Blog Abgreds

Posts Tagged ‘kenal diri sendiri

11.11.11. Ramai yang perasan dengan tarikh tersebut. Cantik. Aku PERASAN juga. Tapi PERASAAN aku lagi cantik daripada tarikh itu pada hari itu. Perasan akulah!

Hari itu, aku ada tugasan kerja di Batu Pahat. Berpagi-pagi aku dah susun semua barang. Ada surat, ada pelan, ada cek, dan lain-lain. Semua macam sudah diperiksa. Perasan akulah! Baca baki entri ini »

Minta maaf kawan-kawan semua. Aku ghaib seketika. Ingat ghaib langsung. Rupanya tak jadi. Belajar tak habis. Ilmu tak jadi!

Kenapa aku ghaib? Sebab aku sudah aib. Kenapa aku aib? Sebab aku tak boleh ghaib. Kenapa tak boleh ghaib? Sebab aku ada aib! 🙂

Haha… Sudah. Terpusing-pusing pulak. Baca baki entri ini »

Pada suatu hari, betul-betul tak ingat tarikh tepatnya, aku teringat suatu peristiwa. Aku disuruh oleh cikgu ‘tulis betul-betul’.

Aku pun tulis perkataan ‘betul-betul’ banyak-banyak. Dah siap, aku bagi pada cikgu. Cikgu mengetap bibir. Geram!

Saya bukan suruh awak tulis ‘betul-betul’!, bentaknya. Tulisan awak tu yang tak betul. Kejap rapat kejap jarang…betulkan tulisan awak! Baca baki entri ini »

Sebagai hamba kepada yang Empunya, pantas sekali untuk Dia menguji duga akan ciptaan-Nya sebagaimana pun jua.

Lebih-lebih lagi Dia telah berjanji pada suatu masa nanti, segala ciptaan-Nya akan di timbang sukat mencari yang mana yang hitam mana yang putih suci.

Begitu juga kita sebagai penghuni di dunia yang fana ini. Segala-galanya ada aturan ada anutan. Ada PR sebagai aras tandaan…

1. KA : MerdeKA.

Kesampingkan seketika masalah diri. Renung sejenak si ibu pertiwi. Tentang damainya. Tentang amannya. Tentang merdekanya.

imej dari googleIya, pentafsiran merdeka bisa saja berbeda. Kita manusia memang demikian sukanya. Namun terbatas di titik yang sama. Iaitu bahawa merdekanya kita suatu anugerah-Nya!

PR bagi merdeka tersangat luas. Negara terlepas dari penjajahan yang buas. Memerintah sendiri tentulah bebas. Namun rintangan begitu keras!

Berdoalah kita semua. Moga merdeka sepanjang usia. Ibu pertiwi tanah air tercinta. Akan kupertahan ke hujung nyawa!

Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan!

2. YA : RaYA.

Ramadhan sudah sampai ke hujung. Pencinta Allah sedih dan murung. Waktu yang berkat akan berlalu. Bagaimana PRnya aku dan kamu?

Syawal kembali menjengah hari. Untuk gembira untuk dirai. Maaf memaafi eratkan silaturrahmi. Itu lazimnya PR aidil fitri.

Aturan Allah sesungguhnya indah. Ada masa berlapar, ada masa melantak juadah! 🙂 Bagi sikecil lebih meriah. Perutnya kenyang poketnya mewah!

Abgreds menyusun sepuluh jari. Salah silap harap dimaafi. Dipanjangkan umur berjumpa lagi. Kehadrat Allah kita syukuri…

Selamat Menyambut Hari Raya Aidil Fitri!

3. PR : PR 3

Blog Abgreds nama diberi. Setahun sudah ia beroperasi. Mencatat nukilan secara peribadi. Tiadalah canggih tiada sensasi…

Bicara santai tajuk pun bantai 🙂 . Banyak merapu, merepek, dan melepek 🙂 . Membuang masa korang yang pandai. Lebih baik korang makan kerepek! 🙂

Blog ini bukan istimewa. Anehnya ia dapat PR juga. Abgreds tak tau apa indikasinya. Alih-alih dapat PR 3. Iye kerrr…..

