Blog Abgreds

Archive for the ‘aksara umum’ Category

Agak lama juga tidak menulis di blog. Manusia makin ramai. Makin banyak mulut dan perut yang minta diisi.

Jadilah kek ekonomi makin kecil, makin kenit. Terpaksa peruntukan lebih masa mencari-cari di mana kek yang kita punya.

Baiklah, entri kali ini berkaitan blog ini sendiri, iaitu kaedah memendekkan entri bagi sesiapa yang belum mengetahuinya, khususnya untuk platform wordpress macam blog aku ni.

Aku bukan tergolong manusia yang pintar IT. Pembabitan aku dalam dunia blog dan internet ini tidak lebih untuk menambah ilmu disamping tidak mahu ketinggalan dalam arus perdana media terkini.

Untuk mencari kaedah yang semacam ini (memendekkan entri) pun sudah jadi masalah buat aku. Sedangkan sudah lama ingin berbuat demikian.

Korang boleh bandingkan entri aku terdahulu yang memaparkan semua isi kandungan entri. Aku punya page pun jadi panjang macam ketapi… 🙂 Tapi sekarang tidak lagi!

Baiklah, aku sertakan link kaedah tersebut di sini untuk sesiapa yang ingin merujuk. Banyak lagi tips-tips tentang komputer ada di dalam blog sedara kita ni…

Dipersilakan dengan segala hormatnya berziarah ke blog beliau…
http://ibnrajab.wordpress.com/ atau terus ke link berkenaan iaitu http://ibnrajab.wordpress.com/2009/11/09/baca-lagi-read-more/

Terima kasih daun keladi, insya Allah aku pun nak ke sana lagi…

Nota : entri pendek macam ni perlu ‘baca lagi…’ ke?  😉

Syukur alhamdulillah, seminggu sudah aidil fitri disambut oleh umat islam. Mudah-mudahan pengisiannya dapat kita laksanakan menurut syariat.

Antara memori indah penulis kali ini ialah pertemuan semula rakan-rakan persekolahan dulu yang ada antaranya sudah berbelas tahun tidak ketemu.

Sebaik bertentang mata, ingatan penulis langsung mengimbau pelbagai peristiwa dan kenangan yang pernah dilalui saat bergelar pelajar bersama dengan rakan-rakan tersebut.

Kami bersembang panjang tentang diri masing-masing. Memang tak cukup masa. Tapi cukup memadai untuk merungkai rindu kepada mereka yang Allah takdirkan bagi kita sebagai SAHABAT.

Sahabat ialah orang yang sangat kita percayai. Seorang yang menjadi diri kita yang kedua. Yang sanggup bersusah payah dan berkorban untuk kita.

Penulis pernah bertemu seorang guru yang mengungkapkan betapa pentingnya peranan sahabat bagi seseorang.

Mengambil contoh dari riwayat Rasulullah, Nabi sendiri berkenan mengangkat sebilangan pemeluk Islam awal sebagai sahabat kepada Baginda.

Sokongan keluarga memang penting. Namun jika tiada para sahabat, tugas Baginda untuk berdakwah tentu menjadi lebih sukar.

Para sahabat Bagindalah yang mewarisi kitabullah dan segala macam sunnah untuk disebarluaskan di kemudian hari.

Para sahabat Bagindalah yang bekerja keras dan bertungkus lumus berusaha agar syiar islam terus berkembang dan ke seluruh alam ini.

Atas usaha para sahabat itulah jua kita dapat mengenal Allah dan mengecap kemanisan iman dan taqwa di bumi nusantara sekarang ini…

Ala, kisah pasal kawan saja? Bagi penulis, setiap peristiwa ada hikmahnya. Tidak mengira kecil besarnya, penting tidaknya, semua terkandung ilmu yang sangat tinggi.

Seharusnya kita insaf, apa jua peristiwa yang berlaku di sekeliling kita adalah dengan takdir Allah. Sudah tentu ada ‘sesuatu’ yang menjadi bahagian kita.

