Blog Abgreds

Archive for Mac 2011

Sepuluh hari berlalu tanpa sebarang entri baru. Sepuluh hari berlalu tanpa bicara. Tiada khabar berita. Tiada suara tiada apa…

Namun teman, sepuluh hari itu cukup bermakna bagiku. Menjauhi dunia tanpa wayar ciptaan manusia yang serba lemah.

Aku berkelana dalam satu dunia yang lebih indah. Lebih bererti. Juga dunia tanpa wayar yang zahir terlihat. Tapi penuh nikmat tersirat.

Ia adalah dunia internet yang punya roh dan jiwa. Sesungguhnya ia jauh lebih mempesona. Tiadalah yang lebih asyik selain mensyukuri anugerah dari-Nya.

Hampir-hampir saja aku memutus untuk tidak lagi berbicara di ruang yang sepi dan maya ini. Selain terasa begitu berharganya masa hingga menerbitkan nilai negatif untuk menelusuri internet sebegini rupa.

Ya, didatangi perasaan demikian, memaksa aku berfikir sejenak. Peringatan itu datang untuk menunjuk arah dan panduan.

Al-hamdulillah, aku dianugerahkan pesanan lewat peristiwa sepuluh hari kebelakangan ini, kesemuanya ke arah memperingati Dia…

Aku terharu dengan ziarahmu teman. Tiadalah aku dapat membalasnya melainkan doa agar Allah memberi kebaikkan untuk teman semua.

Apakah peristiwa itu?

Tidaklah aku berhasrat untuk menukilkannya di sini. Cukup untuk aku katakan bahawa ia antara peristiwa besar dalam perjalananku sebagai seorang hamba untuk kembali kepada Penciptanya….

Berdoalah kita semua teman, agar sentiasa mendapat taufik dan hidayah daripada Allah SWT…setiap detik dan ketika, setiap tidur dan setiap jaga….

Semoga doa itu akan termakbul lalu terzahir dalam kehidupan kita, lalu menjadi suri teladan dan membentuk suatu peringatan.

Aku bermohon maaf sebanyak-banyaknya kepada para tetamu blog ini. Bicaraku akan kian berkurang. Masamu akan kian berkurang. Silaturrahim akan turut merenggang.

Aku juga bermohon maaf kiranya entri ini kurang dapat dimengerti. Kiranya begitulah sifat sesetengah perkara itu – agak misteri dan agak berseni…

Cubalah anda membaca dengan mata hati, insya Allah akan dipermudahkan oleh-Nya untuk memahami…. 🙂

Begitulah. seketika tanpa internet duniawi ini, demi seketika untuk internet ukhrawi ….aku fikir suatu yang amat berbaloi. Sungguh berbaloi…

Berpadalah dalam perbuatan kita. Janganlah sampai hiasan dunia yang sementara ini dapat melalaikan kita dari dunia yang kekal nanti.

Sekali lagi, aku mengucapkan berbanyak terima kasih atas kunjungan teman semua. Entri ini aku tulis setelah melihat statistik tetamu tadi.

Insya Allah, kiranya ada rezeki lagi untuk aku mencoretkan sesuatu di sini, aku pasti akan tuliskannya. Mohon permisi dahulu…..

Ini zaman internet. Semua ada di hujung jari. Yang baik maupun yang buruk. Pilihan di tangan dan minda kita.

Namun perkongsian ini bukan pasal internet. Ini kisah suatu waktu dahulu. Bagaimana seorang hamba menggunakan jari jemarinya sebagai tamsil ibarat mengenai perpaduan ummah. Ikuti kisahnya…

Jari kita ni tuan-tuan sebenarnya melambangkan keperluan dalam sesuatu komuniti. Lima jari ertinya lima elemen kena ada tuan-tuan.

Pertamanya, ibu jari. Ibu jari ini adalah ketua jari-jari. Nak tunjuk bagus tak bagus…arr pakai ibu jari. Kalau ibu jari naik atas, thumbs up!...bagus!