Bukan hendak membanggakan diri. Cuma nak beri kredit dan dedikasi. Tanpa korang apakan jadi? Abgreds gila cakap sorang diri! 🙂 …

TERIMA KASIH UNTUK KORANG SEMUA…!!!
TERIMA KASIH UNTUK KORANG SEMUA…!!!
TERIMA KASIH UNTUK KORANG SEMUA…!!!

Errr…nak tanya juga ni, agaknya PR kita bagi Allah berapa ye? Macam tak de PR jer… :(. Baik aku dan korang congak-congak seketika. Muhasabah diri kawan! Ingat kawan-kawan… :

                       PR ALLAH TAALA LEBIH PENTING DARI PR GOOGLE! 🙂

Selamat Mengira PR Korang Semua!

Hidup mereka kais pagi makan pagi, kais petang makan malam. Anak berderet enam, umur setahun sampai lapan (satu pasangan kembar).

Sewa rumah dua bilik, tak ada pagar, tak ada lapik. Tak ada kereta tak nak jalan-jalan. Sekejap ke depan ke belakang. Itulah rutin harian…

Anak membesar tak cukup panduan. Pagi buta dah ada di laman. Yang sekolah tak mandi pagi. Cukup sarapan air dan roti.

Bukan menidak rezeki Tuhan. Bukan menjaga tepi kain orang. Bukankah hidup saling saling mendoakan? Agar semua dapat keberkatan?

Alang berkahwin biar berfikir. Jadi bapak bukannya mudah. Buat anak pun kena zikir. Inikan pula jadi khalifah?

Anak terbiar disiplin kurang. Menganggu tetangga siang dan malam. Bapaknya kerja pendapatan jarang. Terpaksa ibu bekerja kilang.

Anda sekelian, terutama yang bergelar bapak, masa kini dan akan datang, insaflah. Kita lelaki ini sebenarnya yang menjadi mesin cetak untuk keluarga kita. Tanggungjawab kita untuk membahagiakan rumahtangga kita.

Selaku ketua keluarga, tidak dapat tidak, kitalah yang bergelar bapa ini menjadi punca segenap segi. Baik keluarga itu bahagia maupun sebaliknya.

Justeru, semua permasalahan keluarga sehingga membawa kepada kesengsaraan atau lebih teruk, perpisahan, tetap dipertanggungjawab kepada suami atau bapa.

Sebuah keluarga bahagia boleh direalisasikan jika suami atau bapa mempunyai ilmu yang cukup. Ilmu tentang keibubapaan, kewangan, kebertanggungjawaban dan sebagainya.

Sebenarnya, bahagia seorang bapa itu adalah melihat keluarganya bahagia. Jika zahir keluarganya nampak susah, bolehkah dia merasa bahagia?

Kalau si bapa itu tidak kisah akan hal itu, mungkin untuk dirinya sendiri sudah bahagia, itu sudah jadi masalah lain! Mesti ada yang tak kena!

Tulisan ini bukan pula menafikan peranan kaum hawa atau ibu. Sememangnya keluarga yang ideal adalah keluarga yang mana ibu dan bapa memainkan peranan dan tanggungjawab masing-masing.

Tetapi bukankah yang cari calon ibu dulu adalah LELAKI juga?

Tak gitu LELAKI-LELAKI di luar sana?

“Tak sempurna itu adalah kesempurnaan manusia. Tak salah dan tak silap kita tersalah dan tersilap…”

Ini kali kedua entri berdasarkan satu komentar yang aku tulis di blog orang lain. Komentar ini aku tulis di blog Kakcik Seroja http://kakciknurseroja.blogspot.com/2011/03/bila-jari-dan-otak-tidak-sekata.html tidak berapa lama dulu.

Bertepatan pula dengan suatu insiden yang sungguh mendalam terjadi dalam hidup aku, aku teringin untuk mencoretkannya kat sini.

Sedikit sebanyak akan berlaku kesalahfahaman orang terhadap perkataan dan perbuatan kita. Itu sangat mudah terjadi dan amat banyak pemudahcaranya.