Setidak-tidaknya, kita terfikir perihal persahabatan kita. Adakah kita punya sahabat? Bagaimana kita menjaga persahabatan dengan teman-teman rapat kita?

Adakah kita waktu ini tidak punya sahabat sejati? Jika tiada, kenapa? Kenapa orang lain sukar berkawan dan bersahabat dengan kita?

Adakah boleh sahabat di alam siber ini menjadi sahabat di alam realiti? 🙂
Tentu saja boleh asal ada kemahuan…kan?

Seperti kisah kawan penulis ni… http://familiazam.com/dari-alam-maya-ke-alam-nyata.html

 

Kelmarin :

“Alwi masuk tak pertandingan mewarna esok?”

“Masuk”

“Alwi pergi dengan siapa?”

“Dengan ayah dengan mak”

Semalam :

“Mana budak Alwi cikgu? Katanya dia masuk pertandingan?”

“Alwi? Tak adalah cikgu. Dia tak masuk. Sekolah saya dah cukup peserta dah…”

Hari ini :

“Alwi pergi pertandingan mewarna tak semalam?”

“Pergi!”

“Alwi pergi dengan siapa?”

“Dengan mak dengan ayah”

“Alwi menang tak?”

“Menang! Dapat nombor sembilan…”

“Apa hadiahnya?”

“Err…tak tau. Tak bukak lagi…”

* * *

Sah! Kita dah kena kencing kelmarin. Ya lah, kita ngaku kita jenis cepat percaya. Tapi kan, dia ni kecil lagi. Baru tadika.

Air muka nampak comel. Cakap petah. Intonasi penuh yakin. Dia jawab bersahaja jer sambil tenung mata kita. Macam tak tipu pun…

Ah! Inilah kali pertama kita diperdaya oleh budak tadika. Sungguh malang nasib kita. Tapi lebih malang si Alwi ini…

Dalam usia sebegitu muda, dia sudah belajar, malah berupaya mempraktikkan ilmu temberang dengan jayanya. Siapakah dalang di sebalik itu semua?

Ayahnyakah? Keluarganyakah? Kawan-kawan? TV? Internet?…

Ah, sungguh besar cabaran kita sebagai guru. Sungguh besar dugaan Alwi- dikelilingi nilai hidup yang salah di sana-sini…

* adaptasi keluhan rasa seorang teman guru tadika.  

Artikel ini menyambung tema artikel sebelumnya, iaitu tentang kegagalan para bapa atau suami memainkan peranan di dalam rumahtangga.

Rentetan kegagalan untuk membentuk keluarga (atas pelbagai faktor), maka sudah tentu mewujudkan suasana muram dan sukar. Kasih sayang tiada, keharmonian lenyap ditelan masa.

Salah satu akibatnya adalah berlakunya fenomena ibu tunggal sebelum cerai. Ini terjadi bilamana si ibu dengan rela atau terpaksa memikul beban suami yang gagal dilaksanakannya.

Samada rela atau terpaksa, perkara pokok bahawa suami gagal menjadi ketua keluarga tetap menjadi punca utama.

Ibu yang barangkali ada pendapatan tetap, atau berilmu, atau memang bersemangat waja, akan bekerja keras meneruskan hidup keluarga tempang tersebut. Mungkin untuk diri sendiri. Tetapi biasanya kerana anak-anak.

Apabila si suami melihat demikian, apatah lagi kelihatannya si ibu boleh menguruskannya, maka dia akan lebih menjauh dari kewajipannya.

Apatah lagi jika tiada bimbingan, teguran atau nasihat daripada mereka yang rapat dengannya, nescaya suami ini akan terus hilang fokus kepada keluarga.

Seorang ibu lebih menyayangi anak dan keluarganya. Naluri wanita dan keibuan seorang ibu memang lebih tinggi dari kaum Adam.

