Blog Abgreds

Archive for September 2010

Emak : nak hujan ni. Pergilah beli payung.

Abah : dah hujan nanti belilah payung.

Emak : dah hujan buat apa beli? Dah basah dah.

Abah : belum hujan buat apa beli. Tak pakai nanti.

Emak : tadi belum hujan kenapa tak beli?

Abah : tadi belum hujan, buat apa nak beli?

Emak : ha, sekarang dah hujan, macamana nak beli?

Abah : dah hujan pun. Tak payahlah beli.

Emak : nanti demam macamana?

Abah : demam nanti beli ubat le.

Emak : dah demam baru beli ubat?

Abah : dah demam le baru beli ubat. Belum demam buat apa?

Emak : dah demam, macamana nak beli ubat?

Abah : dah demam tak payah beli ubat. Nanti baik la.

Emak : kalau la boleh baik. Kalau tidak?

Abah : kalau tidak, sakitlah.

Emak : kalau beli payung tadi kan tak basah, tak sakit…

Abah : eh, belum sakit lagilah. Kan baru basah aje.

Emak : orang cakap KALAU lah…

Abah : kalau kalau….

Orang perempuan memang futuristik! Semua kemungkinan dan kebarangkalian dah hafal dalam kepala. Tabik spring kat awak orang pompuan

Orang laki-laki? Statik dan statistik 🙂 . Alasan alasan alasan… control macho jer tak abis-abis…betul tak orang pompuan? Betul…

Susah ke nak faham lelaki atau perempuan? Tak susah. Janji mau belajar. Lelaki ke perempuan ke, semua kena sama-sama belajar.

Tapi percayalah, subjek ni memang tak akan habis punya. Dah kahwin, dah berpuluh tahun kahwin…pun masih ada yang tak faham.

Awak tengah couple? Kawan-kawan? Atau sedang bertunangan? Baru kahwin? ….eleh…sama je. Kononnya faham dengan pasangan…kononnyalah…

Konon pun kononlah. Suka hati awak! Janji mau belajar. Non-stop belajar..ok?

Adios…

Semasa beraya kat kampung, sambil memakai selipar buruk, aku pusing keliling rumah. Malangnya, aku terpijak sebatang paku karat.

Sakit jugak dan berdarah ibu jari kaki. Selepas seminggu, lukanya sembuh dan kering. Tapi ada benda alah kuning dalam luka kaki aku.

Risau aku. Takut ada karat masuk daging. Bahaya tu. Tak pun ada nanah. Tapi tak sakit pulak. Kelmarin, aku kopek sikit-sikit kulit yang dah kering. Akhirnya … aku jumpa benda alah tu. Apa benda agaknya?

Rupanya kau orang tahu, bukan nanah atau karat paku, tapi cebisan selipar buruk aku itu! Besarnya sebesar hujung paku karat yang menusuk kaki aku. Sebab itu luka aku tak berapa dalam.

imej dari google

Kalau aku pakai selipar baru atau lembut, getah selipar yang tertusuk paku akan menepi, dan paku akan terus menancap daging.

Tapi ini selipar getah lama yang nipis dan keras. Bila tertusuk paku, langsung terkoyak ikut saiz hujung paku tersebut.

Dan cebisan selipar itulah yang menghalang paku dari menancap tembus jauh ke daging. Termenung aku sekejap…

Tuhan tu maha berkuasa kalau nak buatkan karat paku itu masuk ke dalam kaki aku. Tapi diberinya aku idea nak pakai selipar buruk…

Sekali lagi aku tengok cebisan selipar buruk tu…yang mengajar aku agar berwaspada dan bersyukur.         

Hem… aku ni selalu lupa dan alpa. Patut benar kena ‘sound’ macam tu, kan? Itu pun masih di ‘cover’ lagi dengan selipar buruk aku…huhu…

Okeylah, kau orang tu berjalan baik-baik ye. Mata tengok bawah. Karang ada yang jadi macam aku.

Red : Assalamualaikum, tokeh.                                  