Yang mengesalkan aku adalah apabila kesannya itu berlanjutan hingga mencapai hilangnya kepercayaan secara total.

“Aku hampir hilang kepercayaan terhadap engkau Red…”

Itu kata bicara seorang kawan aku tak lama dulu. Bermula dari perselisihan yang sekelumit cuma – bagi pendapat aku.

Dia kecewa kerana aku gagal menjawab beberapa perkara yang menjadi kemusykilan di benaknya. Barangkali jawapan aku tidak sama dengan pengharapan dan doa baginya. Aku tidak tahu.

“ Kata sekolah pandai. Kata ngaji pandai. Tengok rajin sembahyang…”

Sambung kawan aku memuaskan hatinya meluahkan persepsinya terhadap aku. Aku biarkan saja. Namun hati aku mula terasa.

Aku bukan terasa dengan kawan aku tu. Itu hak dia untuk melihat aku dengan caranya. Tapi aku terasa dengan perkataan dia.

Kata-katanya yang secara langsung mengaitkan guru-guru aku begitu mengesankan. Bukan salah dia sama sekali.

Tetapi akulah yang sememangnya harus memikul beban salahfaham tersebut. Kata-katanya menyedarkan aku betapa besar dan berat tanggungjawab seorang manusia yang mengaku islam dan beriman.

Tingkahlaku dan perkataan aku tentu saja diperhati dan diteliti, terutama oleh mereka yang dekat hidupnya denganku.

Di satu sisi, aku kesal kerana tidak dapat memberikan cerminan yang terbaik buat kawanku itu. Suatu tanggapan yang tentunya kurang enak sudah menguasai akal fikirnya. Ah, aku tidak dapat mengubah kenyataan itu.

Namun di satu sisi, aku fikir ini satu peringatan dari-Nya juga. Satu petanda untuk mengejutkan aku yang sudah alpa dan leka.

Seharusnya aku giat untuk terus berusaha memperbaiki diri. Peribadi luaran dengan pengisian dalaman sepatutnya sama sejalan. Tidak berlebihan dan tidak berkurangan.

Aku tahu, sebagaimana aku meletakkan kepercayaan kepada beberapa orang teman, seperti itulah kawanku itu percaya kepadaku.

Dan kepercayaan itu sendiri bukan diundang dan bukan dimimpi. Ia datang dari keikhlasan hati pemberi dan penerima.

Justeru, suatu wajaran tertentu harus dirujuk bila berlaku perselisihan faham. Janganlah sampai berpatah arang berkerat rotan. Ini cuma kehidupan yang fana.

Kawan, aku seorang manusia biasa. Bukan bijak pandai menelaah tandatanya. Aku manusia tidak sempurna. Kadang tersalah kadang terlupa.

Tidak mengapa kawan. Kau tetap kawan aku sampai bila pun.

Selisih tetap selisih. Faham tetap faham. Kawan tetap kawan okey…

Apa yang terjadi akan terjadi dengan ketentuan Ilahi…

Sepuluh hari berlalu tanpa sebarang entri baru. Sepuluh hari berlalu tanpa bicara. Tiada khabar berita. Tiada suara tiada apa…

Namun teman, sepuluh hari itu cukup bermakna bagiku. Menjauhi dunia tanpa wayar ciptaan manusia yang serba lemah.

Aku berkelana dalam satu dunia yang lebih indah. Lebih bererti. Juga dunia tanpa wayar yang zahir terlihat. Tapi penuh nikmat tersirat.

Ia adalah dunia internet yang punya roh dan jiwa. Sesungguhnya ia jauh lebih mempesona. Tiadalah yang lebih asyik selain mensyukuri anugerah dari-Nya.

Hampir-hampir saja aku memutus untuk tidak lagi berbicara di ruang yang sepi dan maya ini. Selain terasa begitu berharganya masa hingga menerbitkan nilai negatif untuk menelusuri internet sebegini rupa.

Ya, didatangi perasaan demikian, memaksa aku berfikir sejenak. Peringatan itu datang untuk menunjuk arah dan panduan.