Sebab itu, demi kebahagiaan keluarga, si ibu pasti sanggup berbuat apa saja. Kegagalan suami menjadi nakhoda tidak dapat tidak mesti ditebus oleh si ibu. Tidak sanggup dia melihat keluarga tersebut terus muram menderita.

Sekali lagi, artikel ini ingin mengajak para bapa dan suami agar menyedari kedudukan anda sekalian dalam rumahtangga.

Selaku ketua keluarga dan rumahtangga, tentulah ada tanggungjawab dan amanah yang harus dipikul. Tentu ada pula pertanyaan-pertanyaan yang akan kena jawab di akhirat kelak. Pastilah ada pula balasan yang menanti.

Jangan persiakan kepercayaan daripada isteri anda. Jangan dahagakan kasih sayang untuk anak anda. Jangan khianati amanah keluarga anda.

Jangan jadikan isteri anda ibu tunggal sementara anda masih bergelar suami kepadanya. Janganlah anda terus hanyut dan gagal…

Masih ada masa. Masih ada ruang. Masih ada bicara. Masih ada peluang.

Teruslah perbaiki prestasi peribadi kita selaku lelaki, selaku suami, selaku ayah. Insya Allah anda boleh…

Hidup mereka kais pagi makan pagi, kais petang makan malam. Anak berderet enam, umur setahun sampai lapan (satu pasangan kembar).

Sewa rumah dua bilik, tak ada pagar, tak ada lapik. Tak ada kereta tak nak jalan-jalan. Sekejap ke depan ke belakang. Itulah rutin harian…

Anak membesar tak cukup panduan. Pagi buta dah ada di laman. Yang sekolah tak mandi pagi. Cukup sarapan air dan roti.

Bukan menidak rezeki Tuhan. Bukan menjaga tepi kain orang. Bukankah hidup saling saling mendoakan? Agar semua dapat keberkatan?

Alang berkahwin biar berfikir. Jadi bapak bukannya mudah. Buat anak pun kena zikir. Inikan pula jadi khalifah?

Anak terbiar disiplin kurang. Menganggu tetangga siang dan malam. Bapaknya kerja pendapatan jarang. Terpaksa ibu bekerja kilang.

Anda sekelian, terutama yang bergelar bapak, masa kini dan akan datang, insaflah. Kita lelaki ini sebenarnya yang menjadi mesin cetak untuk keluarga kita. Tanggungjawab kita untuk membahagiakan rumahtangga kita.

Selaku ketua keluarga, tidak dapat tidak, kitalah yang bergelar bapa ini menjadi punca segenap segi. Baik keluarga itu bahagia maupun sebaliknya.

Justeru, semua permasalahan keluarga sehingga membawa kepada kesengsaraan atau lebih teruk, perpisahan, tetap dipertanggungjawab kepada suami atau bapa.

Sebuah keluarga bahagia boleh direalisasikan jika suami atau bapa mempunyai ilmu yang cukup. Ilmu tentang keibubapaan, kewangan, kebertanggungjawaban dan sebagainya.

Sebenarnya, bahagia seorang bapa itu adalah melihat keluarganya bahagia. Jika zahir keluarganya nampak susah, bolehkah dia merasa bahagia?

Kalau si bapa itu tidak kisah akan hal itu, mungkin untuk dirinya sendiri sudah bahagia, itu sudah jadi masalah lain! Mesti ada yang tak kena!

Tulisan ini bukan pula menafikan peranan kaum hawa atau ibu. Sememangnya keluarga yang ideal adalah keluarga yang mana ibu dan bapa memainkan peranan dan tanggungjawab masing-masing.

Tetapi bukankah yang cari calon ibu dulu adalah LELAKI juga?

Tak gitu LELAKI-LELAKI di luar sana?

Korang kalau tengok orang main nombor, apa first impression korang? Mesti yang tak baik, kan? Pandangan kasar memang macam tu.