Kalau ibu jari tunjuk bawah…kalah! Salah, rugi, tak bagus…betul tak tuan-tuan? Jadi ibu jari ni mewakili golongan pemimpin tuan-tuan.

Mesti ada pemimpin yang benar-benar berkaliber, berkualiti, berilmu, beriman…dan lain-lain aspek kepimpinan yang bagus.

Kalau pemimpin hampeh tuan-tuan, macamana golongan rakyat nak mencari panduan? Macamana rakyat nak berpadu dan bersatu?

Yang kedua, jari telunjuk. Ini siapa tuan-tuan? Ha, ini golongan berupaya atau kaya. Bukan kaya harta saja, malah kaya tawaduk dan bersifat dermawan.

Mesti ada dalam masyarakat kita golongan seperti ini. Yang kaya tapi kedekut tak termasuk sini. Kedekut tu ertinya mementingkan diri sendiri.

Dalam realiti tuan-tuan, “telunjuk orang kaya lebih bererti dari telunjuk orang miskin”…. Ini betul tuan-tuan. Tuan-tuan fikirlah sendiri…

Zaman segala-galanya memerlukan duit, kenalah ada wakil komuniti kita yang berduit, taklah nanti terpaksa minta tolong dengan orang kafir, kan?

Jadi yang jadi orang kaya tu ambillah peringatan ya. Duit yang kamu ada tu bukan semua milik kamu. Ada hak-hak untuk yang lain juga.

Yang ketiga, jari tengah. Tuan-tuan tengok ya, biasanya jari tengah kita ni lebih panjang dan lebih tinggi kan…apa ertinya itu tuan-tuan?

Itu maknanya yang paling tinggi dan mulia. Dalam konteks masyarakat, jari tengah ini mewakili golongan ulama tuan-tuan.

Golongan bijak pandai agama ini duduk paling atas. Dia kena jadi pakar rujuk. Dia kena tegak hukum. Tak boleh main-main…

Golongan ulama inilah peneraju komuniti Islam. Menjadi nakhoda agar perjalanan hidup masyarakat itu terpelihara dari kemungkaran.

Tegak dan tegas berbicara berhukum. Kiri tidak kanan pun tidak. Semua mesti ikut Quran dan Sunnah. Itu peranan ‘jari tengah’…

Yang keempat, jari manis. Senang nak ingat ni tuan-tuan. Jari manis ni tempat kita sarung cincin tunanglah, cincin risiklah, cincin kahwin…

Ertinya tuan-tuan, jari manis ini adalah golongan belia dan beliawanis dalam masyarakat. Apa peranan golongan belia ni tuan-tuan?

Pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara…ertinya tuan-tuan, golongan belia ini pusat pertahanan bangsa dan masyarakat.

Dalam fasa belia, kita manusia ini dalam tempoh optimum dari aspek kehidupan. Penuh semangat, penuh wawasan, penuh idea dan auta..haha..

Masa inilah, pemikiran lama dan baru dicerna sesebati mungkin, demi membentuk halatuju baru yang lebih dinamik…ini kerja orang muda tuan-tuan yang muda-muda ni ya…ingat tu!…

Yang terakhir, kelima, jari kelingking. Jari yang paling kecil dan halus. Siapa dia tuan-tuan?

Betul tu…jari kelingking tu ertinya adik-adik dan anak-anak kita ni. Generasi baru. Generasi yang akan mencerminkan hidup manusia akan datang.

Apa peranan golongan ini tuan-tuan? Dia orang tak lah ada peranan apa, melainkan belajar, belajar, dan belajar…

Kitalah yang sebenarnya berperanan mendidik agar generasi anak cucu kita ini menjadi manusia yang mukmin dam muslim jati.