Bang amid : Wa’alaikum salam. Ha, Red. Apsal nampak boring ni?     

Red : Baru balik opis tanah ni bang. Mau tak boring…                

Bang amid : Ai, takkan tak settel lagi? Berapa bulan dah ni? Engko tak pakai kabel ke?                                                    

Red : Kabel kecik bang. Kabel cap ayam. Kejap putus. Kejap hilang. Nak sambung bukan main susah.                                                

Bang amid : Pakai le yang besar lagi. Projek besar, kabel kecik, mana jadi?                                                

Red : Kabel besar pun tak boleh pakai lagi, bang. Dia orang pakai kabel hantu! Wireless! Tau-tau fail dah kena cantas!                                                      

Bang amid : Dah tu, engko punya wireless mana?                    

Red : Tak de, bang. Boss sengkek. Duit ciput, macamana nak pakai wireless?                                                    

Bang amid : Eh, sengkek-sengkek pun ada mers (mercedes) maa. Boss engko tak kaw tim ke dengan opis tanah?                                

Red : Dulu ada. Tapi kawan dia tu dah pencen pulak. Patah kaki sekarang. Semua fail sangkut. Kabel saya lagilah tak boleh harap.                                                 

Bang amid : Itulah korang. Dulu main kabel siapa suruh?             

Red : Bukan saya bang amid. Boss yang ajar ni. Boss cakap, boss dia dulu pun ajar dia macam tu. Dia follow. Saya ni pun follow jer…            

Bang amid : Huh, dosa warisan betullah…ha, sekarang apa jadi? Macamana nak mengadap dengan customer?                                                      

Red : Tu yang mari sini, bang. Nampak ada clien depan boss. Saya angkat kaki le. Biar boss pulak yang mengadap… sama – sama rasa la…                                              

Bang amid: Pandai jugak engko ya. Eh, tu siapa pulak ramai-ramai tuh?             

Red  : Alamak, bang. Boss saya tu! Er.. saya cabut dulu bang !!

****

Anda mungkin berminat dengan entri ini :

https://abgreds.wordpress.com/2010/07/24/pusing-pusing-jangan-pening/

garangAku teringat kepada cikgu aku yang seorang ni. Muka dah la garang gaya algojo. Yang paling aku ingat – tak pernah nampak dia senyum.

Kami semua memang kecut dengan dia. Bila tiba masa subjek dia aje, sunyi sepi kelas macam dilanggar garuda.

Satu hari tu, dia masuk dengan muka yang super masam punya 😦 . Biji mata macam nak terkeluar. Pucat lesi kami dibuatnya.

“Hari ini saya nak kamu buat kerja sendiri. Jangan bising. Faham?” katanya dengan suara yang kuat. “Faham, cikgu”, jawab kami.

Lega sikit. Tak mengajar maknanya tak adalah antara kami yang kena marah, kena herdik, kena denda itu ini seperti selalu.

Cikgu lalu duduk di meja guru dan sibuk buat sesuatu. Sesekali dia menjeling kami. Muka tetap garang. Kami tak terkutik pun. Terpaku kaku.

Tiba-tiba cikgu tu berdiri. Mukanya lebih masam. Dikepal-kepal sehelai kertas lalu dibaling ke tong sampah. Fuh! Kami dah cuak semacam.

Semua mata terarah ke cikgu. Cikgu tu juga memandang kami. Seketika kemudian, mukanya bertambah merah.

Tiba-tiba kau orang tahu, dengan muka yang bertambah merah tu, cikgu jalan perlahan-lahan. Mata kami mengikut saja. Pergi ke mana?

Laa… dia pergi kat tong sampah tadi. Dia ambil balik kertas yang dibuang tadi. Dan itulah…itulah kali pertama kami tengok dia senyum.

Senyum dengan muka merahnya. Mulalah ada antara kami yang tersenyum. Lama-lama… cikgu ketawa. Pecah juga ketawa kami seisi kelas, wakaka… gelinya hati kami.