Tapi korang ada terfikir tak, apasal dia orang (orang kita/islam) tu main nombor? Suka-suka? Atau tabiat? Atau buang tebiat?

Aku ada kenal seorang kawan kaki nombor. Bukan kaki nombor sebarangan tau. Kawan ni ada ilmu. Ada agama. Ada imanlah pendek kata.

Ada iman hape kalo pi tikam ekor? Macam ni….

“Bapak aku pesan, Red. Kat dunia ni, semua Allah punya. Yang baik Allah punya, yang jahat Allah punya jugak”, kata dia.

“Bapak aku pesan lagi, nak buat benda baik, minta tolong Allah. Nak buat benda jahat, pun kena minta tolong Allah. Bapak aku pesan la…”

“Jadi satu masa tu, aku betul-betul tak ada sen (duit). Ada hutang kawan lagi. Nak kerja apa pun dah tak tau. Buntu aku masa tu”

“Entah macamana aku terfikir nak tikam nombor. Agaknya dah kesetanan aku nih. Tapi aku teringat pesan bapak aku tu”

“Aku pun buatlah. Aku berdoalah bio Allah bagi aku rezeki kena nombor. Eh, betul nih. Aku doa macam orang lain yang baik-baik tu jugak…”

“Tak lama lepas tu, aku nak beli nombor. Tapi ada ilham datang suruh aku belajo tikam betul-betul. Bio kena ribu-ribu…eh, betul jugak tu”

“Aku pun pergilah berguru. Aku cari otai-otai nombor yang aku tau. Akhirnya aku dapat ilmu tikam nombor ni. Ko tau apa dia?”

Ko pergi kedai nombor hari tutt…, masa tutt…hekhekhek…rahsia aku Red. Mana boleh kasi tau. Ko nak pergilah belajo sendiri!”

“Dah tu, aku pun pergi nombor. Sekali beli – tak kena. Dua kali – tak kena jugak. Aiii… apakebenda ni….aku dah kena tipu ke..?”

“Duit aku pun dah habis dah. Tapi aku tak putus asa. Aku pinjam duit kawan aku. Aku beli lagi. Tup-tup…, eh, kenalah!”

“Tapi aku tak boleh pulak ambil duit tu. Aku dah janji nak bagi semua duit tu kat dia kalau kena….alamak aii...”   

Rupa-rupanya kawan aku ni tak pernahnya dapat duit hasil tikam nombor tu. Dan dia pun perasan akan sesuatu. Sesuatu isyarat….bahawa…

Satu, kalau beli pakai duit dia – mesti tak kena. Orang lain belikan untuk dia pakai duit dia, pun tak kena.

Dua, tapi kalau beli pakai duit orang – boleh kena. Belikan orang lain pakai duit orang tu sendiri – pun boleh kena.

Fikir punya fikir, sedarlah dia bahawa bukan itu caranya minta rezeki. Doanya betul ditujukan kepada Allah, tapi kaedahnya pula yang tak direstu Allah. Tentulah rezeki tak sampai. 

Dan dia juga insaf, itu salah satu ujian dari Allah jua. Benar dia dalam kesempitan. Benar pesan yang sampaikan bapanya. Dan benar semuanya milik Allah.

Namun jika ada iman dan taqwa, biar sebesar zarah, Insya Allah, Allah akan melindungi hamba-hambanya. Sungguh Dia Maha Pengasih lagi Penyayang.

“Alhamdulillah, Red. Syukur aku dilindungi Allah tanpa aku sedar. Nasib baik aku tak sampai termakan duit nombor dulu…”

Memang kaki nombor itu buruk perangainya. Tapi tak semua kaki nombor busuk hatinya. Sebelum tahu kisah empunya, baik di doakan yang baik-baik saja…

p/s : Jangan main nombor okey…haram tu…

Salam sejahtera buat anda semua. Penulis terlebih dahulu memohon maaf atas istirehat yang panjang dari menulis di blog ini.

