Blog Abgreds

Archive for the ‘aksara bahasa’ Category

Minta maaf kawan-kawan semua. Aku ghaib seketika. Ingat ghaib langsung. Rupanya tak jadi. Belajar tak habis. Ilmu tak jadi!

Kenapa aku ghaib? Sebab aku sudah aib. Kenapa aku aib? Sebab aku tak boleh ghaib. Kenapa tak boleh ghaib? Sebab aku ada aib! 🙂

Haha… Sudah. Terpusing-pusing pulak. Baca baki entri ini »

Pada suatu hari, betul-betul tak ingat tarikh tepatnya, aku teringat suatu peristiwa. Aku disuruh oleh cikgu ‘tulis betul-betul’.

Aku pun tulis perkataan ‘betul-betul’ banyak-banyak. Dah siap, aku bagi pada cikgu. Cikgu mengetap bibir. Geram!

Saya bukan suruh awak tulis ‘betul-betul’!, bentaknya. Tulisan awak tu yang tak betul. Kejap rapat kejap jarang…betulkan tulisan awak! Baca baki entri ini »

Rezeki bagi seorang penulis datang dalam berbagai bentuk bergantung kepada niat, matlamat, dan hasil tulisan tersebut.

Ada yang berbentuk material seperti honorarium atau royalti wang ringgit. Ada yang datang secara penghargaan dan kekaguman para pembaca.

Yang pasti, sejauh mana hasil tulisan anda mempengaruhi minda pembaca, sejauh itulah jarak pencapaian tulisan anda.

Semuanya memerlukan elemen kreativiti. Dan pastinya juga memerlukan ilmu berbahasa yang tidak kurang pentingnya.

Seorang pengemis buta duduk menanti rezeki tuhan dari simpati orang ramai. Di hadapannya ada bekas mangkuk menindih sekeping kadbod.

Di kadbod itu tertulis “BANTULAH SAYA. SAYA BUTA”. Seharian menunggu, namun rezeki tiada berkunjung datang.

Lalu datang seorang pemuda. Dia menghulur sedekahnya sambil mengambil kadbod itu, diterbalikkan lalu menulis sesuatu. Seterusnya diletakkan semula ditempat asalnya.

Beberapa waktu kemudian, pemuda itu kembali dan ditegur oleh si pengemis buta. Mungkin deria telinganya dapat mengecam rentak langkah pemuda itu.

“Apa yang anda lakukan tadi? Selepas pemergianmu, orang-orang jadi bermurah hati memberikan sedekahannya…”

Benarlah kata pengemis tadi. Mangkuk dihadapannya dipenuhi wang sedekahan orang ramai, sedang biasanya tidak begitu banyaknya.

“Syukurlah…aku menuliskan di kadbodmu… SUNGGUH INDAH HARI INI, MALANG, SAYA TIDAK DAPAT MELIHATNYA….”jelas pemuda itu.

Kisah dipetik dan disesuaikan dari Mastika Januari 2008.

Dengan izin tuhan, bait-bait ayat tersebut berjaya meruntun hati para khalayak hingga mendorong mereka menghulur sumbangan dan sedekahan.

Ayat asal hanya memberitahu bahawa pengemis itu buta. Namun ayat kedua lebih merujuk agar mereka yang dapat melihat itu supaya bersyukur tidak menjadi buta seperti dirinya…indah bukan?

Dalam konteks dunia blog, anda para penulis juga saban kali berusaha mengatur aksara dan bicara, agar lunak di mata dan jiwa pembaca.

Dengan itu, para pembaca akan dapat merasa dekat dengan anda. Mereka dapat menghayati dan merasa denyut nadi artikel anda.

Seterusnya menghirup enak segala ilmu bicara hingga habis tidak bersisa. Dek kerana keenakan itu, maka puaslah jiwa raganya dengan bicara tersebut.

Lalu ternantilah dia akan artikel seterusnya, dan seterusnya…Itulah rezeki dari bahasa yang indah murni.

Hendak cari rezeki, kena pandai berbasa-basi; hendak rezekinya bertambah, kena pandai berbahasa indah!

