Blog Abgreds

Archive for Oktober 2010

Siapa nak belajar ilmu ghaib?

Awak nak belajar ilmu ghaib?

Awak nak tau siapa ada ilmu ghaib?

Awak nak tau siapa guru ilmu ghaib?

Di mana awak nak belajar ilmu ghaib?

Baiklah, mari lihat di sini! 

Ya, awak dah jumpa!

Di sini…

                                                                                                                                                      Boleh nampak banner dia?

Tak nampak? Klik saja di situ, nampaklah..

Ya, ada tawaran secara percuma

Jangan segan jangan malu

Mari ramai-ramai jadi ghaib…

 

Eh, mana link dia?

Huh, alamak! Link dia dah ghaib!

Ni mesti kerja tokei ceti dengan bank ni

Tak pun usha tokei emas, perak, intan berlian…

Tak pun bomoh tukang jaga M16, raifel, bom, jet pejuang…

Tak pun kerja bapak-bapak  yang ada anak dara lawo, putih, mulus, gedik… 🙂  

Oh ya, buat apa awak nak jadi ghaib?

Boleh awak cuba bayangkan kita semua dah jadi profesional ghaib… ?

Camne agaknya kehidupan ni  yek?

Cerita teman abgreds. Dia bahasakan dirinya sebagai kawan. Ikuti kisah beliau…

Dalam satu kursus haji, kawan berjumpa seorang pakcik tua yang agak uzur. Kawan tanya dia buat apa? Dia kata nak kursus haji.

Kawan tanya lagi, baru pertama kali ke pergi haji? Dia kata dah LIMA kali. Ini masuk yang ke enam. Wah… rajinnya pakcik ni. Senang pulak tu..

Anak-anak yang bawa, katanya. Kuota warga emas, sambung pakcik tu lagi. Ikutkan badan dah kurang kuat. Tapi kesian kat anak-anak. Dia orang TAK sanggup tunggu giliran…

Kawan dah termenung dengar kata-kata pakcik tu. Sayangnya pakcik tu pada anak-anak dia. Anak-anaknya pun sayang pada ayah mereka.

Tapi kesian pulak tengok fizikal pakcik tu. Dah tua dan uzur. Masih kuat ke? Atau dikuat-kuatkan? Eh, ke situ pulak kawan fikir. Tak baiknya…

Minta maaf la, pakcik, bisik hati kawan sambil berlalu. Apa yang kawan fikir…? Apa takrif MAMPU pergi haji ni?

Adakah sanggup tunggu giliran termasuk takrif MAMPU yang dimaksudkan?

Adakah dengan menggunakan nama warga emas dikira sebagai USAHA yang dibolehkan?

Maaf ya, kawan tanya jer, tapi tak tau nak jawap… 😦

Abgreds : tukang sampaikan.

Berapakah usia yang sesuai untuk memperkenalkan IT kepada si kecil?

Pertanyaan ini tercetus apabila aku terlihat sekumpulan budak sekolah rendah baru ni. Masing-masing memegang henpon sorang satu.

Bila aku risik-risik, peh..! kalah henpon aku. Dia orang punya ada kamera, ada tv, ada online game, ada internet.. macam-macam ada!

Lepas tu, aku terbaca juga cerita perihal anak-anak, adik-adik atau budak- budak sekolah rendah yang dah pandai berinternet.

Yang lebih hebat, ada juga yang diceritakan itu masih belum bersekolah. Kiranya umur kanak-kanak lagi. Pun dah berjinak-jinak main game.

Agaknya apa motif keluarga dia orang buat macam tu? Mengenalkan subjek internet dalam usia yang begitu muda? Kenapa ya?

Kalau pun memang ada duit, boleh belikan anak-anak henpon yang canggih-manggih, takkan tak boleh tunggu besar kot?

Tak pun belikan dulu henpon yang ‘cap ayam’ punya dulu. Bila anak tu dah besar, dah sekolah menengah, baru beli yang sofistikated tuh, tak boleh ke?

Budak-budak kecik (belum sekolah) tu tak payahlah dihadapkan kat depan komputer dulu. Tak payahlah dibukakan internet kat dia orang.

Entahlah. Aku cuma buat ‘demo’ perasaan aku je. Buruk baik pun, anak-anak korang jugak. Aku ni bukan siapa-siapa.