Beberapa waktu ini, masa untuk menukilkan sesuatu di sini tidak kesampaian. Ada beberapa tugasan yang perlu dibereskan terlebih dahulu.

Pun begitu, penulis masih melayari internet untuk mengetahui perkembangan semasa blog kawan-kawan dan laman-laman web yang sering menjadi halwa mata dan telinga penulis.

Penulis sebenarnya teringin menulis sesuatu sempena setahun penulis menulis di blog ini. Namun hasrat itu tak tercapai nampaknya. Tak mengapalah. Apalah sangat pencapaian berblog bagi penulis kerdil ni…

Yang penting, penulis sudah berusaha untuk memberi nukilan yang pada fikiran penulis berguna untuk kalian. Itu matlamat penulis. Dan penerimaannya tentulah bergantung kepada para pembaca sendiri.

Insya Allah, kiranya diizinkan, penulis akan menulis lagi. Banyak kisah dan kasih yang boleh dikongsi untuk tatapan kita semua.

Sesiapa yang nak pergi BERSIH tu, bersihkanlah dulu hati anda. Bersihkan dulu jiwa anda. Ambil wuduk, buatlah sembahyang istiharah. Mintalah petunjuk dari Allah. Dia tuhan yang Maha Mengetahui.

Ops…lari tajuklah pulak…macam-macamlah dia orang nih…

Sekadar ini dulu kali ini. Oh ya, kepada para pengunjung blog ini – samada yang sudah biasa atau yang baru, penulis ucapkan terima kasih banyak-banyak.

Gampang!

Posted on: 2 April 2011

Aku scan dari akhbar Metro Ahad, 22 Ogos tahun, lama tu…tapi nak buat entri tak sempat-sempat. Jadi kali ni ada masa aku tulislah seadanya.

Di ruangan kolum Dr. Mashitah hari tu, satu muka penuh melibatkan laki-laki bermasalah. Aduss…ngapainn ya laki-laki jaman ini…

Yang satu tanya pasal rujuk. Yang satu laki-laki bertindik. Yang satu tinggal sembahyang. Yang satu ni, aku highlight kat sini – pasal terlanjur.

Ceritanya klisecouple, terlanjur, lakinya cabut lari, aweknya makan hati. Dulu bolehlah aku tanyakan, macamana semua ini boleh berlaku? Sebab jarang-jarang berlaku.

Tapi sekarang, rasa aku kau orang boleh jawab soalan tu. Segalanya nampak mudah zaman ini. Mudahnya nak couple, mudahnya nak terlanjur, mudahnya nak settel masalah…bagi si laki-lakinya tulah terutamanya.

Ada ke patut dia tak mahu bertanggungjawab dengan alasan tak mahu derhaka kepada ibubapanya yang sudah punya pilihan lain.

Cukup senang! Yang aweknya pun satu. Senang-senang bagi tubuh badannya jadi taruhan atas alasan cinta dan sayang yang teramat amat konon tu!

Semuanya senang belaka! Macamlah tak ada Hari Perhitungan nanti…

Aku tak tuding mana-mana. Bagi aku dua-dua memang ada masalah. Masalah ilmu, iman dan amal. Kurang agamalah pokok bicaranya.

Kalau benteng iman tu ada, aku tak fikir korang boleh bertindak sejauh ini. mendekati zina pun dilarang, korang kena fahamlah.

Dan aku cukup khuatir dengan prestasi laki-laki era baru ini. Bukan semua. Tapi segelintir lelaki yang membawa lumpur ni.

Wahai lelaki, korang tu diamanahkan untuk kepimpinan ummah. Masa depan anak cucu kita ni kena direncanakan sebaik-baiknya.

Kalau macam nilah gayanya, tentu perjalanan tu masih jauh tu brader.. banyak yang korang kena perbaiki.