Al-hamdulillah, aku dianugerahkan pesanan lewat peristiwa sepuluh hari kebelakangan ini, kesemuanya ke arah memperingati Dia…

Aku terharu dengan ziarahmu teman. Tiadalah aku dapat membalasnya melainkan doa agar Allah memberi kebaikkan untuk teman semua.

Apakah peristiwa itu?

Tidaklah aku berhasrat untuk menukilkannya di sini. Cukup untuk aku katakan bahawa ia antara peristiwa besar dalam perjalananku sebagai seorang hamba untuk kembali kepada Penciptanya….

Berdoalah kita semua teman, agar sentiasa mendapat taufik dan hidayah daripada Allah SWT…setiap detik dan ketika, setiap tidur dan setiap jaga….

Semoga doa itu akan termakbul lalu terzahir dalam kehidupan kita, lalu menjadi suri teladan dan membentuk suatu peringatan.

Aku bermohon maaf sebanyak-banyaknya kepada para tetamu blog ini. Bicaraku akan kian berkurang. Masamu akan kian berkurang. Silaturrahim akan turut merenggang.

Aku juga bermohon maaf kiranya entri ini kurang dapat dimengerti. Kiranya begitulah sifat sesetengah perkara itu – agak misteri dan agak berseni…

Cubalah anda membaca dengan mata hati, insya Allah akan dipermudahkan oleh-Nya untuk memahami…. 🙂

Begitulah. seketika tanpa internet duniawi ini, demi seketika untuk internet ukhrawi ….aku fikir suatu yang amat berbaloi. Sungguh berbaloi…

Berpadalah dalam perbuatan kita. Janganlah sampai hiasan dunia yang sementara ini dapat melalaikan kita dari dunia yang kekal nanti.

Sekali lagi, aku mengucapkan berbanyak terima kasih atas kunjungan teman semua. Entri ini aku tulis setelah melihat statistik tetamu tadi.

Insya Allah, kiranya ada rezeki lagi untuk aku mencoretkan sesuatu di sini, aku pasti akan tuliskannya. Mohon permisi dahulu…..

“Depan rezeki ni, abg Red aku cerita. Bukan nak mengajar ke apa ke…tak ada. Betul-betul pengajaran buat aku bang…”

“Masa aku jumpa doktor, doktor tu pun terkejut. Eh, dua ratus lebih ni. Macamana awak boleh ke sini? Biasa macam ni dah tumbang dah…”

“Aku jawablah, doktor tak payah tanyalah…itu semua kan kerja Allah. Orang sihat pun boleh mati. Doktor buat jer kerja doktor..”

“Aku lalu ditahan dan di masukkan ke wad. Macam-macam kes ada. Ada yang darah tinggi macam aku ni. Ada kencing manis dan lain-lainlah…”

“Abang Red tau, wad tu rupa-rupanya untuk kes kronik. Aku dah termasuk kronik juga. Aku kat wad tu tiga hari”

“Tapi dalam tiga hari itulah aku rasa ajal aku dah dekat, bang. Pesakit dalam wad tu sorang-sorang ‘pergi’. Kejap kiri, kejap yang kanan…”

“Nanti ganti pesakit lain, macam tu juga. Kalau nampak ada ahli keluarga dah sain borang tu…alamatlah…tak lama akan diusung keluar…”

“Betul-betul aku insaf, bang. Dah tak ingat apa lagi dah. Ingat mati jer. Ingat dosa aku yang banyak. Ingat nak ngadap ajal…takut bang…”

“Ada sorang pesakit tu, dah berenti dah jantung dia. Doktor buat renjatan elektrik. Dua tiga kali aku tengok dadanya ditekap lalu terangkat-angkat”

“Tak lama lepas tu, aku pergi tengok dia. Aku cuit la beberapa kali- bang…bang…senyap..tak ada respon.”

“Aku cuit lagi…bang-bang…lama-lama dia buka mata. Dia tengok aku atas bawah atas bawah…eh, AKU HIDUP LAGI?…tanyanya kat aku…”

“Aduhh…berdebar aku. Dengan kepala yang berdenyut-denyut, badan dah tak  bermaya, tenaga dah tiada…agaknya akan tiba masa aku pula?”