Okeylah, sapa-sapa yang pandai pasal psiko budak-budak berkaitan internet ni mungkin boleh kongsi panduan kat sini. Aku nak tau jugak.

Apa agaknya hobi anda? Tentu yang anda suka membuatnya dan memberi anda ketenangan dan kegembiraan.

Kadang-kadang suatu hobi itu boleh juga mendatangkan beberapa manfaat sekaligus, kalau kita berupaya memanipulasikannya.

Bagi saya, saya suka melihat langit yang terbentang luas di kawasan yang lapang. Sungguh nikmat. Terutama ketika cuaca cerah.

Menyusul sejurus itu adalah mencari objek…UFO ke (kalau ada!). Tapi, yang biasa tertangkap oleh mata saya ialah sang beburung terutamanya helang. Seekor atau berkumpulan.

Apa yang saya buat? Saya suka mengekori layangan helang nun jauh di angkasa. Tampak sangat kecil dan berbalam-balam.

Tatkala itulah, langsung saya suka menguji sejauh mana sihatnya mata saya. Cara mudah lagi percuma. Cuma perlu senyum…ehh, perlu lihat saja.

Jika ada kawan dan jika sang helang itu juga berkawan, ujian menjadi lebih rancak, lebih meriah dan lebih telus kerana saling bersaksi.

Kami akan saling mencabar, melihat sejauh mana helang itu pergi. Dan sejauh mana ia kami mampu mengekori. Ujian santai yang cukup berkesan sebagai satu senaman mata.

Bolehkah keputusan ujian ini disahkan? Tentu tidak secara data klinikal. Tapi, memadailah untuk saya mengetahui keupayaan mata saya.

Mata anda bagaimana? Masih terang dan jelas? Atau sudah kabur sedikit? Atau sudah menggunakan teropong sakti (kaca mata lah!)?

Mata itu punya hak untuk sihat dan sejahtera. Jangan dera dengan tabiat yang jahat. Umpamanya melihat skrin berjam-jam, kurang rehat dan tidur, atau juga tidur berlebihan.

Apa pun, selagi upaya melihat, jangan sampai lupa nikmat. Cari pandangan yang berkat. Jauhi yang maksiat lagi mudarat.

Abgreds : belajar tentang mata.

p/s : sekarang, anak-anak kecil lagi sudah berkaca mata, kenapa ya?

Ini teman yang ku ceritakan kelmarin, Pak Khir. Pemuda berkata dengan lembut.Teman Pemuda itu tunduk berdiam diri.

Bicaralah sesuatu kepadanya Pak Khir. Dia mau bertaubat. Sungguh-sungguh mau. Semalaman dia memujukku menemukan dengan Pak Khir.

Untuk apa? Balas Pak Khir. Mukanya sedikit merah dalam menahan amarah yang mulai membara. Teman Pemuda itu mencuri-curi pandang.

Kamu sudah berbuat maksiat yang besar. Kamu fikir kamu siapa? Gumam Pak Khir. Sa..saya mahu bertaubat pak, getar suara teman Pemuda terdengar.

Kamu ini berani. Pergilah. Lawan hingga nyawa kamu kehabisan, ujar Pak Khir. Sa..saya tahu saya salah, pak. Bantulah saya.., rintih teman Pemuda.

Kamu ini apa? Kamu bukan malaikat. Malaikat tidak berkahwin. Kamu bukan manusia. Manusia itu pemuda berkahwin dengan pemudi…

Bahkan haiwan jantan itu maunya cuma dengan si betina. Kamu in apa?! Pak Khir menghela nafas panjang. Pemuda dan temannya diam kaku membisu.

Bukan juga kayu dan batu batan. Bukan. Bukan. Entahlah. Barangkali kamu bukan dari bumi ya? Kamu ini makhluk asing? Begitu?!!

Mengetap bibirnya yang kering, Pak Khir langsung mengusap-usap dadanya. Sungguh berani kamu melawan Allah. Lupakah siapa kamu? Kalau bukan jadi manusia, kamu ini cuma setitis MANI yang jijik dan tengik, mengerti!!

Hening. Sunyi tanpa suara. Pak Khir beristihgfar perlahan.

Bawalah temanmu ini pulang dahulu. Aku khuatir sabarku lemah menengok dia. Bukan hak aku untuk marah dan benci dia…mohon dijauhkan ya Allah, ucap Pak Khir seterusnya. Pemuda mengangguk tanda memahami.