Tak tertahan kami dengan insiden cikgu tu. Bayangkan muka seorang algojo tiba-tiba berubah jadi wajah badut sarkas…lawak la cikgu!

Kadangkala kita terkena juga peristiwa yang memalukan diri. Apa nak buat. Sesekali jadi sang badut okey apa…mengembirakan orang lain.

Dan cikgu kami itu telah belajar sesuatu – kurangkan garang, tambahkan senyuman… betulkan, cikgu?

p/s : gambo hiasan je…bukan gambo cikgu ensem aku arr.. 🙂

Kita sudah belajar dan berilmu. Kiranya tidak salah untuk kita mengeluarkan pendapat. Memang boleh. Berilah pendapat kita.

Seterusnya, kita cenderung mempertahankan pendapat kita. Kita yakin kita benar. Itu juga boleh. Sebab kita ada sandaran ilmu.

Dan seterusnya lagi, kita meremehkan pendapat yang lain. Yakinnya kita tiba-tiba menjadi hijab untuk menerima pandangan sekunder.

Justeru, kita menjadi cenderung untuk mengatakan pendapat orang lain salah. Tanpa mengetahui ilmu disebalik pendapat yang dikeluarkan itu. Nah, inilah yang tidak boleh!

Inilah tertib yang selalu kita langkau dalam menguruskan masalah berbeza pendapat. Iaitu kita sudah menghukum salah sebelum bersalah.

Apabila berhadapan dengan perbezaan pendapat, sepatutnya kita belajar dan mengerti makna berbeza pendapat.

Berbeza ertinya tidak sama atau lain, bukan bererti salah!

Berbeza pendapat ertinya berlainan pendapat. Bukan pandangan aku betul, pandangan engkau salah. Bukan itu.

Betul atau salah sesuatu pendapat itu cerita lain. Itu proses seterusnya dalam mencari penyelesaian atau persamaan.

Betul atau salah boleh diperhalusi dengan perbincangan, muzakarah, dan penelitian sumber pendapat tersebut. Sesudah itu, barulah kita boleh jelaskan status pendapat tersebut samada betul atau salah.

Justeru, jika bertemu dengan perbezaan, katakanlah “tidak sama” dan bukannya “salah”. Ini persepsi awal yang paling adil.

Dengan ini, kita dapat mendidik diri agar menghormati pendapat orang lain. Sekaligus mengelakkan dari berburuk sangka, sombong, tinggi diri, dan ego.

Yang penting, kita selangkah waspada agar tidak menjatuhkan maruah serta memberi fitnah kepada orang lain. Ini teramat-amat penting!

Semoga kita mengerti sekarang. Berilah dan aplikasikan makna sebenar berbeza pendapat. Beza ertinya tidak sama, bukan betul atau salah.

Pengertian ini barangkali juga ‘tidak sama’ dengan anda. Jangan ‘salahkan’ saya. Saya juga tidak sama sekali ‘menyalahkan’ anda.

Insya Allah, dengan cara ini, kita sama-sama ‘betul’ dan beradap dalam berbeza pendapat.

Apa agaknya pendapat kalian?

Kita ada sedara. Dia tanya kita, kita tak mau ke jadi jutawan? Sambil hulur risalah, flyer dan apa benda entah…

Macam-macam iklan nak jadi jutawan. Macam senang aje nak jadi jutawan. Macam mudah aje bila dah jadi jutawan.

Kita tanya dia, dah pernah jumpa dengan jutawan ke? Tak pun jumpa dengan ribuwan atau ratuswan? Pernah tanya sendiri dengan dia orang?

Kita bukan tak suka jadi jutawan. Semua orang pun nak senang macam jutawan. Tapi bukan senang jadi jutawan. Susah. Tanyalah dia orang.

Sekarang zaman dah canggih. Kerja cari duit canggih. Kerja curi duit pun canggih. Lepas bermati-matian cari duit. Kena bermati-matian pulak jaga duit!