Kita dipertanggungjawabkan untuk menjadi pemimpin, jadi ketua, jadi imam.. yang ko tu jadi hamba setan apa cerita ni bro?

Aku tau setiap generasi tu ada ciri tersendiri berdasarkan keadaan semasa. Tapi itu bukan jadi alasan untuk korang hanyut dalam dunia korang.

Agama kita yang syumul ni dah cukup hebat dah untuk guide korang. Kalau tak sampai dapat title ustaz atau ustazah pun, ambik yang fardhu ain tu.

Itu pun jangkanya dah cukup untuk jadi benteng korang. Tapi korang kena belajarlah, kalau dok ikut cakap setan tu sampai bila nak pandai?

Dah la yer. Aku ni laki-laki jugak. Sedikit sebanyak terpalit dengan lumpur- lumpur kelabu tu. Kena bersihkan juga mana yang patut…

Ni aku cerita bab yang tak bagus. Bukan maknanya semua lelaki tak bagus. Ada lho yang bagus, yang hero, dan yang super power gitu..

Yang dah bagus tu tak payah ceritalah. Kita cuma tegur, didik dan bimbing yang tak bagus, yang bermasalah, yang tersilap dan tersalah. Itu sajer..

Ini zaman internet. Semua ada di hujung jari. Yang baik maupun yang buruk. Pilihan di tangan dan minda kita.

Namun perkongsian ini bukan pasal internet. Ini kisah suatu waktu dahulu. Bagaimana seorang hamba menggunakan jari jemarinya sebagai tamsil ibarat mengenai perpaduan ummah. Ikuti kisahnya…

Jari kita ni tuan-tuan sebenarnya melambangkan keperluan dalam sesuatu komuniti. Lima jari ertinya lima elemen kena ada tuan-tuan.

Pertamanya, ibu jari. Ibu jari ini adalah ketua jari-jari. Nak tunjuk bagus tak bagus…arr pakai ibu jari. Kalau ibu jari naik atas, thumbs up!...bagus!

Kalau ibu jari tunjuk bawah…kalah! Salah, rugi, tak bagus…betul tak tuan-tuan? Jadi ibu jari ni mewakili golongan pemimpin tuan-tuan.

Mesti ada pemimpin yang benar-benar berkaliber, berkualiti, berilmu, beriman…dan lain-lain aspek kepimpinan yang bagus.

Kalau pemimpin hampeh tuan-tuan, macamana golongan rakyat nak mencari panduan? Macamana rakyat nak berpadu dan bersatu?

Yang kedua, jari telunjuk. Ini siapa tuan-tuan? Ha, ini golongan berupaya atau kaya. Bukan kaya harta saja, malah kaya tawaduk dan bersifat dermawan.

Mesti ada dalam masyarakat kita golongan seperti ini. Yang kaya tapi kedekut tak termasuk sini. Kedekut tu ertinya mementingkan diri sendiri.

Dalam realiti tuan-tuan, “telunjuk orang kaya lebih bererti dari telunjuk orang miskin”…. Ini betul tuan-tuan. Tuan-tuan fikirlah sendiri…

Zaman segala-galanya memerlukan duit, kenalah ada wakil komuniti kita yang berduit, taklah nanti terpaksa minta tolong dengan orang kafir, kan?

Jadi yang jadi orang kaya tu ambillah peringatan ya. Duit yang kamu ada tu bukan semua milik kamu. Ada hak-hak untuk yang lain juga.

Yang ketiga, jari tengah. Tuan-tuan tengok ya, biasanya jari tengah kita ni lebih panjang dan lebih tinggi kan…apa ertinya itu tuan-tuan?

Itu maknanya yang paling tinggi dan mulia. Dalam konteks masyarakat, jari tengah ini mewakili golongan ulama tuan-tuan.

