak terkecuali. Banjir telah berlaku di tempat yang berpuluh atau beratus tahun tidak terjadi seperti di Australia.  

Salji yang sangat tebal melanda Eropah hingga menyebabkan kemusnahan bangunan dan menjejaskan aktiviti penduduk.

Kebakaran dan banjir yang berlaku serentak di sesuatu tempat berdekatan atau bersebelahan saja. Bukan lagi perkara luar biasa kini….

Sesungguhnya semua ini adalah berlaku dengan izin Allah Taala. Dialah yang mengatur perjalanan kesemua makhluk termasuk yang bernama ‘cuaca’ ini.

Aku juga perasan, bukan cuaca dunia saja yang berubah resam, cuaca kita yang namanya manusia ni pun nak ikut sama… 🙂

Sikit-sikit marah, sikit-sikit angin, sikit-sikit terajang, sikit-sikit penampo… ah, bukan luar biasa lagi…semuanya udah jadi biasa lor…

Kita dan dunia ini sama-sama menuju tua. Sama-sama kelelahan menahan tekanan demi tekanan untuk menyambung nafas kehidupan.

Semoga kita prihatin dengan tanda-tanda kekuasaan Tuhan, yang merupakan juga tanda-tanda akhir zaman….

Salam sejahtera teman-teman. Aku ada sedikit masa untuk kemaskini blog. Terima kasih atas kunjungan teman semua.

Pertamanya aku nak jelaskan sikit pasal entri cuti tahun baru cina yang lepas. Entri tu sebenarnya nak beritahu teman-teman bahawa aku dah cuti berblog sebelum entri tersebut lagi, bukan baru nak bercuti.

Ertinya aku dah mula sibuk hingga menghadkan aktiviti berblog beberapa hari sebelum aku tulis entri tu.

Orang yang nak bercuti yang aku maksudkan ialah tauke-tauke dan kawan-kawan cina yang nak sambut tahun baru, yang sebelumnya ‘sibuk’ sepanjang tahun bekerja, bukan aku.

Aku pula sibuk nak selesaikan kerja agar para tauke tu yang ‘sibuk nak bercuti’ dapat bercuti tahun baru cina.

Tapi bila aku baca balik, memang boleh pula bermaksud aku yang nak bercuti haha…okeylah, alang-alang teman berfikir macam tu, elok juga aku cuti betul-betul. Malangnya, lain dirancang lain yang jadi.

Ini bab keduanya, masa kawan-kawan cina tengah ‘makan besar’, aku ingat nak pergi mana-mana makan angin ler kononnya.

Tiba-tiba aku dapat berita air banjir telah naik di kawasan Panchor dan Pagoh. Kat situ ada saudara mara aku yang menjadi mangsa banjir dan di arahkan berpindah ke pusat penempatan.

Alamak, harus batal rancangan aku tu. Memang betul. Tak lama lepas tu, abang aku telefon, nak tumpang rumah aku. Takkan lah tak bagi, kan? Aku pun cakap, datanglah.

Maka dia sekeluarga pun datang. Jadilah rumah aku pusat penempatan banjir tak rasmi untuk abang aku. Sebelumnya dia orang dah daftar di pusat penempatan banjir yang sebenar.

Tapi tau sajalah, mana selesa duduk ramai-ramai macam tu. Kenderaan ada. Rumah aku ada. Apa lagi, cabutlah duduk rumah aku…

Dah ada tetamu ni, takkanlah aku nak dok tercongok depan pc, kan? Rumah kenalah dikemas mana yang perlu. Sediakan bilik dia orang. Jadual rutin pun kena ubah sikit. Nak ‘ngeblog’ memang tak adanya…

Itulah serba sedikit cerita ‘percutian’ aku yang sangat menarik 🙂 . Nanti ada masa aku sambung ok.

Maaf sebab masih belum dapat melawat blog teman-teman. Banjir belum surut doh…. Pusat penempatan masih ‘beroperasi’haha… 😉

Maaf kawan-kawan, aku dah cuti ‘ngeblog’ beberapa hari ni. Aku cuti pasal nak bagi cuti untuk orang lain yang akan bercuti.

