Blog Abgreds

Archive for Jun 2010

Suatu hari – suatu waktu dahulu…

Ima  :      ros, apasal kau tidur tadi? Kan tengah waktu belajar!

Ros  :      aku tak tidur. Aku belajar.

Ima  :      macam aku tak nampak. Mata dah katup. Tak gerak-gerak…

Ros  :      aku tak tidur,betul. Aku belajar memang macam tu lah!

Ima  :      hahaha, tidur macam tu boleh belajar? Boleh masuk ke?

Ros  :      aku tidur macam tu baru boleh masuk belajar.

Ima  :      ha..? macamana tu?

Ros  :      la..kau ni. Aku tanya kau, bila masa kau belajar makan?

Ima  :      masa tengah makan.

Ros  :      bila masa kau belajar mandi?

Ima  :      masa mandi.

Ros  :      tadi kita belajar apa?

Ima  :      kimia.

Ros  :      itulah, aku tadi pun belajar kimia. Tapi, masa mata aku terkatup tu, aku tak belajar kimia, aku belajar tidur! Faham?

Ima  :      ooo… macam tu ke?. Tidur pun kena belajar ke?

Ros  :      oi, tidur tak payah belajar pun boleh tidur. Tadi tu aku bukan belajar tidur. Tapi belajar tidur dalam kelas! Wah, aku berjaya!

Ima  :      huk aloh…

Adik-adik, begitulah cerita kita hari ini. Nak tidur ada ilmu. Nak nyenyak ada ilmu. Tak nak tidur pun ada ilmunya. Tapi kalau nak belajar tidur dalam kelas – sila tanya kak ros kita, ya. Oh ya, kalau adik-adik berjaya ikut jejak langkah kak ros, jangan beritahu dia! Nanti adik-adik kena denda macam yang dia kena dulu – lari kat padang tiga pusingan… baiklah, jumpa lagi minggu depan dalam rancangan Kak Yong. Babai…

fotosearch.comAku tahu sudah ada beberapa kunjungan ziarah daripada pembaca di luar sana. Terima kasih aku ucapkan. Oleh yang demikian, perlu pula aku berikan sedikit sebanyak panduan untuk memahami gaya persembahan blog abgreds ini. Blog baru, orang baru, tentu banyak kelemahan dan kecacatan di sini-sana.

Pertamanya, aku ini bukan pandai menulis karangan. Bolehlah sedikit-sedikit. Keduanya, aku ini bukan pandai internet. Bolehlah sedikit-sedikit. Ketiganya, aku ini bukan pandai bersembang. Semuanya sedikit-sedikit. Justeru, atas kelemahan dan kekurangan sebegitu, maka terzahirlah blog yang tidak seberapa ini.

Aku akan perbaiki dari masa ke semasa. Aku harap kalian boleh menerima blog aku seadanya. Tentang kenapa aku menata gaya catatan yang seperti kalian lihat ini, nanti aku perjelaskan. Sekarang aku mahu bercerita hasrat dan niat aku berblog.

Aku terdorong untuk belajar apa yang aku rasa dekat dengan aku. Aku ada komputer. Ada internet. Maka aku mahu memahami lagi benda alah dua ini. Aku berblog. Aku ingin tahu manfaat apa yang boleh aku perolehi dengan berblog. Ya, barangkali agak terlewat. Itu tidak menjadi soal. Sudah rezeki aku dapat berblog sesudah kalian semua mendahuluinya. Di sisi yang lain, aku juga ada pengetahuan yang mungkin tidak diketahui pula oleh kalian. Sama sahaja.

Dalam mencari ilmu, tidak ada istilah cepat dan lambat. Tiada tua tiada muda. Semua ini, aku ulangi semua ilmu yang kita tahu ini, yang buat kita rasa ‘besor amat’ ini, cumalah setitis air di lautan luas. Ya, cuma setitis air ibaratnya. Kena angin keringlah ia. Tiada lagi.

Ini blog abgreds. Dari titik kecil setitis pengetahuan. Mencari titik kecil setitis ganjaran. Ke arah satu titik penghidupan selepas satu kehidupan!

Untuk kalian, terima kasih kerana belajar memahami abgreds. Tuhan jualah yang dapat membalas budi kalian.