Golongan bijak pandai agama ini duduk paling atas. Dia kena jadi pakar rujuk. Dia kena tegak hukum. Tak boleh main-main…

Golongan ulama inilah peneraju komuniti Islam. Menjadi nakhoda agar perjalanan hidup masyarakat itu terpelihara dari kemungkaran.

Tegak dan tegas berbicara berhukum. Kiri tidak kanan pun tidak. Semua mesti ikut Quran dan Sunnah. Itu peranan ‘jari tengah’…

Yang keempat, jari manis. Senang nak ingat ni tuan-tuan. Jari manis ni tempat kita sarung cincin tunanglah, cincin risiklah, cincin kahwin…

Ertinya tuan-tuan, jari manis ini adalah golongan belia dan beliawanis dalam masyarakat. Apa peranan golongan belia ni tuan-tuan?

Pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara…ertinya tuan-tuan, golongan belia ini pusat pertahanan bangsa dan masyarakat.

Dalam fasa belia, kita manusia ini dalam tempoh optimum dari aspek kehidupan. Penuh semangat, penuh wawasan, penuh idea dan auta..haha..

Masa inilah, pemikiran lama dan baru dicerna sesebati mungkin, demi membentuk halatuju baru yang lebih dinamik…ini kerja orang muda tuan-tuan yang muda-muda ni ya…ingat tu!…

Yang terakhir, kelima, jari kelingking. Jari yang paling kecil dan halus. Siapa dia tuan-tuan?

Betul tu…jari kelingking tu ertinya adik-adik dan anak-anak kita ni. Generasi baru. Generasi yang akan mencerminkan hidup manusia akan datang.

Apa peranan golongan ini tuan-tuan? Dia orang tak lah ada peranan apa, melainkan belajar, belajar, dan belajar…

Kitalah yang sebenarnya berperanan mendidik agar generasi anak cucu kita ini menjadi manusia yang mukmin dam muslim jati.

Kitalah yang bertanggungjawab melahirkan insan-insan yang berhambakan Allah Taala, bukan hamba dunia dan hamba harta…

*     *    *     *

Demikianlah tuan-tuan dan puan-puan, pembentukan keharmonian sesebuah masyarakat itu perlu ada semua peranan kesemua golongan yang disebutkan.

Setiap kita mewakili golongan tertentu berdasarkan faktor usia, ilmu dan harta kita. Berusahalah kita agar peranan kita itu berkesan dan bermanfaat.

Insya Allah, semua usaha kita ada nilai di sisi Allah Azzawajjala…

Dalam kisah manusia tersohor seperti wali-wali, kedapatan bermacam peristiwa yang sarat dengan ilmu hakikat dan falsafah hidup yang meyakinkan.

Antaranya kisah tentang dua orang wali Allah ini. Seorang daripadanya mendapat amanah untuk menyampaikan suatu amanat kepada seseorang.

Dalam perjalanan, dia singgah di sebuah masjid untuk bersembahyang. Lalu didapatinya bacaan fatihah imam jemaah itu salah. Dia yakin itu salah.

Timbul hasrat di hatinya untuk menangguhkan perjalanannya untuk membetulkan bacaan fatihah imam tersebut.

Selesai jemaah, imam tersebut terlebih dahulu menegurnya, “pergilah kamu meneruskan perjalanan kamu, dan biarkan saya dengan bacaan fatihah yang tidak betul ini”

Terkejut wali yang pertama itu. Bagaimana dia tahu yang aku ingin membetulkan bacaan fatihahnya?, tertanya dia di dalam hati.

Ternyata imam itu bukan sembarangan orang walaupun bacaan fatihahnya tidak betul. Mungkin Allah membuka hijab hingga dapat imam itu mengetahui isi hatinya… 

Sambil meminta maaf atas niatnya itu, wali pertama itupun lalu berlalu pergi meneruskan perjalanannya… 

Ternyata kemudian, sahabatnya yang sedang menunggu titipan itu sudah mahu berangkat pergi. Sekiranya dia tinggal di masjid tadi lebih lama, tentu amanat itu tidak dapat disampaikannya…

Wallahualam, begitulah kisahnya. 