Tanyalah kepada para peniaga tu… tak gitu bang? 🙂

Ini ada satu kerja untuk anda. Kerja anda ialah memahami satu kertas kerja. Kertas kerja itu adalah tentang ‘kertas kerja’. Harap anda sudah bersedia.

Ini suatu kertas kerja. Kertas kerja ini adalah tentang ‘kertas kerja’. Apakah itu kertas kerja? Kertas kerja bererti kerja yang dilaksanakan di atas kertas.

Ia satu perancangan. Satu rangka kerja. Satu kerja permulaan untuk satu kerja sebenar yang akan dimulakan serta dihabiskan satu masa kelak.

Katakan ada kerja sebenar yang mencapai 100 tingkat bangunan. Atau 100 hektar keluasan. Atau 100 orang tenaga pekerja. Atau 100 minggu pembuatan.

sumber : google

Maka semuanya itu diringkaskan dalam satu kertas kerja seringkas yang mungkin. Setebal 10 mukasurat. Atau 10 keping slide. Atau 10 kali mesyuarat. Dan sebagainya.

Siapakah pekerja yang kerjanya membuat kertas kerja? Apakah dia juga memerlukan satu ‘kertas kerja’ untuk membuat satu kertas kerja?

Sudah tentu dia ada kertas kerjanya sendiri sebelum membuat sesuatu kertas kerja yang lain. Kertas kerja tersebut ada di dalam kotak fikirannya.

Dengan kata lain, sudah tentu dia ada ilmu dan pengetahuan membuat kertas kerja sebelum bekerja sebagai penulis kertas kerja.

Kertas kerja asalnya bukan dari kertas, tapi dari minda pekerja tersebut. Dinamakan kertas kerja bila kerja itu dipindahkan dari otak ke kertas.

Anda lihatlah, pekerja itu telah mengerjakan suatu kerja yang begitu besar, begitu gah, dan hebat hanya dalam satu kertas kerja.

Sebenarnya, setiap satu kerja mesti ada kertas kerja. Kalau kerjanya senang, senanglah kertas kerjanya. Kalau kerjanya susah, kertas kerjanya pun ikut susah.

Perlu diingat, kertas kerja yang baik belum tentu menghasilkan kerja yang baik. Ini kerana kerja yang baik dihasilkan oleh pekerja yang baik, bukan oleh kertas kerja yang baik semata-mata.

Oleh kerana kertas kerja ini penting kepada pekerja, ia mestilah dikerjakan dengan berhati-hati. Kertas kerja yang baik seharusnya membuatkan kerja tersebut berjalan dengan lancar dan menyenangkan.

Kertas kerja juga menjadi panduan agar pekerja yang melaksanakan kerja itu dapat bekerja secara cekap dan optimum. Dan kuranglah sibuknya.

“Orang yang sibuk sebenarnya tidak cekap. Orang yang cekap sebenarnya tidak sibuk…”

Itulah peranan penting kertas kerja. Kalau anda dapat memahami kertas kerja ini, anda bolehlah bekerja sebagai penulis kertas kerja!

Siapa akan jadi pelanggan anda? Oh, tidak perlu khuatir. Ramai bakal pelanggan pinjaman institusi kewangan sedang menanti anda. Cubalah! 🙂

Nota : teringat dulu buat kertas kerja nak buat pinjaman asyik kena tolak saja. Rupanya duit nak bagi kat peminjam tak dak!  Huhu…

Semasa mengemas sebuah kotak, aku terjumpa sebuah buku pra-sekolah keluaran Cerdik Publication Sdn. Bhd. tahun 2002.

Buku tadika? Ehm…ingat nak jual saja dengan tokei surat khabar lama. Apa barang aku yang tua bangka ni nak baca buku tadika..kan?

Baru saja aku nak lempar, mata aku terpandang muka belakang buku tu. Sekali aku pun bacalah apa yang dia tulis…emm? Huh? Tak faham aku….

Maksud aku, aku tak faham kenapa aku tak boleh faham apa yang dia tulis? Wei…ini buku pra-sekolah …tak kan la tak faham! Buat malu saja.