Label: ,

Siapa kata hendak bodoh? Siapa hendak jadi orang bodoh? Orang tongong. Orang bahlul. Siapa? Tidak ada sesiapa antara kita yang mahu jadi begitu. Kalau ada bukan mahu mengaku. Bodohkah kita mengaku kita bodoh?!

Kejadian manusia tidak tahu apa-apa. Nak makan diajar. Nak minum diajar. Serba-serbinya tidak tahu. Lalu diilhamkan kepada manusia itu beberapa ilmu laduni. Mengetahui langsung dengan belas kasih Tuhan kepada makhluk-nya. Maka berakallah dia. Tahu lapar tahu dahaga. Tahu tidur tahu berjaga. Sudah pandai ilmu dunia. Dan akhirnya lupa dia dimana. Dia siapa. Dan lupa tempat tujuannya.

Ya, manusia boleh ingat dan boleh lupa. Dengan ilmu sekuku cuma, hilang sudah timbang tara. Ringgit dan harta seharian ditimba. Siang dan malam sama serupa, kerja,kerja, kerja….natijahnya, lupalah dia pada haknya diri. Lupa pula hak isteri dan famili. Hak jiran tetangga dan hak komuniti. Pandai cari harta, bodoh cari saudara. Dibodohkan oleh kepandaiannya sendiri.

Sebagaimana pandai itu suatu ilmu, bodoh itu juga suatu ilmu. Ilmu boleh memandaikan manusia, ilmu juga boleh membodohkan manusia. Manusia pandai boleh menghilangkan bodohnya dengan ilmu. Manusia bodoh boleh menghilangkan pandainya dengan ilmu. Kita bagaimana?

Nukilan ini bukan memperbodohkan sesiapa. Kita cuma mahu menghilangkan bodoh kita. Ada banyak yang kita tidak tahu. Ada banyak bodohnya kita. Belajarlah apa yang kita tidak tahu itu. Bila sudah tahu, maka hilanglah satu lagi bodoh kita.

Jadi, jangan sombong bodoh. Kita tidak bodoh bila mengaku kita bodoh. Syaratnya kita tahu bodoh kita. Dan kita mahu belajar menghilangkan bodoh kita. Belajarlah tentang bodoh. Nanti kita jadi pandai, insya-Allah.

Label: ,

Semalam aku jumpa kawan baik aku. Seorang bisnesman besar. Aku jumpa kat warung yang biasa aku minum dengan dia. Kami berborak banyak perkara. Soal bisnes. Soal duit. Soal politik. Biasalah, orang lelaki pusing-pusing lagu tu juga. Lama juga bersembang. Sekali tengok jam, ha… dah pukul 1 pagi. Ingat nak balik. Tiba-tiba…

Ada sekelompok manusia datang ke warung tu. Budak-budak muda. Rambut cacak-cacak. Warna macam-macam. Pakai jaket kulit butang besar-besar. Kasut kulit juga. Dia orang ambil port tak jauh dari aku dan kawan aku tu. Adalah dalam 7 orang. Lakinya 4, pempuannya 3. Dah dekat baru cam. Dari jauh sama saja semua. Ni la agaknya yang dikata orang budak-budak punk. Kawan aku dah geleng kepala. Camne abgreds? Tanyanya.

Kawan aku tu usahawan. Bisnes macam-macam. Turun naik bisnes dia dah lali. Kalau jumpa aku, ada saja masalah bisnes yang dia ceritakan. Aku tolong dengar sajalah. Sekarang dia dah stabil. Rezeki murah sampai boleh tolong ramai kawan-kawan yang memerlukan. Sampai satu ketika, dia ada tertanya macamana nanti kalau dia dah tak ada. Hajat dia nak tengok anak muda bangsa melayu ni ikut berjaya seperti dia.