“Di depan aku terasa ajal sedang menanti. Malaikat Izra’il sedia menjemput…hanya menunggu sampainya masa…”

Demikian luahan hati seorang teman. Patutlah sudah lama saya tidak ketemu dengannya. Rupa-rupanya sedang berjuang dengan nyawa.

Bukan dipinta nasib sebegitu. Siapalah yang mahu derita sengsara? Namun takdir bukan di tangan hamba. Ia mutlak milik Yang Esa.

Teman itu memelihara ibunya yang sudah uzur. Dengan pendapatan yang tidak seberapa, mungkin sedikit menjejaskan sabar tabahnya.

Mungkin juga untuk memberi insaf akan dirinya, serta kita sebagai manusia, maka diujikan Allah dengan pengalaman begitu.

Hidup ini penuh kematian. Mati hati, mati jiwa, mati semangat, mati jasad…namun kita sebagai mukmin dan muslim punya Allah yang Maha hidup,  punya nabi yang amat pengasih.

Itulah iman kita. Itulah tujuan kita. Hidup ini hanya sementara. Akhirat jualah yang kekal selama-lamanya…

Maha suci Allah yang menjadikan makhluk bernama besar dan kecil. Sungguh banyak iktibar dan pelajaran untuk renungan kita bersama.

Penulis teringat bagaimana cikgu penulis memberi contoh bandingan besar dan kecil. Matlamatnya untuk menjelaskan ‘yang besar itu bukan besar, yang kecil itu bukan kecil’.

Contoh mudah katanya, lihat bagaimana semut menghurung cicak mati. Bangkai haiwan sebesar berkali-kali ganda itu boleh diangkat dibawa pergi.

Contoh lain yang klasik tetapi sentiasa relevan, iaitu otak manusia itu sendiri. Otak yang kecil itu boleh memberikan fikiran yang besar hingga merealisasikan perkara yang sungguh menakjubkan.

Jangan lupa satu lagi benda kecil yang kita selalu bawa ke mana-mana – perut. Kecil tapi sentiasa diingat kerana sifatnya yang tidak boleh dikosongkan.

Bertitik tolak dari perut yang kecil itulah, maka sekarang ini berlaku drama dalam skala yang sungguh besar, iaitu kebangkitan rakyat timur tengah dalam melawan orang besar masing-masing.

Orang besar atau pemerintah yang diktator ini sering terpedaya dengan kebesaran mereka. Sampai suatu ketika, mereka lupa bahawa mereka itu kecil saja dan mudah sebenarnya untuk di sepak diterajang oleh orang kecil atau rakyat sekaliannya.

Orang-orang kecil tadi sudah kehabisan sabar, kehabisan ikhtiar. Hidup susah angkara pembahagian kemakmuran negara yang tidak adil oleh orang besar.

Perut mereka semakin pedih kelaparan. Jika satu negara orang-orang kecil ini diperlakukan sedemikian, maka sudah pasti akan membentuk gelombang ketidak puasan hati yang sangat besar.

Seterusnya, terbentuklah satu siri kebangkitan yang tidak dapat sama sekali dipatahkan oleh orang-orang besar tersebut. Mereka tumbang satu persatu.

Sungguh menyedihkan untuk menerima hakikat bahawa mereka itu saudara seagama dengan kita. Sungguh merugikan ummah seantero dunia.

Begitulah balasan Yang Maha Besar Allah Azzawajalla. Sungguh Dia-lah yang Maha Besar dari setiap satu yang besar.

Kembali kepada diri kita sendiri. Kita adalah orang besar dalan kerajaan tubuh badan kita. Kita rajanya. Kita pemerintahnya.

Namun di atas kita ada Allah Taala, Raja segala raja. Maka janganlah kita lupa diri seperti orang besar para diktator itu.

Ingat akan segala hak-hak rakyat kita. Hak mata, hak telinga, tangan, kaki dan ‘rakyat-rakyat kecil’ kita yang lain itu.