Kedua-duanya begitu yakin dengan ilmu masing-masing, walaupun si imam tahu bacaannya salah. Tentu ada kisahnya tersendiri.

Yakin ini sesungguhnya kurnia Allah atas makhluknya, tidak kira makhluknya itu bertuhankan Dia ataupun tidak.

Setiap kita diberi rasa yakin yang tersendiri. Yang membezakan cuma ilmu untuk memperoleh keyakinan diri itu. Jika sempurna ilmunya, sempurnalah yakinnya. Sempurnalah niat dan perbuatan kita.

Masalahnya, kita sering tersalah. Kita tahu yang kita buat itu betul. Tapi kita tidak yakin disebabkan pelbagai faktor. 

Contohnya beribadah, bekerja yang halal, dan lain-lain perbuatan baik. Betul tapi tak yakin. Jadi perbuatan kita menjadi cacat, rosak, salah dan tidak diterima atau memuaskan. 

Adakalanya kita tahu perbuatan kita salah. Tapi yakin sungguh akan berjaya. Contohnya nak mencuri, menyamun, menipu dan sebagainya. Yakin tapi tak betul.

Sentiasa ada ruang untuk mempertingkatkan iman dan yakin kita. Sentiasalah berusaha dan terus belajar.

Manusia yang berkeyakinan akan terserlah karakternya samada sebagai manusia yang baik atau manusia yang jahat!..

Nota  :

Untuk mendapat hikmah dari kisah wali-wali seperti itu, kita hendaklah berilmu dan sentiasa merujuk kepada guru yang murysid.

Perilaku serta peristiwa tertentu kadangkala terlihat sebagai menyalahi hukum, sedangkan ia dikaitkan sebagai kebaikan atau kurniaan Allah.

Contohnya dalam kisah di atas, mungkin timbul tanda tanya, kenapa dengan bacaan fatihah yang salah masih boleh jadi imam?

Itulah sebabnya kita kena berguru. Bukan baca sendiri kemudian faham sendiri, kemudian buat kesimpulan sendiri. Walaupun yakin, itu bukan caranya! Itu berguru dengan syaitan!

Belajarlah dengan guru sebenar yang yakin diri dan berkeyakinan dengan murid-muridnya, Insya Allah kita akan sama-sama yakin lagi meyakini…


Sinopsis blog abgreds

Blog abgreds ingin melihat makna
pada aksara dan kosa kata dari sudut sedikit berbeda, buat menambah variasi
pemahaman semua.
Selamat membaca!

K O T A K — S H O U T M I X

Statistik blog

  • 64,017 - sejak 19 Jun 2010

Salam sejahtera

Blog ini adalah blog peribadi abgreds. Semua artikel adalah nukilan abgreds untuk tatapan bersama.

Artikel abgreds merupakan rangkuman pengalaman dan kisah perjalanan hidup abgreds.

Abgreds harap artikel-artikel di sini dapat sedikit sebanyak memberi manfaat buat anda.

Anda dialu-alukan untuk memberikan idea, pandangan, nasihat, kritikan, dan sebagainya.

Sila tinggalkan jejak anda di ruang komentar atau shoutbox.

Terima kasih atas ziarah anda!

Salinan semula

Abgreds membenarkan kandungan artikel di blog ini diterbitkan semula dengan syarat disertakan kredit / pautan ke blog ini.

Sebarang pertanyaan boleh di e-mailkan ke abgreds melalui alamat : takterra@gmail.com

Sila ambil perhatian, kandungan blog ini adalah diawasi.....

...

Protected by Copyscape Duplicate Content Checker

Negara pengunjung

free counters
Online Users
bighandesign
My Ping in TotalPing.com

BlogMalaysia.com

Blogged.my