Kitalah yang bertanggungjawab melahirkan insan-insan yang berhambakan Allah Taala, bukan hamba dunia dan hamba harta…

*     *    *     *

Demikianlah tuan-tuan dan puan-puan, pembentukan keharmonian sesebuah masyarakat itu perlu ada semua peranan kesemua golongan yang disebutkan.

Setiap kita mewakili golongan tertentu berdasarkan faktor usia, ilmu dan harta kita. Berusahalah kita agar peranan kita itu berkesan dan bermanfaat.

Insya Allah, semua usaha kita ada nilai di sisi Allah Azzawajjala…

Dalam kisah manusia tersohor seperti wali-wali, kedapatan bermacam peristiwa yang sarat dengan ilmu hakikat dan falsafah hidup yang meyakinkan.

Antaranya kisah tentang dua orang wali Allah ini. Seorang daripadanya mendapat amanah untuk menyampaikan suatu amanat kepada seseorang.

Dalam perjalanan, dia singgah di sebuah masjid untuk bersembahyang. Lalu didapatinya bacaan fatihah imam jemaah itu salah. Dia yakin itu salah.

Timbul hasrat di hatinya untuk menangguhkan perjalanannya untuk membetulkan bacaan fatihah imam tersebut.

Selesai jemaah, imam tersebut terlebih dahulu menegurnya, “pergilah kamu meneruskan perjalanan kamu, dan biarkan saya dengan bacaan fatihah yang tidak betul ini”

Terkejut wali yang pertama itu. Bagaimana dia tahu yang aku ingin membetulkan bacaan fatihahnya?, tertanya dia di dalam hati.

Ternyata imam itu bukan sembarangan orang walaupun bacaan fatihahnya tidak betul. Mungkin Allah membuka hijab hingga dapat imam itu mengetahui isi hatinya… 

Sambil meminta maaf atas niatnya itu, wali pertama itupun lalu berlalu pergi meneruskan perjalanannya… 

Ternyata kemudian, sahabatnya yang sedang menunggu titipan itu sudah mahu berangkat pergi. Sekiranya dia tinggal di masjid tadi lebih lama, tentu amanat itu tidak dapat disampaikannya…

Wallahualam, begitulah kisahnya. 

Kedua-duanya begitu yakin dengan ilmu masing-masing, walaupun si imam tahu bacaannya salah. Tentu ada kisahnya tersendiri.

Yakin ini sesungguhnya kurnia Allah atas makhluknya, tidak kira makhluknya itu bertuhankan Dia ataupun tidak.

Setiap kita diberi rasa yakin yang tersendiri. Yang membezakan cuma ilmu untuk memperoleh keyakinan diri itu. Jika sempurna ilmunya, sempurnalah yakinnya. Sempurnalah niat dan perbuatan kita.

Masalahnya, kita sering tersalah. Kita tahu yang kita buat itu betul. Tapi kita tidak yakin disebabkan pelbagai faktor. 

Contohnya beribadah, bekerja yang halal, dan lain-lain perbuatan baik. Betul tapi tak yakin. Jadi perbuatan kita menjadi cacat, rosak, salah dan tidak diterima atau memuaskan. 

Adakalanya kita tahu perbuatan kita salah. Tapi yakin sungguh akan berjaya. Contohnya nak mencuri, menyamun, menipu dan sebagainya. Yakin tapi tak betul.

Sentiasa ada ruang untuk mempertingkatkan iman dan yakin kita. Sentiasalah berusaha dan terus belajar.

Manusia yang berkeyakinan akan terserlah karakternya samada sebagai manusia yang baik atau manusia yang jahat!..

Nota  :

Untuk mendapat hikmah dari kisah wali-wali seperti itu, kita hendaklah berilmu dan sentiasa merujuk kepada guru yang murysid.

Perilaku serta peristiwa tertentu kadangkala terlihat sebagai menyalahi hukum, sedangkan ia dikaitkan sebagai kebaikan atau kurniaan Allah.

Contohnya dalam kisah di atas, mungkin timbul tanda tanya, kenapa dengan bacaan fatihah yang salah masih boleh jadi imam?