Tapi yang dia jumpa lebih banyak seperti bebudak muda kat warung tu. Ada juga yang bagus dan berusaha sungguh-sungguh. Tapi sikit. Tak dapat nak legakan hati dia. Macamana abgreds? Aku sendiri termangu. Bukan dia saja, aku yakin mak bapak budak-budak tu sendiri nak anak-anak dia orang berjaya. Cuma aku tak pasti adakah mak bapak dia orang tahu anaknya dah jadi seperti itu? Entahlah…

Tiap generasi tu ada cabaran dan ujian masing-masing. Aku tahu, aku juga kena ada peranan untuk membentuk waris bangsa kita ni. Cabarannya ialah untuk memahami anak-anak muda ni. Muda aku dengan muda dia orang lain. Tapi itu bukan alasan. Baik, aku nak mula sekali lagi. Cari jalan untuk yang sesuai dengan cara aku. Kau orang pun buatlah mana yang patut. Kita dulu dah dibantu tuk moyang kita masa kita masih muda. Sekarang gilirang kita pula.

Emm, nak bantu budak muda, aku kena jadi muda juga,kan? Macamana nak jadi muda? Bukan kat muka. Muka dah tak boleh diawet lagi, ha ha.. mudakan saja iltizam aku. Mudakan fikiran aku. Mudakan wawasan aku. Belajar jadi muda, insya Allah jadi-jadi…

Label: ,

Banyak sungguh perkara yang kita lalui sepanjang hidup. Makin dewasa makin bertambah. Satu saja yang berkurang. Umur. Selalu kita ucapkan selamat panjang umur. Selamat panjang umur. Betullah itu. Apakah kita nak ucapkan selamat pendek umur? Hendak kena tempeleng?! Ha ha ha. Jangan buat begitu ya.

Ucapan dengan kejatian tidak sama. Ucapan selamat menjadi seakan doa dan harapan kepada penerima ucapan. Sewajarnya dibalas dengan terima kasih dan seumpanya. Hanyasanya, sipenerima itulah yang wajar membuat konotasi berpatutan untuk ucapan yang diterimanya. Bagaimana seharusnya ucapan selamat itu diterima dan dimanfaatkan. Ini perlukan ilmu dan pembelajaran.

Ilmu tentang umur ialah pengertian atas kejadiannya. Ia cuma satu pinjaman dari Allah swt. Sama seperti kurniaaan-Nya yang lain. Maka pinjaman itu tentu bersifat sementara, terhad dan akan habis. Umur kita semua ini akan habis. Suatu masa kita pasti meninggalkan alam duniawi ini. Jadi apa penerimaan yang betul untuk ucapan selamat panjang umur? Iaitu dengan syukur atas umur yang telah kita lalui dan berdoa agar baki umur kita dipergunakan sebaik-baiknya.

Yang kita kena faham adalah umur kita bukan makin panjang. Tetapi tiap detik yang berlalu, umur kita semakin kurang (makin pendek?). Kalau pinjaman kita ada 63 tahun, dan telah berlalu 36, maka tinggallah 27 tahun. Benar kita tidak tahu berapakah pinjaman umur kita. Itu bukan isunya. Kefahaman kejatian umur yang penting. Baru ada kemahuan dan iltizam membuat kebaikan serta kebajikan dalam perjalanan seterusnya.

Jadi, selamat berbelanja terhadap kalian atas umur kalian. Laburlah baki umur kalian dalam muamalat yang halal dan berkat. Simpankira semua urusniaga ada di kiri-kanan kita. Awas, semua laporan akan diaudit setelus-telusnya!

Belajar tentang umur. Bagaimana hendak ‘panjangkan’ umur. Yang belajar ‘pendekkan’ umur pun ada. Zaman IT ini, talian hayat pun ada. Macam-macam…

 

Paling baik nak tau mata kita sihat atau tidak ialah waktu pagi. Bangun sebelum subuh. Jangan basuh muka dulu. Pergi buka tingkap. Yang lebih baik pergi turun ke laman. Ambil nafas dalam-dalam. Sambil tu buat latihan mata. Kalau di kampong lagi baik. Kampong yang damai… udara nyaman, burung berkicau… fuh, nostalgik sungguh.

Di kampong persekitaran pagi gelap lagi. Tiada lampu jalan. Rumah jarak-jarak. Belum ada yang pergi ‘pejabat’ pagi buta. Baik, sambung latihan mata. Dalam samar-samar tu, kita latih mata kita. Tengok benda dekat, tengok benda jauh berselang seli. Dan berulang kali. Camkan mana-mana objek yang jauh tu. Setakat mana jarak objek yang kita tengok boleh dicam dengan tepat. Kalau masih jauh, masih baiklah mata tu. Kalau depan mata pun dah tak cam, hem… pergi periksa mata ya.