Kesemua ‘mereka’ ada hak untuk ‘hidup’ dalam kebaikan dan beroleh pahala, serta dipelihara dari keburukan atau memperoleh dosa.

Ingatlah, kesemua ‘mereka’ akan menjadi saksi bagi setiap perkataan dan perbuatan kita. Mereka akan menjadi samada pembela atau pendakwa kepada kita. Sudahkah kita bersedia?   

Berjuanglah kita semua ini. Kita ada seteru besar bernama syaitan yang sentiasa cuba memesongkan kita. Lawanlah dengan iman dan taqwa.

Dalam diri kita ada kebesaran makhluk. Cubalah agar dapat kita keluarkan kebesaran makhluk itu, gantikan dengan kebesaran Allah…

 

Intuisi seratus entri

 

Ini masa menghela nafas

Istirehat jiwa tenangkan minda

Ambil semangat barang seberkas

Jangan keburu nafsu dan ghairah

 

Menulis itu perlukan tertib

Berkongsi ilmu sekadarnya waktu

Selesaikan dulu mana yang wajib

Utamakan dulu yang mana perlu

 

Ini masa merenung diri

Masa mendasar ke sanubari 

Melangkau mimpi dan realiti

Masa mengenal siapakah aku ini?

 

Kembali menyusur entri dahulu

Artikel satu hinggalah kini 

Apakah aku menulis melulu?

Ataukah cuma memuaskan hati?

 

Tentu tertanya bermacam perkara

Sampaikah isi sampaikah mesejnya?

Apakah manfaatnya untuk aku?

Apa pula baiknya kepada kamu?

 

Untuk kalian kusampaikan pesan

Tulisanku ini seadanya insan

Catatan diri bukanlah berlian

Cuma kerikil di denai di jalan

 

Blog ini alat komunikasi

Tulisan entri bicara sendiri

Mana bisa terjemah segala

Cacat kurangnya tentulah ada

 

Siang malam menebus kabus

Agar sampai ke destinasi

Entri ini yang ke seratus

Menjadi teman perjalanan diri

 

Separuh abad mengharung hidup

Pedih getir membadai cukup

Dunia kecilku seizin-Nya Tuhan

Kukongsi bersama untuk tatapan

 

Dipersilakanlah kalian semua

Bicaralah barang sepatah dua

Berilah input, idea apa saja

Untukku perkemas mana yang bisa

 

Budimu teman tiada kulupa

Kubawa hingga ke akhir hayat

Moga semua memperoleh pahala

Kelak di sanalah ditimbang disukat…

 

Terima kasih kalian semua…


Sinopsis blog abgreds

Blog abgreds ingin melihat makna
pada aksara dan kosa kata dari sudut sedikit berbeda, buat menambah variasi
pemahaman semua.
Selamat membaca!

K O T A K — S H O U T M I X

Statistik blog

  • 63,806 - sejak 19 Jun 2010

Salam sejahtera

Blog ini adalah blog peribadi abgreds. Semua artikel adalah nukilan abgreds untuk tatapan bersama.

Artikel abgreds merupakan rangkuman pengalaman dan kisah perjalanan hidup abgreds.

Abgreds harap artikel-artikel di sini dapat sedikit sebanyak memberi manfaat buat anda.

Anda dialu-alukan untuk memberikan idea, pandangan, nasihat, kritikan, dan sebagainya.

Sila tinggalkan jejak anda di ruang komentar atau shoutbox.

Terima kasih atas ziarah anda!

Salinan semula

Abgreds membenarkan kandungan artikel di blog ini diterbitkan semula dengan syarat disertakan kredit / pautan ke blog ini.

Sebarang pertanyaan boleh di e-mailkan ke abgreds melalui alamat : takterra@gmail.com

Sila ambil perhatian, kandungan blog ini adalah diawasi.....

...

Protected by Copyscape Duplicate Content Checker

Negara pengunjung

free counters
Online Users
bighandesign
My Ping in TotalPing.com

BlogMalaysia.com

Blogged.my