Nak jaga duit singgit pun payah. Mat gian, mat rempit bersepah-sepah. Jalan kaki kena samun. Naik motor kena tendang. Tak pasal-pasal masuk sepital. Lagi haru, masuk kubur. Eh, betul ni sedara.

Ini lagi nak jaga duit satu juta, dua tiga juta…uuiii banyak tu. Sebanyak hati-hati dan mata-mata busuk yang berangan nak merembat duit itu.

Sedara, rasa kitalah, nak jadi jutawan tu boleh. Tapi ilmunya mau khatam dulu dong. Macamana mau jadi jutawan…yang rezekinya halal…

Macamana mau mengurus berjuta wang…yang caranya berkat… Macamana mau belanja…yang jalannya selamat…banyak tu nak kena belajar.

Katalah sat lagi sedara dapat satu juta, apa agaknya sedara nak buat? Sempat tak agaknya nak buat apa yang sedara nak buat tu?

Semua orang suka wang. Siapa ada wang, semua orang suka. Yang baik, yang buruk, yang sayang, yang benci, yang jahat…semua ada.

Itu harga menjadi jutawan. Bukan senang nak senang. Nak jadi senang itu susah. Dah jadi senang itu pun susah!

Allah Taala Maha adil. Menjadi miskin ada uji dan duganya. Menjadi kaya pun ada uji dan duganya juga.

imej dari google

Kamu pernah terfikir tak kamu ini siapa? Dari mana asal-usul kamu? Siapa datuk nenek kamu? Orang besarkah atau orang kecilkah?

Memanglah kamu boleh berkata kita sekalian keturunan Adam dan Hawa. Itu jamaknya. Tapi secara spesifiknya, siapa kamu?

Adakah kamu cicit Tok Gajah? Piut Mat Kilau? Entah-entah ada darah diraja tak? Wo…kerabat istana kayangan mungkin?

Atau kamu anak yang malang. Anak buangan. Anak gelandangan…maaf, saya tidak bermaksud menyinggung sama sekali.

Saya cuma mahu mengatakan, kita semua ada asal-usul kita. Tidak kira apa status asal kita, amat wajar kita menghargainya.

Jika datuk moyang kita orang yang baik, maka bersyukurlah. Jika sebaliknya, itu sudah jadi sejarah. Kita sebagai cucu cicitnya berusahalah agar tidak mengulangi kesilapan datuk moyang kita itu.

Bagi keluarga yang baik salasilahnya, apatah lagi yang bangsawan dan negarawan, ini bukan soal. Tentu susur galur keluarga mereka tersimpan rapi dalam sejarah.

Tapi bagi insan marhaen seperti kita, yang jurai keturunannya pun berterabur di sana sini, wajarlah diusahakan sesuatu.

Masa syawal inilah, cuba kamu jejaki siapa kamu. Ikut ayah dan ibu kamu berziarah. Kenali saudara mara kamu. Datuk moyang sebelah ibu, sebelah ayah. Sepupu, dua pupu, bau bacang, bau kuini…kenali semuanya.

Inilah matlamat berhari raya. Bukan duduk depan tv menguyah kuih raya dari pagi hingga malam. Bukan itu.

Setiap syawal, saya pasti berusaha berziarah ke rumah saudara mara saya. Saya amat teruja mendengar cerita dan info baru tentang datuk moyang saya.

Yang pasti, saya bukan keturunan bangsawan atau negarawan. Salasilah pun berterabur, bangsawan hape?  

Keturunan teraburwan le gamaknya 🙂 . Itu tidak penting. Yang penting, saya akan teruskan rutin tahunan saya ini selagi mampu.

Kamu juga berusahalah mencatat dan belajar tentang salasilah keluarga kamu. Nanti kamu akan lebih kenal siapa diri kamu.

Raya kali ini, aku jumpa dengan salah seorang sahabat yang aku rindui. Dia seorang rakan sekelas aku yang sangat rapat masa sekolah dulu.

Dia pun katanya rindu juga nak jumpa dengan aku. Berpeluk-peluk aku masa dapat jumpa dengan dia. Syahdu beb…

Semua kenangan lalu semasa aku rapat dengan sahabat aku ni terbayang sebaik aku menatap wajah dia.