Masuk waktu subuh, pergilah sembahyang. Dah selesai ? Baik, keluar lagi. Sambung latihan dan ujian mata kita. Mari kita lihat hijau! Lihatlah pokok-pokok keliling rumah. Lihat benda-benda jauh. Dongak ke atas. Tengok langit jauh-jauh. Kalau ada burung terbang. Ikut gerakkan mata arah burung itu terbang. Kalau rumah di kawasan bukit atau kawasan tinggi, lagi ‘tinggi’ kita punya tahap latihan.

Sejauh mana benda-benda kecil, benda jauh, dan benda yang berwarna gelap itu dapat dilihat dan dicam, maka itulah tahap kesihatan mata kita. Sebab itu orang kampong dan orang dulu-dulu jarang yang pakai cermin mata, kan? Ada banyak lagi tips memelihara mata. Cukuplah untuk kali ini. Mari kita lihat hijau!

p/s : skrin moniter komputer abgreds dah berapa bulan jadi hijau! Yang ini hijau tidak baik untuk mata! Hem, duit lagi. Kalau duit hijau lima tak apa lagi. Ni dah sah duit hijau lima puluh-lima puluh…apa nak buat.

Oleh itu, sebelum abgreds jadi abggreens, mari kita belajar tentang hijau.

Masa aku tulis post ini, bingit telinga mendengar riuh rendah manusia. Berborak, berbual, berbincang. Tak kurang yang jual minyak dan jual temberang. Layar besar depan warung jadi tumpuan. Ha ha ha Korea Utara kena libas dengan Portugal 7-0. rekod tu.. kalau malaise lagilah, rekod dunia untuk 10-0. lepas itu, rekod lagi 10 tahun tak ada negara yang minat nak pecahkan rekod tu.

Aku pernah merasa zaman arumugam, santokh, soh chin aun dan super mokh. Yang aku ingat masa piala Malaysia 1986 kalau tak salah. Selangor tenyeh johor . mulanya johor dulu masuk gol. Lepas itu, selangor pula dan menang. Salah satunya supermokh yang masukkan. Itulah sisa-sisa kemeriahan dan kegemilangan bola sepak Malaysia. Selepas itu, ehmmm , dah mula batuk-batuk sukan bola ini. Tiba zaman serbegeth, zainal abidin dan dollah salleh. Batuk tak hilang, kena pula selsema.

Selepas zaman zainal ni, aku dah malas nak tangok bola. Asyik kalah memanjang. Asyik lawan nak cari pengalaman, bukan nak menang. Asyik tukar format, tukar coach, tukar suka sama suka. Buat macam-macam semua tak jalan. Makin macam-macam sakit yang datang adalah. Hari ini, maaf cakap, siapa dia pemain kebangsaan pun aku tak tahu. Maaf banyak-banyak. Orang sakit teruk ni muka jadi cengkung. Sampai kita tak kenal kadang, kan?

Sebenarnya, aku tidak minat mana pasal bola. Tak ingin pun nak bersengkang mata tengok bola. Layan tidur lagi bagus. Untung-untung dapat mimpi jadi tauke bola. Kepada yang minat, teruskan. Tak jadi hal. Yang tak minat bola sepak, aku ada cadangan. Kita buat group belajar cakap bola, boleh? Okey ready? Satu.. dua.. tiga…

Bola satu kepada bola dua, over! Bola dua kepada bola satu, jalankan berita, over! Heh he he…

Belajar cakap bola.

hujan oh hujan

Pukul tiga pagi. Aku dah terjaga. Ada bunyi hujan. Bunyi alunan nazam zink ditimpa hujan menerjah telinga. Angin sejuk menerpa masuk. Dindingnya berlubang berlubang sana – sini. Tempat aku berteduh semenjak bermusim yang lalu. Rumah kayu lama pusaka ibu..