Aku printscreen dekat sini bagi kau orang baca…ada faham? Hehe… aku tau ada yang tergaru-garu kepala macam aku jugak…tak pun aku seorang saja yang tergaru-garu kot!  🙂

Empirisisme, nativisme,interaksionisme…kau orang tahu maksudnya? Tak tahu macam aku? Haha..mari masuk sekolah tadika beramai-ramai!

Untuk pengetahuan, perkataan empirisme itu samada tersalah eja atau kecuaian pembaca pruf, atau memang ada perkataan itu. Yang aku jumpa ialah empirisisme.

Itulah tadi bukan main eksyen, nak buang… konon dah pandai la ..sombong tak mahu belajar. Sekali ambik kau!

Baiklah, aku mengaku memang tak tahu maksud perkataan tersebut. Jadi aku semaklah dengan kamus online DBP…eh, tak ada pun perkataan tu.

Aku dah naik pening dan sekali gus malu juga weh. Buatnya ada budak-budak pra-sekolah yang faham menatang tu…

Akhirnya aku semak kamus terjemahan BI-BM Oxford. Dapatlah aku gambaran sikit tentang perkataan tu. Itupun ambil kata dasar dalam BI.

Untuk keseluruhan maksud, aku masih terkebil-kebil. Macam malas nak fikir. Tapi aku ni pula jenis selagi tak faham selagi itu la terfikir menatang tu.

Kadang aku tertanya, apakah tidak ada perkataan lain dalam bahasa yang lebih mudah untuk menyampaikan maksud berkenaan?

Adakah penulisnya mahu menyebarluaskan penggunaannya, atau menjaga imej beliau sebagai penulis profesional?

Entahlah… cuma dia dan keluarga dia yang tahu..opss..Allah Taala dah tentu tahu la…(usik-usik kak Norah je -penulis buku tersebut.)

Aku tahu kat luar tu ada kawan-kawan yang arif lagi bijakana. Tolong la bagi tahu aku maksud perkataan tu ye..

Tolong kami…bantu kami…anak-anak kurang ilmu…. 🙂

Penulis (abgreds) berasa cukup kerdil dengan kunjungan tetamu saudara penggiat seni dan sastera tanahair, penyair Marsli N.O.

Beliau menitipkan sebahagian diniharinya untuk menjengah blog penulis, saat penulis sendiri terbungkam diselimuti mimpi.

Apatah lagi dengan titipan komentar yang membina itu, selayaknya menambahkan yakin kepada penulis bahawa beliau sememangnya seorang pecinta bahasa dan sastera yang tidak asing lagi.

Terima kasih saudara Marsli. Barangkali beliau dapat menyelami sedikit sebanyak persekitaran hidup penulis berdasarkan apa yang tertera di blog ini.

Mungkin saudara Marsli terlihat namanya dalam senarai blog di laman ‘Seni dan Sastera’ blog ini. Memang itulah sebahagian dari diri penulis.

Penulis berpendidikan sastera. Bukan jurusan bijak pandai iaitu aliran sains. Itulah kemampuan penulis dalam akademik.

Bagi penulis, kita semua ada bahagian hidupnya masing-masing. Untuk penulis dan saudara Marsli, serta sekelompok yang lain, kami ditakdirkan mendapat didikan sastera, lalu meminati dunia kesusateraan.

Anda pula ada bahagian anda. Kecenderungan, minat dan gaya hidup yang berbeza pula. Itu skema kita. Itulah skema kehidupan.

Saranan saudara Marsli akan penulis usahakan. Penulis akan merajinkan diri untuk cuba berubah seperti itu.

Semoga saudara Marsli dan rakan-rakan dalam dunia kesusasteraan akan terus berkarya dan berjaya dalam apa jua yang sedang kalian diusahakannya.

Penulis akan cuba menjejaki pesanan dan wawasan saudara yang lain lewat puisi dan karya saudara itu, insya Allah.

Sekali lagi, terima kasih atas kunjungan saudara.