Itulah sebabnya kita kena berguru. Bukan baca sendiri kemudian faham sendiri, kemudian buat kesimpulan sendiri. Walaupun yakin, itu bukan caranya! Itu berguru dengan syaitan!

Belajarlah dengan guru sebenar yang yakin diri dan berkeyakinan dengan murid-muridnya, Insya Allah kita akan sama-sama yakin lagi meyakini…

“Depan rezeki ni, abg Red aku cerita. Bukan nak mengajar ke apa ke…tak ada. Betul-betul pengajaran buat aku bang…”

“Masa aku jumpa doktor, doktor tu pun terkejut. Eh, dua ratus lebih ni. Macamana awak boleh ke sini? Biasa macam ni dah tumbang dah…”

“Aku jawablah, doktor tak payah tanyalah…itu semua kan kerja Allah. Orang sihat pun boleh mati. Doktor buat jer kerja doktor..”

“Aku lalu ditahan dan di masukkan ke wad. Macam-macam kes ada. Ada yang darah tinggi macam aku ni. Ada kencing manis dan lain-lainlah…”

“Abang Red tau, wad tu rupa-rupanya untuk kes kronik. Aku dah termasuk kronik juga. Aku kat wad tu tiga hari”

“Tapi dalam tiga hari itulah aku rasa ajal aku dah dekat, bang. Pesakit dalam wad tu sorang-sorang ‘pergi’. Kejap kiri, kejap yang kanan…”

“Nanti ganti pesakit lain, macam tu juga. Kalau nampak ada ahli keluarga dah sain borang tu…alamatlah…tak lama akan diusung keluar…”

“Betul-betul aku insaf, bang. Dah tak ingat apa lagi dah. Ingat mati jer. Ingat dosa aku yang banyak. Ingat nak ngadap ajal…takut bang…”

“Ada sorang pesakit tu, dah berenti dah jantung dia. Doktor buat renjatan elektrik. Dua tiga kali aku tengok dadanya ditekap lalu terangkat-angkat”

“Tak lama lepas tu, aku pergi tengok dia. Aku cuit la beberapa kali- bang…bang…senyap..tak ada respon.”

“Aku cuit lagi…bang-bang…lama-lama dia buka mata. Dia tengok aku atas bawah atas bawah…eh, AKU HIDUP LAGI?…tanyanya kat aku…”

“Aduhh…berdebar aku. Dengan kepala yang berdenyut-denyut, badan dah tak  bermaya, tenaga dah tiada…agaknya akan tiba masa aku pula?”

“Di depan aku terasa ajal sedang menanti. Malaikat Izra’il sedia menjemput…hanya menunggu sampainya masa…”

Demikian luahan hati seorang teman. Patutlah sudah lama saya tidak ketemu dengannya. Rupa-rupanya sedang berjuang dengan nyawa.

Bukan dipinta nasib sebegitu. Siapalah yang mahu derita sengsara? Namun takdir bukan di tangan hamba. Ia mutlak milik Yang Esa.

Teman itu memelihara ibunya yang sudah uzur. Dengan pendapatan yang tidak seberapa, mungkin sedikit menjejaskan sabar tabahnya.

Mungkin juga untuk memberi insaf akan dirinya, serta kita sebagai manusia, maka diujikan Allah dengan pengalaman begitu.

Hidup ini penuh kematian. Mati hati, mati jiwa, mati semangat, mati jasad…namun kita sebagai mukmin dan muslim punya Allah yang Maha hidup,  punya nabi yang amat pengasih.

Itulah iman kita. Itulah tujuan kita. Hidup ini hanya sementara. Akhirat jualah yang kekal selama-lamanya…

Mungkin hamba terlalu idealistik. Hamba fikir tak salah kiranya idea tersebut mendorong kita hamba rakyat untuk terus berusaha dan tidak berputus asa.