Angin bertiup kencang. Risau rungsing silang menyilang. Rumah tua, masihkah kau semangat waja? Rumah tua ini sudah lama sekali. Berabad umurnya menabur budi. Generasi demi generasi. Hingga kini, kian uzur… tunggu menyembah bumi. Angin, kasihanilah rumah ini. Kasihanilah daku ini…

Berilah aku masa. Akan aku usaha sedaya upaya. Nanti aku sudah punya uang, aku beli paku papan. Akan kutambah pasak tiang.. aku ganti mana yang lubang.. Sabarlah wahai rumah. Kau tempat melepas lelah. Sabarlah wahai angin. Hembuskan dinginmu di tempat yang lain…

Hujan masih turun kebumi. Biarlah. Nantikan teduh sendiri. Subuh pun berengsot pergi. Mana mahu kucari uang? Tiada kebun tiada bendang. Oh. ya, aku punya tubuh sihat dan titik keringat. Aku ada akal fikiran. Tentu ada jalan. Aku yakin. Tuhan maha mengetahui.

Hujan sudah berhenti. Mentari menitip sinar. Aku mengorak langkah. Aku belajar susah. Aku belajar tabah. Hidup satu perjalanan satu perjuangan. Hidup untuk belajar.

Belajar untuk hidup.

Label:

Seorang budak umur 8 tahun. Duduk di desa di hujung tanjung. Berlengging tidak berbaju. Kepala diikat pakai kain sarung. Ikat kuat di kepala. Lepas itu terbalikkan satu bahagian ke belakang, macam nak pakai semula. Terkial-kial nak menggayakan. Ah, mana mata ni.. dikeluarkan tangan lalu teraba-raba cari tempat mata.

Ha, dapat pun! Tersengih dia. Segera tempat ikatan sarung dekat mata dibuka perlahan-lahan. Satu ke atas dahi. Satu ke hidung. Ditenyeh matanya beberapa kali. Barulah terang! Tersengih lagi. Aku dah jadi ‘momok’ (hantu le kononnya tu). Pergi ke bilik. Tengok cermin. Aha.ha ha.. cuba lagi, haa haaa haaa… ok. Mesti takut punya.

Mana cik man? Tadi ada kat situ. Terhendap-hendap. Sunyi. Pergi ke depan. Tak ada orang. Pergi dapur. Tak ada. Pergi jamban. Tidak ada juga. Eh, mana cik man ni. Mak, cik man mana? Emak tak dengar ke. Mak, cik man mana? Kata nak main antu-antu… mak senyum. Dah balik dah! Ha, dah balik…?

Wa… dengan terharu yang teramat aku menangis puas-puas. Cik man, aku ingat cik man. Aku tuntut nanti. Kata nak bawa aku pergi kedai makan aiskrim. Penat aku nak jadi antu tu tau. Wa… rindu dengan cik man. Rindu abgreds 8 tahun!

Belajar jadi budak nakal. Tak jadi-jadi… selalunya kena akal. Selalunya kena tinggal…wa…


Sinopsis blog abgreds

Blog abgreds ingin melihat makna
pada aksara dan kosa kata dari sudut sedikit berbeda, buat menambah variasi
pemahaman semua.
Selamat membaca!

K O T A K — S H O U T M I X

Statistik blog

  • 65,653 - sejak 19 Jun 2010

Salam sejahtera

Blog ini adalah blog peribadi abgreds. Semua artikel adalah nukilan abgreds untuk tatapan bersama.

Artikel abgreds merupakan rangkuman pengalaman dan kisah perjalanan hidup abgreds.

Abgreds harap artikel-artikel di sini dapat sedikit sebanyak memberi manfaat buat anda.

Anda dialu-alukan untuk memberikan idea, pandangan, nasihat, kritikan, dan sebagainya.

Sila tinggalkan jejak anda di ruang komentar atau shoutbox.

Terima kasih atas ziarah anda!

Salinan semula

Abgreds membenarkan kandungan artikel di blog ini diterbitkan semula dengan syarat disertakan kredit / pautan ke blog ini.

Sebarang pertanyaan boleh di e-mailkan ke abgreds melalui alamat : takterra@gmail.com

Sila ambil perhatian, kandungan blog ini adalah diawasi.....

...

Protected by Copyscape Duplicate Content Checker

Negara pengunjung

free counters
Online Users
bighandesign
My Ping in TotalPing.com

BlogMalaysia.com

Blogged.my