Ke marilah esok pagi. Kamu bimbing dia mana yang kamu tahu dahulu, ya? Pinta Pak Khir. Baik, pak, balas Pemuda itu.

Assalamualaikum, pak, ucap Pemuda. Wa’alaikumussalam waroh matullah, balas Pak Khir. Matanya mengekori langkah Pemuda, dan temannya yang terjebak pujuk rayu cicitnya kaum Luth.

Pak Khir mengeleng-gelengkan kepala. Lalu berlalu dengan kesal yang bersisa. Kenapa ini berlaku? Kenapa?

*       *       *

Siapa Pak Khir dan Pemuda ?  Cuba baca di sini :

https://abgreds.wordpress.com/2010/07/29/tuan-sembahyang-tuan-puasa/

“Boss, cari kerja lain lah… apa kejadah boss ambik kerja ni. Tak sesuaiii le…”

“Ha, korang tak nak kerja, pergi balik. Aku tak nak tengok muka korang. Biar aku buat sendiri. Nanti aku juga yang untung kan?”

“Boss ni… main ugut-ugut pulak. Okeylah, kita redah lah. Ni berbaloi ke upahnya ni boss? Tinggi risiko ni …silap gaya kena kurung karang”.

“Berbaloi la tu. TIGA BULAN gaji, amacam?”

“Emmm… tambah lagilah boss. Lepas ni sah-sah kita orang tak boleh makan, tak boleh minum, tak boleh dekat-dekat bini…”

Korang ni cengkadak jugak yea. Okeylah, tambah lagi elaun rawatan susulan korang DUA BULAN gaji. Last! Tak mau kalu, aku cari orang lain”

Abis tu, boss tak joint kita orang ke?”

“Bukan tak nak joint, aku nanti nak jaga korang pulak. Tah ada yang masuk sepital ke, masuk wad, kena halau ke… sapa susah? Akuuu jugakkk! Dah, dah… nanti tak settel kerja lagi tak dapat upah, sapa susah? Akuuu lagi!”

“Huh, gampang punya boss!”

“Ha, apa lagi? Masuk la. Masuk… jangan malu-malu. Buat macam rumah sendiri! LIMA BULAN GAJI weh…lima bulan. Jangan ingat lain. Korang bayang duiiittt aje! Okey? Ha, masuk-masuk….”

.

.

.

.

.

.

Huhu… inilah tempat boss kita orang tender tu. Tempat gaji lima bulan untuk kerja lima jam! Sekali jerwa cakap lu…sekali jer wa nak kerja macam ni. SESUMPAH!

Skop kerja : cari kat mana menatang rosak benda alah mesin tu. Dengar kata dah DUA bulan tak jalan. DUA BULAN beb!! Bayangkan aroma dia…!

Betul pun kena kuarantin lepas tu. Pejabat kesihatan yang pantau.Sebulan bau taik ko. Berpuluh kali mandi. Sabun wangi dozen-dozen abis.

Boss?? Ada la belikan perfume sorang lima botol…jadilah…

Kawan abgreds : ustaz kata itu rezeki halal. Cuma busuk le… memang wajib mandi!

p/s : cari gambar masa mesin rosak tak ada la pulak. Masa tu ‘air’ tenang jer. Paras pinggang. Tapi kena ‘berenang’ jugak. Mesin tu ada kat dasar…

sumber : google

Hari ni aku teringin nak segarkan minda aku. Nak cerita zaman aku kecik. Beringus lagi. Cerita dulu la tahun tujuh/lapan puluhan.

Budak-budak dulu mana ada tv atau radio. Komputer lagilah tak ada. Sebab tu budak dulu-dulu kena kreatif. Berangan kejap. Lepas tu cuba aplikasikan jadi realiti. Realiti tahap budak-budak la. Contohnya main bas tali. Meh aku citer sikit.

Dengan tali rafia, sambung-sambung jadi satu gelung besar. Sorang pegang depan merangkap driver. Sorang pegang belakang tukang jaga tiket.

Duitnya pakai daun pokok jer. Daun besar nilai besar. Daun kecik nilai pun kecik. Bas ‘diregang’ oleh driver dan penjaga tiket. Penumpang bayar dulu tiket baru masuk dalam bas.