Aku sebenarnya bukan ada ramai kawan. Yang ada ni pun kawan biasa saja. Tapi kawan yang aku anggap sahabat memang sikit – boleh kira pakai jari.

Betul. Sahabat tu pangkat yang mahal dalam silaturrahim. Cikgu aku cakap, sahabat tu adalah diri kita yang kedua.

Seorang sahabat boleh mengingati diri sahabatnya yang lain, sebagaimana dia mengingati dirinya sendiri. Nah, bukankah sahabat itu istimewa sifatnya.

Dalam sesetengah keadaan, kedudukan sahabat lebih utama dari kedudukan keluarga. Para ulama juga memuliakan para Sahabat nabi, berbanding keluarganya, terutama dalam aspek perluasan kuasa empayar Islam.

Aku dengan sahabat aku ni dah lima tahun loss contact. Telefon dia rosak jadi puncanya. Sekali dia pergi format, hilang semua nombor dalam tu.

Sepanjang tempoh itu, aku cari dia, dia pun cari aku. Sekali raya tahun ni, huhu…dia boleh beraya sorang-sorang semata-mata nak jumpa aku…

Anak isteri dia raya kat Klang. Sahabat aku ni pulak balik Muor sorang – sorang sebab nak jumpa aku… Woo…terharu aku beb.

Sahabat, kalau ko baca cerita aku ni, mesti ko dapat teka siapa abgreds. Ko jangan kepoh ye. Aku ni pemalu! Ngee… 🙂

Terima kasih ko sahabat. Ko memang sahabat aku paling ngetop kat Muor ni. Nanti aku belajo nak jadi sahabat ko yang ngetop pulak okey?

Salam syawal untuk engkau, Sahabat!

Label: , ,
selamat hari raya

imej: epicworld.com

Salam Ramadan semua. Ini entri terakhir abgreds sebelum raya. Tiada cerita, cuma ucapan selamat hari raya kepada semua.

Jika ada yang masih sudi menjenguk blog ini semasa abgreds cuti, bolehlah belek – belek entri lama. Mungkin ada manfaat yang berguna.

Abgreds dengan ini ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Fitri kepada semua. Abgreds juga memohon ampun maaf atas salah silap abgreds sepanjang menulis diblog abgreds.

Di samping itu, jangan lupa kita masih di bulan ramadan yang mulia. Masih ada waktu yang berkat yang perlu diisi sebaik-baiknya.

Salam aidil fitri untuk anda semua.


Sinopsis blog abgreds

Blog abgreds ingin melihat makna
pada aksara dan kosa kata dari sudut sedikit berbeda, buat menambah variasi
pemahaman semua.
Selamat membaca!

K O T A K — S H O U T M I X

Statistik blog

  • 65,653 - sejak 19 Jun 2010

Salam sejahtera

Blog ini adalah blog peribadi abgreds. Semua artikel adalah nukilan abgreds untuk tatapan bersama.

Artikel abgreds merupakan rangkuman pengalaman dan kisah perjalanan hidup abgreds.

Abgreds harap artikel-artikel di sini dapat sedikit sebanyak memberi manfaat buat anda.

Anda dialu-alukan untuk memberikan idea, pandangan, nasihat, kritikan, dan sebagainya.

Sila tinggalkan jejak anda di ruang komentar atau shoutbox.

Terima kasih atas ziarah anda!

Salinan semula

Abgreds membenarkan kandungan artikel di blog ini diterbitkan semula dengan syarat disertakan kredit / pautan ke blog ini.

Sebarang pertanyaan boleh di e-mailkan ke abgreds melalui alamat : takterra@gmail.com

Sila ambil perhatian, kandungan blog ini adalah diawasi.....

...

Protected by Copyscape Duplicate Content Checker

Negara pengunjung

free counters
Online Users
bighandesign
My Ping in TotalPing.com

BlogMalaysia.com

Blogged.my