Orang lain tu tengah sibuk nak beraya dan bercuti. Aku pulak sibuk nak bereskan kerja dia orang biar dia orang boleh bercuti lepas ni. Jadi masing -masing sibuk la kiranya.

Setiap tahun memang macam ni. Setiap kali menjelang Tahun Baru Cina, aku punya jadual jadi sibuk semacam. Ini semua gara-gara pelanggan syarikat tempat aku bekerja.

Aku kerja kat syarikat konsultan projek. Syarikat ni menguruskan pelan tanah dan bangunan untuk kelulusan majlis tempatan. Aku jadi draughtman jer.

Ramai pelanggan syarikat terdiri dari bangsa cina. Korang tau la, bangsa cina ni sepanjang tahun sibuk memanjang. Cari duit jer kerjanya. Cukup sibuk sampai tak ingat nak cuti.

Jadi bila sampai perayaan Gong Xi Fa Cai, encik-encik ‘sibuk’ ni sibuk pulak la nak bercuti. Mereka selalunya cuba membereskan apa jua kerja atau projek yang masih dalam proses kerja.

Makanya, bersusun-susun permintaan, permohonan, peng’ugut’an agar fail masing-masing dikemaskini seberapa segera oleh pihak syarikat.

Bahagian aku jaga lukisan bangunan. Segala mak nenek punya draft, sketch, rekabentuk aku kena siapkan. Lagi-lagi rekabentuk yang sudah dipersetujui pelanggan. Mereka nakkan lukisan akhir siap seberapa segera.

Masa belum Tahun Baru meleceh-leceh. Design tak lawalah, nak ubah tingkaplah, ubah pintu, dan macam-macam songeh…

Bila dah nak Tahun Baru, dah nak pakai duit, tau pulak suruh cepat-cepat siap. Kalau dah semua bersikap macam tu, tak ke fenin aku jadinya. Semua nak siap. Semua nak cepat...haru jer…

Terpaksalah kerjakan dulu menatang tu. Periuk nasik kena jaga beb…tapi kos melepasnya aku kenalah cuti ‘ngeblog’ hehe…

Macamanapun, aku nak ucap terima kasih kat korang semua… dalam tak ada entri baru, korang masih sudi menjenguk blog ini.

Aku juga nak ucap terima kasih kepada sahabat maya yang sama-sama memberi buah fikiran dalam komen mereka untuk entri aku terdahulu.

Mudah-mudahan komen tersebut dapat mencambahkan fikiran kita semua, dan dapat membantu khususnya kepada saudari Erysa untuk membuat keputusan yang penting dalam hidupnya.

Nota : Selamat bercuti kepada yang akan bercuti. Yang kena kerja tu, selamat bekerja untuk memberi cuti kepada rakan yang lain pula… 🙂  Gong Xi Fa Cai !


Sinopsis blog abgreds

Blog abgreds ingin melihat makna
pada aksara dan kosa kata dari sudut sedikit berbeda, buat menambah variasi
pemahaman semua.
Selamat membaca!

K O T A K — S H O U T M I X

Statistik blog

  • 56,579 - sejak 19 Jun 2010

Salam sejahtera

Blog ini adalah blog peribadi abgreds. Semua artikel adalah nukilan abgreds untuk tatapan bersama.

Artikel abgreds merupakan rangkuman pengalaman dan kisah perjalanan hidup abgreds.

Abgreds harap artikel-artikel di sini dapat sedikit sebanyak memberi manfaat buat anda.

Anda dialu-alukan untuk memberikan idea, pandangan, nasihat, kritikan, dan sebagainya.

Sila tinggalkan jejak anda di ruang komentar atau shoutbox.

Terima kasih atas ziarah anda!

Artikel Terbaik

Salinan semula

Abgreds membenarkan kandungan artikel di blog ini diterbitkan semula dengan syarat disertakan kredit / pautan ke blog ini.

Sebarang pertanyaan boleh di e-mailkan ke abgreds melalui alamat : takterra@gmail.com

Sila ambil perhatian, kandungan blog ini adalah diawasi.....

...

Protected by Copyscape Duplicate Content Checker

Negara pengunjung

free counters
Online Users
bighandesign
My Ping in TotalPing.com

BlogMalaysia.com

Blogged.my