Kumpul ramai-ramai. Dah penuh, jalanlah. Jalan sikit, pemandu jerit “ha dah sampai Muo!”. Jalan jauh sikit “ dah sampai Kolumpo!” hehe.. dia tukang tentukan tempat tu kat mana – kat mana.

Penumpang nak turun ni. Nak tekan loceng? Pakai mulut jerr…Ting!! keluarlah dari bas tu. Dah sampai Kolumpo…konon tengok-tengok la sekeliling … tunjuk-tunjuk … ceh…pandai berlakon siott..

Tukang jaga tiket merangkap juga gear ‘gostan’. Konon bas nak ngundur. “gostan..gostan… lagi..lagi…opp!! ada lubang!..” macam betul…

Seronok kan jadi budak-budak? Kerja main jer. Tak pikir susah payah mak bapak besorkan kita. Sekarang dah jadi mak, jadi bapak baru tahu.

Oh ya, kreativiti main bas tu tak lengkap lagi. Kita orang siap imagine jalan dengan eksiden! Jalan lurus, belok-belok, naik turun bukit…

Sesekali buat konon-konon eksiden langgar pokok la, langgar lembu. Ada bunyi hon panjang, hon pendek…pendek kata macam naik bas betul!

Okeylah, sesekali izinkan aku tulis entri yang personal sikit. Emosi beb… macam-macam perasaan dan perasan dalam fikiran aku bila tulis entri macam ni.

Korang macamana? Apa korang buat kecik-kecik dulu?

Abgreds : belajar jadi orang besar!

Mengingati mati – seruan yang acapkali didengar oleh telinga kita. Untuk mendengar tiada masalah. Bab nak buat yang selalu kalah..

Tapi ada juga antara kita yang hidup dengan kematian. Tak payah diingatkan, mereka cukup arif dalam bab-bab mati. Antaranya :

1.      Tukang selamat

Anggota penyelamat seperti bomba, polis, dan pasukan ambulan hospital. Mereka selalu jadi orang pertama berhadapan dengan kematian. Maklum sajalah statistik kemalangan maut di Malaysia ini.

2.      Tukang ubat

Tugas doktor untuk mengubat segala macam penyakit, kecuali mati. Itu pun masih ada usaha mencari penawar mati. Bukan halang kematian, tapi untuk melunakkan saat-saat akhir bakal simati (aduh, boleh ke dianggap begitu?).

3.      Tukang mayat (uruskan mayat)

Anda pernah mandikan mayat? Yang dewasa barangkali pernahlah. Di rumah mayat hospital, kadangkala ada sikecil berumur 9 atau 10 tahun dengan cekap ikut bapanya menguruskan mayat di situ. Sudah biasalah itu.

4.      Tukang kubur

Sekarang pengurusan kubur lebih teratur dan melibatkan ramai peserta. Suatu waktu dahulu, di sesebuah kampung, ada sebilangan kecil profesional kubur. Merekalah yang sibuk di kawasan kubur bila berlakunya kematian.

5.      Tukang kepuk

Minta maaf ya peniaga kepuk. Hakikatnya pelanggan anda adalah simati.. opss..waris simati. Jadi anda tentu lebih ‘alert’ dengan kematian di tempat anda. Jangan doa selalu ada orang mati sudahlah, ya?

Nah, mereka inilah yang selalu berhadapan dengan situasi kematian. Bukankah itu menyebabkan mereka mudah mengingati mati? Anda pula bagaimana? 

6.      Tukang baca

Anda tidak termasuk lima ‘pasukan’ di atas? Tapi awas, kita perlu juga hidup dengan kematian. Caranya, baca dan belajar erti mati. Mati itu pasti dan sedang menanti kita di penghujung usia..bersiap siagalah hendaknya…

update :

7.    Tukang gantung –  dia orang ni kerja di penjara. Walaupun yang digantung tu penjenayah, tapi penjenayah tu manusia juga. Mesti dia orang ingat mati.

8.     Tukang sembelih – bukan sembelih orang. Ini tukang sembelih ayam. Pernah tengok kan? Mereka ni lagi hebat, berpuluh-puluh kematian satu hari.

Tapi kan, tengok muka tukang sembelih tu, ceria saja. Tak sedih. Tak takut. Dia orang ingat mati ke? Ke.. ingat duit kot…. jangan marah… 🙂

Salam sejahtera. Penulis (abgreds) fikir mungkin ada sebahagian daripada pembaca blog ini dapat ‘membaca’ sedikit latar belakang penulis.