Hamba begitu berharap satu hari nanti kita semelayu dan seislam ini dapat bersatu dalam erti kata yang lebih bermakna.

Bersatu iman dan hati. Bersatu cinta dan cita-cita. Bersatu air mata gembira dan air mata berlinang duka nestapa.

Bersatu seteguh-teguhnya. Erat mempererat di bawah panji-panji Iman, Islam, dan Ihsan. Cukup kuat hingga sukar di ganggu-gugat.

Lalu bertebaran para pejuang kebenaran dan hak melerai keluh kesah manusia yang bodoh, jahil dan keliru. Meninggikan syiar Allah merata nusa.

Sinar keagungan islam bergema, sekutu dan seteru diadili sesaksama. Berkat hidup terasa aman, selamatlah di dunia dan hari kemudian…

Mungkinkah boleh terjadi yang demikian itu?….

Itu impian kecil seorang hamba. Impian yang indah mengulit tidur. Namun realitinya masih jauh dan masih samar.

Sebenarnya, hamba tadi baru kembali dari kelana ke Merlimau sana. Bukan untuk mengundi. Bukan makan angin.

Hamba kena kerja overtime. Dapatlah gaji barang sehari dua. Beli tempe, beli tahu, habislah ia. Duit hari ni, tuan hamba tau-tau saja lah yee…

Di wilayah Merlimau serta wilayah Kerdau diadakan pilihanraya kecil hari ini. Satu lawan satu. Melayu lawan melayu.

Satu bangsa, satu agama, satu negara. Namun berseteru juga bersengketa. Saling memburuk, saling mengata. Merebut kuasa merebut laba.

Hamba bukan orang siasah. Tak pandai cakap, tak tau belasah. Tak reti lobi, tak faham ‘kopi’. Tak ada kabel, tak ada kroni.

Tidak, tidak…hamba ini cuma hamba rakyat. Menumpang hidup di bumi bertuah ini. Sebelum ajal menjemput nanti.

Kenapa tuan hamba sekaliannya itu? Kenapa tuan hamba berseteru sebegitu? Kenapa tuan hamba tidak mahu bersatu?

Sebentar waktu nanti, akan tiba masa dinanti. Waktu diumum nama pengganti. Waktu YB baharu akan dirai.

Siapa yang menang? Siapa yang kalah? Ya… demokrasi yang menang, dan melayulah yang kalah, kerana siasahnya yang tersalah arah.

Ah…biarkanlah. Hamba masih ada impian yang menemani hamba. Yang setia menitip semangat hamba tiap detik dan ketika…      

p/s : Bila berbicara perihal siasah ni, aku lebih suka meneliti tulisan-tulisan Dr. Ridhuan Tee Abdullah.

Beliau ada mengulas betapa orang kita ini terlalu suka berpolitik hingga merugikan bangsa dan agama.

Lihat tulisan terbaru beliau –http://ridhuantee.blogspot.com/2011/03/beza-antara-politik-melayu-dan-cina.html

Nak mencari ilmu yang benar-benar memberi kesan sukar kan? Nak cari majlis yang benar-benar ilmunya memberi kesan pun payah kan?

Aku hadir dalam sebuah majlis maulidur rasul baru-baru ini. Sebenarnya aku jarang tergerak hati untuk menghadiri majlis seumpama ini.

Bukan aku tak suka majlis seperti itu. Tapi aku tak suka formaliti dalam majlis itu. Lebih-lebih lagi majlis yang melibatkan tetamu vip.

Pengurusan persediaan majlis itu lebih tertumpu kepada aspek material dan luaran. Soal tempat majlis, soal tetamu kenamaan, tatarias dewan, kerusi vip, sajian, khemah…macam-macam…

Aku jangkakan dengan persiapan rapi itu turut tempias kat pengisian ilmunya nanti. Tapi aku hampa. Penceramahnya hari itu kurang berkesan. Walaupun ilmu yang disampaikan banyak, namun audien kurang memberi perhatian.