Beberapa hari lalu, saya diminta seorang kenalan untuk membantu beliau menguruskan sebuah majlis. Tugas saya senang, jadi PSP katanya.

PSP? Apa benda tu? PS2 tu taulah saya. Er.. setakat tau nama. Tapi tak pernah main benda alah tu.

Pegawai Seranta Program, kata kenalan tersebut. Huh? Sekali lagi dahi saya berkerut. Inilah bahana dah lama tak selak kamus.

Apa benda seranta? Macamana jadi pegawai seranta?

Ah kamu ni, Red. Lebih kurang macam pegawai perhubungan awam. Tukang umum itu ini kepada khalayak. Macam pengacara juga.

Pengacara? Eh, tak maulah. Saya tak pandai cakap-cakap depan orang ni…

Bukan suruh jadi pengacara. Cuma minta kamu buatkan surat-surat siaran ni, ujar kenalan abgreds. Kamu kan ada komputer, ada printer.., sambungnya.

Oh, kalau macam tu, bolehlah, jawab saya. Ini draft dia. Kamu sunting dan gayakan sikit bahasanya. Kamu kan pandai psikolinguistik, ujar beliau lagi.

Dan lagi dahi berkerut, psikolinguistik? Eh, mamat ni pandai pula bahasakan aku, kata hati saya. Apa benda psikolinguistik?, tanya saya pada dia.

Ah, malas aku nak layan kamu, Red. Buat-buat tak tau konon. Macamlah baru semalam kenal kamu. Balas beliau tersengih.

Zaman sekolah dulu, saya suka b a c a kamus. Memang faham jugalah entri yang asing-asing digunapakai. Tapi itu dululah! Dulu…

Sudahnya, terpaksa saya buka kamus online. Semak kembali kosa kata yang digunakan oleh kenalan saya itu.

Nampaknya beliau lebih tahu. Tapi beliau masih merujuk saya macam zaman sekolah dulu…eee..malunya kalau dia tau saya dah blur …hehehe..

Apapun, majlis tersebut telah selamat disempurnakan. Saya dapat juga siapkan tugasan. Tak taulah, memenuhi impian beliau atau tidak.

Tapi masa majlis tu, saya tengok dokumen yang saya siapkan digunapakai. Rasanya okeylah tu.

Lepas majlis, beliau datang mengucapkan terima kasih. Saya sengih saja. Aku dah agak, kamu punya psikolinguistik memang hebat, Red, kata beliau.

Tapi aku tak sangka, boleh juga aku psiko kamu, ya Red?

Aku kena psiko? Psiko apa pula ni?

Er..kau orang dah baca habis? Saya tak psiko kau orang tau…  🙂


Sinopsis blog abgreds

Blog abgreds ingin melihat makna
pada aksara dan kosa kata dari sudut sedikit berbeda, buat menambah variasi
pemahaman semua.
Selamat membaca!

K O T A K — S H O U T M I X

Statistik blog

  • 55,016 - sejak 19 Jun 2010

Salam sejahtera

Blog ini adalah blog peribadi abgreds. Semua artikel adalah nukilan abgreds untuk tatapan bersama.

Artikel abgreds merupakan rangkuman pengalaman dan kisah perjalanan hidup abgreds.

Abgreds harap artikel-artikel di sini dapat sedikit sebanyak memberi manfaat buat anda.

Anda dialu-alukan untuk memberikan idea, pandangan, nasihat, kritikan, dan sebagainya.

Sila tinggalkan jejak anda di ruang komentar atau shoutbox.

Terima kasih atas ziarah anda!

Salinan semula

Abgreds membenarkan kandungan artikel di blog ini diterbitkan semula dengan syarat disertakan kredit / pautan ke blog ini.

Sebarang pertanyaan boleh di e-mailkan ke abgreds melalui alamat : takterra@gmail.com

Sila ambil perhatian, kandungan blog ini adalah diawasi.....

...

Protected by Copyscape Duplicate Content Checker

Negara pengunjung

free counters
Online Users
bighandesign
My Ping in TotalPing.com

BlogMalaysia.com

Blogged.my