Walaupun penulis tidak membayangkan secara terang, sebahagiannya ada di dalam hasil tulisan-tulisan penulis di blog.

Sekadar satu pencerahan, penulis akui mempunyai minat dan kecenderungan dalam hal bahasa dan budaya melayu. Sebab itu penulis memilih ‘kosa kata Abgreds’ sebagai slogan blog ini.

Tetapi barangkali menjadi satu kemusykilan pula apabila pembaca menelusuri artikel-artikel di blog ini. Tiada pun artikel mengenai bahasa mahupun budaya? Malahan, sebahagiannya langsung seperti ‘merosakkan’ bahasa.

Benar, itu juga penulis akui. Tetapi penulis tidak berniat untuk merosakkan bahasa. Penulis mempunyai alasan serta tujuan tertentu untuk mempersembahkan tulisan dalam bentuk yang demikian.

Bagaimana pun, penulis tidak berhasrat untuk membincangkan perkara tersebut dalam artikel kali ini. Sebaliknya, penulis ingin memberitahu sedikit pandangan peribadi penulis berkenaan isu bahasa di sini.

Beberapa waktu yang lalu, isu bahasa amat dekat di hati penulis. Bermula di zaman persekolahan hingga tamat dan mula bergelar pekerja.

Kempen-kempen berkaitan bahasa seperti Bulan Bahasa Kebangsaan, Cintailah Bahasa Kita, dan macam-macam lagi, sentiasa diberi perhatian penulis. Namun, perhatian penulis sedikit berkurang lantaran komitmen penulis sekarang .

Bukan bererti penulis sudah jemu atau tidak lagi menyayangi bahasa melayu ini. Penulis cuma berasa sedikit lelah dan terkilan. Penulis ada mengikuti perjuangan beberapa tokoh bahasa kontemporari.

Ternyata mereka juga menghadapi hambatan uji yang bukan sedikit. Hanya kerana mahu melihat bahasa melayu menjadi tuan di negara sendiri – banyak usaha, waktu, tenaga dan wang ringgit dikorbankan.

Tetapi hasilnya masih mengecewakan. Malahan hingga hari ini frasa ‘sila rujuk versi Bahasa Inggeris’ untuk dokumen-dokumen tertentu masih kelihatan. Belum lagi isu terjemahan aksara yang kini cuma ditukarkan ejaannya saja.

Banyak lagi isu bahasa jika penulis ingin senaraikan. Tetapi cukuplah sekadar itu. Peranan yang amat penting dan mencabar kini menanti mereka yang profesional di bidang bahasa dan terjemahan ini.

Mereka telah menerbitkan pelbagai karya akademik dan ilmiah tentang bahasa. Tetapi soal perlaksanaan, penggunaan dan memartabatkan bahasa melayu itu sendiri masih merupakan jalan yang panjang.

Penulis masih menaruh harapan agar kalangan pengamal bahasa ini dapat berbuat sesuatu yang boleh memberi kesan langsung terhadap perkembangan bahasa melayu ini.

Penulis juga memohon maaf sekiranya penulis termasuk mereka yang ditakrif sebagai ‘perosak bahasa’, lantaran hasil tulisan penulis di blog ini.

Itu cuma cara penulis mendekati khalayak pembaca. Penulis ingin mereka mesra dengan gaya karya dan artikel penulis terlebih dahulu.

Selebihnya, penulis cuba menyelitkan dan memperkenalkan beberapa aksara yang barangkali tidak diketahui oleh pembaca. Bolehkah ini dinamakan sebagai satu usaha? Terpulang kepada persepsi pembaca sekalian.

Abgreds : belajar berbahas, belajar berbahasa…

 

imej dari google

0 kmj – vromm..vromm… Botak panas kan enjin kereta. Slurpp..slurp.. kawan panaskan enjin perut. Teh Botak dah licin dah. Sekali teguk je.

“Ha, kau kat mana? Batu Pahat? Gila kau..jauh tu..aku kat Tangkak ni. Apa? Setengah jam? Ok ok..kau tunggu..” “Red, kita jalan”

“Ke mana Botak?” tanya kawan. “Batu Pahat” jawab Botak. “Hish..sempat ke setengah jam?” “Naik je.. nanti kau tengok la ”

10 kmj – bandar Tangkak. Kereta masih banyak walaupun jam sudah pukul 10.00 malam. Botak mula bergerak perlahan. Kawan stabil je masa ni.