Puncanya, skil beliau berkomunikasi agak kurang. Intonasi mendatar, kurang melibatkan audien, tiada pertanyaan spontan, malah lawaknya juga kurang menjadi.

Sudahnya, para hadirin mula berceramah sesama sendiri. Pok-pek pok-pek sampai suara penceramah kian sayup. Alahai…inikah rupa majlis maulidur rasul? Lebih kurang satu jam, berakhirlah sesi ceramah tersebut.

Giliran tetamu kehormat dijemput berucap (untuk merasmikan majlis). Sebaik saja habis kata-kata pendahuluan, beliau terus bertanya “tuan-tuan nak untung ke rugi?!” Tersentak seketika para hadirin.

“Tuan-tuan nak untung atau rugi?!”, tanyanya lagi dengan kuat dan jelas. Serta merta hadirin membalas “untung…!!”…

“Kalau nak untung, begini…dan begini…”, jelas tetamu kehormat tersebut. Beliau memetik tafsiran Quran surah wal-Asr (demi masa….).

Terlihat betapa jaraknya skil komunikasi antara penceramah tadi dengan tetamu kehormat tersebut. Kedua-duanya pasti selalu bercakap dan berceramah. Tetapi gaya dan caranya tidak sama.

Lantas timbul kekesalan di benak aku bahawa kaedah penyampaian ilmu yang tidak sesuai akan menyebabkan ilmu tersebut tidak akan sampai kepada audien atau pendengar.  

Walaupun ilmu itu ilmu yang baik, yang benar dan hak. Masih ada ilmu lain iaitu ilmu komunikasi untuk menyampaikannya pula.

Amat sayang rasanya jika ilmu yang disampaikan itu terbantut begitu sahaja. Perkara semacam ini sepatutnya diambil perhatian oleh pengurusan majlis.

Mungkin gaya penceramah itu sesuai di majlis yang lain, tetapi bukan untuk majlis maulidur rasul, yang mana para pendengarnya telah diberitahu ada makan nasi beriyani selepas ini! 🙂

Aku fikir itulah skema hidup hari ini. Itulah budaya membuat sesuatu acara. Dan kalau begitu, aku akan semakin bersikap memilih majlis.

Itu skema hidup aku pula. Aku kena berusaha agar majlis yang aku hadiri menyumbang ilmu sebanyak mungkin kepada aku.

Nak tambah ilmu pun kena ada ilmu, betul tak?


Sinopsis blog abgreds

Blog abgreds ingin melihat makna
pada aksara dan kosa kata dari sudut sedikit berbeda, buat menambah variasi
pemahaman semua.
Selamat membaca!

K O T A K — S H O U T M I X

Statistik blog

  • 55,748 - sejak 19 Jun 2010

Salam sejahtera

Blog ini adalah blog peribadi abgreds. Semua artikel adalah nukilan abgreds untuk tatapan bersama.

Artikel abgreds merupakan rangkuman pengalaman dan kisah perjalanan hidup abgreds.

Abgreds harap artikel-artikel di sini dapat sedikit sebanyak memberi manfaat buat anda.

Anda dialu-alukan untuk memberikan idea, pandangan, nasihat, kritikan, dan sebagainya.

Sila tinggalkan jejak anda di ruang komentar atau shoutbox.

Terima kasih atas ziarah anda!

Artikel Terbaik

Salinan semula

Abgreds membenarkan kandungan artikel di blog ini diterbitkan semula dengan syarat disertakan kredit / pautan ke blog ini.

Sebarang pertanyaan boleh di e-mailkan ke abgreds melalui alamat : takterra@gmail.com

Sila ambil perhatian, kandungan blog ini adalah diawasi.....

...

Protected by Copyscape Duplicate Content Checker

Negara pengunjung

free counters
Online Users
bighandesign
My Ping in TotalPing.com

BlogMalaysia.com

Blogged.my