30 kmj – keluar dari bandar Tangkak. Sebaik melepasi Kg Sri Makmur, kenderaan dah kurang. Jalan pun dah lengang.

50 kmj – melepasi kawasan tol Tangkak. Melepasi.. tak sempat tulis… Botak dah tekan minyak sampai 90 kmj. Kawan pulak dah mula kecut.

100 kmj – tak tau dah dekat mana. Botak bawa kereta macam apa! Kiri kanan kiri kanan. Celah mana boleh celah. Kawan rasa muka dah kering!

110 kmj – ‘double line’, selekoh, bukit, gaung..perghh..semua ‘bantai’. Botak tengok kawan yang dah pucat. Tangan kiri pegang pemegang tangan atas. Kuat. Tangan kanan pegang perut.. dah memulas-mulas..

120 kmj – “steady Red!” jerit Botak pada kawan. Terhempas-hempas tempat duduk. Ke depan belakang di seret brek mengejut. Kepala kawan dah pusing. Rasa loya. Terkucil nak kencing! Tahan..tahan..

13…kmj – tak sempat tengok. Treler depan ‘high beam’. Tinnnn…!!! Serentak Botak paut stereng. Kawan tak berani tengok, terus tutup mata. “Asyhadu…asyhadu…asyhadu anla….”

Gelap…  Err…kat mana ni? Red, Red… terdengar sayup suara. “Red!” Wei, kuatnya suara. “Red, kau ok ke?” aku buka mata. La..dah sampai Kesang.

90 kmj – “Maaf le. Aku kejar masa…” Kawan sengih. Pening… Loya… Nak cakap pun susah. Tangan masih gigil pegang pemegang tangan.

50 kmj – bandar Muar. Tengok jam.  Aje gila mamat Botak ni.. Tangkak-Muar tak sampai setengah jam.

0 kmj – “Betul kau tak nak ikut?” “Taklah. Ada kerjalah..”. Huh, upah ngeteh pun kawan tak mau ikut. “Ok lah. Aku cabut dulu!”

Tak sempat babai, berdesup hilang… makan asap ada lah… Kawan jalan huyung-hayang. Siap semua kunci rumah, kawan terus tumbang.

Dua hari pening tak hilang. Hehehe.. nama aje Red..macam garang…rupanya pengecut! Eh, kawan bukan pengecut. Cuma tak mau mati eksiden jer..! 🙂 (doa dulu beb… kalau takdir lain cerita).

Engkau Botak, aku tak mau lagi naik kereta dengan kau, tau! Ajak ngeteh boleh. Naik kereta engkau.. mintak mahap!!

 


Sinopsis blog abgreds

Blog abgreds ingin melihat makna
pada aksara dan kosa kata dari sudut sedikit berbeda, buat menambah variasi
pemahaman semua.
Selamat membaca!

K O T A K — S H O U T M I X

Statistik blog

  • 65,648 - sejak 19 Jun 2010

Salam sejahtera

Blog ini adalah blog peribadi abgreds. Semua artikel adalah nukilan abgreds untuk tatapan bersama.

Artikel abgreds merupakan rangkuman pengalaman dan kisah perjalanan hidup abgreds.

Abgreds harap artikel-artikel di sini dapat sedikit sebanyak memberi manfaat buat anda.

Anda dialu-alukan untuk memberikan idea, pandangan, nasihat, kritikan, dan sebagainya.

Sila tinggalkan jejak anda di ruang komentar atau shoutbox.

Terima kasih atas ziarah anda!

Artikel Terbaik

Salinan semula

Abgreds membenarkan kandungan artikel di blog ini diterbitkan semula dengan syarat disertakan kredit / pautan ke blog ini.

Sebarang pertanyaan boleh di e-mailkan ke abgreds melalui alamat : takterra@gmail.com

Sila ambil perhatian, kandungan blog ini adalah diawasi.....

...

Protected by Copyscape Duplicate Content Checker

Negara pengunjung

free counters
Online Users
bighandesign
My Ping in TotalPing.com

BlogMalaysia.com

Blogged.my